9. Fiqh Amal Jamai’e dalam Bentuk Baru

BAB 9: Fiqh Amal Jamai’e Dalam Bentuk Baru

Ada dua malapetaka besar yang pernah terjadi dalam sejarah Islam. Ianya telah menderitakan seluruh umat sehingga kepada beberapa generasi. Ianya berbeza dengan malapetaka-malapetaka kecil lain sepanjang sejarah yang walaupun banyak tetapi kesannya tidaklah begitu teruk.

Malapetaka yang pertama: Di bawa oleh Hulagu146. Malapetaka besar itu tiba ke kemuncaknya dengan serangan mereka ke atas ibu kota Islam, Baghdad.

Pemerhati yang melihat malapetaka ini mendapati, ia bukanlah perkara baru yang menimpa mana-mana bangsa yang berada di zaman kelemahan mereka. Ia telah dijangka oleh ramai para ulama. Mereka telah memperingatkan umat dan pemerintah Islam bertahun-tahun lagi sebelum ianya berlaku pada tahun 656 H itu. Amaran itu dibuat bila mereka melihat keadaan umat yang runtuh aqidah dan akhlaknya. Badan pemerintah tiada lagi kesungguhan dan tajarrud. Kuasa khalifah sangat lemah dan majoriti ulama’ pula tidak melakukan amar makruf nahi mungkar. Para ulama sibuk dengan perdebatan dan perbahasan kering yang menyakitkan hati.’ 147

Ada cubaan dari sesetengah khalifah di saat-saat akhir kejatuhan itu berusaha untuk memperbaiki keadaan umat ini dengan menggunakan sistem futuwwah. Ianya ialah dengan merubah style hidup majoriti orang awam kepada gaya hidup ala tentera. Tetapi cara pembaikian ini telah gagal kerana tidak bersandar kuat kepada akidah sebagai asas tarbiyyah. Ini menjadikan sistem itu bagaikan barang gurauan dan permainan.

Inilah yang memberi gambaran kepada kita ketakutan dan kebingungan yang menimpa majoriti umat Islam yang hidup selepas malapetaka itu. Suasana ini akan berterusan sekiranya Allah S.W.T. tidak menghantar Imam Ibnu Taimiyah kepada umat ini. Beliau mengembalikan keyakinan diri ummat dan menjelaskan kepada mereka fiqh amal. Usaha beliau telah difahami dengan cepat oleh sebahagian ulamayang hidup hatinya. Mereka membantunya, menampal mana yang koyak rabak pada umat ini.

Walau bagaimanapun kita tidak lah melampau-lampau memperkatakan pengaruh dan keberkesanan usaha yang dibuat oleh Ibnu Taimiyyah dan sahabat-sahabat beliau. Kesan usaha mereka ini masih terbatas. Secara umum, majoriti ummat masih merudum dan dunia Islam terus terpecah-pecah kepada beberapa negara-negara kecil yang lemah dan saling bercakaran sesama sendiri.

Beberapa abad selepas malapetaka Baghdad, kerajaan Uthmaniyah pada zaman pertengahannya telah mampu kembali mewarisi kehebatan kerajaan ‘Abbasiyyah. Dengan kelahiran beberapa orang sultannya yang gagah, mereka berjaya mengembangkan kekuasaannya dan mengembalikan ingatan kepada suasana pemerintahan yang pernah dinikmati oleh umat Islam di pertengahan pemerintahan Abbasiyyah, kalau pun tidak ia menyerupai ciri-ciri sebelumnya.

Kerajaan Uthmaniyyah sehingga ke akhir pemerintahan Sultan Abdul Hamid Rahimahullah wajar boleh disifatkan sebagai kerajaan Islam, sekalipun terdapat banyak kecacatan, kelemahan dan kekurangan di dalam melaksanakan sebahagian dari syariat Islam di akhir pemerintahannya di samping kezaliman yang dilakukan oleh sebahagian pegawai dan pembesar-pembesar negara yang tersilap lantik oleh pemerintah-pemerintah itu.

Tidak ada yang membantah pendapat ini, kecuali mereka yang telah terkesan dengan pemalsuan sejarah moden ciptaan akademi orientalis dan mubaligh kristian. Mereka menggunakan penulis boneka atau orang yang rela menjadi mangsa mereka, bertopengkan nasionalis Arab yang melampau.

Malapetaka kedua: Ialah penjajahan tentera-tentera British dan Perancis ke atas negara-negara Is­lam semasa perang dunia yang pertama. Mereka telah berjaya menghapuskan apa yang boleh kita katakan sebagai simbol Islam terakhir iaitu pemerintahan Uthmaniyyah. Atau dengan lebih tepat, mereka berjaya menghapuskan sebarang kemungkinan usaha yang akan membetulkan apa yang telah berlaku di dalam pemerintahan Uthmaniyyah. Parti al-Ittihad wa al-Taraki (Committee of Union and Progress (CUP, ‘Young Turks’)) yang menggulingkan kerajaan Sultan Abdul Hamid telah mengubah banyak undang-undang syariah, merubah sistem pendidikan dan mempopularkan kembali perkauman al-Turaniyah (semangat nasionalis bangsa Turki). Parti ini juga telah menerima campur tangan pihak Yahudi dan Freemason di dalam dasar parti dan urusan politik negara.

Sebagaimana tujuan Hulagu menjajah Baghdad adalah untuk memusnahkan semangat umat Islam secara umumnya, demikian juga negara-negara Berikat terutamanya Inggeris dan Perdana Menterinya, Winston Churchill menjadikan usaha memusnahkan semangat dan keperibadian umat Islam dengan menakluk Baghdad dan Baitul Maqdis. Mereka memang bertujuan ingin mengembalikan ingatan umat kepada peristiwa penaklukan Hulagu. Rancangan mereka terdedah  melalui komunikasi antara ketua turus tentera Inggeris yang menjajah Iraq semasa perang dunia pertama dengan Kementerian Tanah Jajahan British.148

Dengan tewasnya dunia Islam di bawah kuasa tentera penjajah atau di bawah pemerintahan raja-raja yang dilantik dan dalangi oleh mereka, maka jahiliyah telah kembali semula ke dunia Islam. Mereka mula menguasai ke akar umbinya, meng’kontrol’ semua institusi politik, badan pendidikan, sektor perdagangan dan ekonomi dunia Islam. Dengan itu, mereka berjaya mempengaruhi lubuk hati or­ang-orang Islam samada secara suka atau terpaksa.

Dengan kembalinya jahiliyah, maka dunia Islam memerlukan orang-orang yang berjihad untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam.

Respon Yang Dicetuskan Suasana

Ketika segolongan umat Islam yang ikhlas bingung menghadapi bid’ah besar yang dilakukan oleh Golongan Turki Muda itu, terdapat mereka yang segera berusaha menentang penyelewengan, tetapi gagal, sepertimana yang pernah diceritakan dalam kisah-kisah yang mashyur. Namun cubaan dari kesedaran sebenar telah lahir di Baghdad beberapa tahun kemudian. Ia dilakukan oleh seorang panglima tentera di zaman Sultan Abdul Hamid. Beliau terkenal di kalangan penduduk Iraq dengan kemuliaan, takwa dan berani. Orang yang dimaksudkan itu ialah Muhammad Fadhil Basya al­-Daghastani Rahimahullah. Dengan kerjasama mereka yang terpilih dari orang hebat kabilah al-Khatib di Baghdad, terbentuklah al-Hizb al-Islami atau Parti Islam secara rahsia. Dinyatakan tujuannya adalah untuk menentang pemerintahan golongan al-Ittihad dan berusaha mengembalikan pemerintahan Islam menurut bentuk terdahulu.149

Usaha mereka itu dilakukan pada tahun 1913.

Tetapi situasi-situasi perang dunia pertama memaksa mereka menangguhkan usaha itu dan terpaksa mengalihkan usaha untuk menghadapi bahaya yang sedang melanda umat pada ketika itu. Kemudian, pahlawan Islam Muhammad Fadhil al-Daghastani –kita menganggapnya syahid- akibat terkena serpihan peluru meriam  dalam peperangan mengepung al-Kut. Peperangan itu berjaya meraih kemenangan yang gemilang dan berakhir dengan kekalahan Inggeris berdepan saki-baki tentera Islam. Empat belas ribu orang tentera Inggeris telah menyerah diri dan mereka telah dijadikan orang tawanan. Peperangan ini dipimpin oleh Muhammad Fadhil al-Daghastani. Beliau mengetuai pasukan sukarelawan sebelum dan semasa peperangan tersebut. Pemimpin yang gagah perkasa itu dikebumikan di tepi kubur Imam Abu Hanifah di Baghdad. Berkuburlah cita-cita mulia dan besar bersama-sama pemergian beliau.

Berulangnya Kebingungan

Berakhirnya Perang Dunia Pertama dan berkuasanya jahiliyyah barat, ini menjadikan majoriti umat Islam di seluruh dunia bingung dan tercengang-cengang.

Situasi yang baru ini sangat-sangat memerlukan seorang lelaki yang akan memulakan langkah membentuk individu-individu Islam menjadi umat Islam sebenar dan memimpin mereka bagi membina pemerintahan Islam semula, menggunakan cara dan pendekatan yang sesuai dengan realiti semasa.

Tetapi taufan jahiliyyah yang terus kencang melanda dunia Islam yang kosong, tidak ada sesiapapun yang bangun membangkitkan semangat umat Islam  menghadapi taufan jahiliyyah itu.

Ya, memang masih banyak suara-suara ikhlas di pelusuk dunia Islam, namun mereka masih tidak mengenali satu jalan kerja yang sahih. Setengahnya pula tidak mempunyai kemurniaan Islam yang sempurna. Ada yang menyangka caranya ialah dengan menulis rencana-rencana atau mengadakan perhimpunan-perhimpunan dan membuat resolusi mengembalikan Islam di atas kertas semata-mata. Suara mereka ini mula terpapar di dada-dada akhbar, di sebutkan di atas mimbar-mimbar dan dibincangkan di dalam konferen-konferen. Tetapi kesemua itu hanyalah umpama irama canggung berhadapan dengan lagu perosak yang berada di carta teratas koleksi lagu permintaan umat di masa itu.

Islam di waktu itu memerlukan seseorang yang memahami jalan yang benar untuk kembali semula kepada Islam. Seorang yang memahami asas amal jama’ie sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh salafussoleh, lalu dia menepuk dadanya dan melaungkan suaranya agar didengar oleh seluruh orang Islam dan berkata: “Inilah aku.” Lantas seluruh umat berhimpun di sekelilingnya, mereka mengenali panggilan dan takbirnya.

Mengenali Diri Sendiri

Muhammad Iqbal Rahimahullah memahami bahawa slogan “Inilah aku” inilah yang diperlukan oleh umat. Ia melambangkan erti ‘mengenali diri’. Dalam masa kebingungan seperti itu, ia beerti mengenali jalan yang betul, bermula dengan tarbiyyah individu muslim di atas akidah Islam yang sejati dan berkembang menjadi satu tajammu’ yang mempunyai qiyadah dan perencanaan.

Muhammad Iqbal telah menggambarkan bahawa umat yang kembali mengenali diri Is­lam mereka setelah dilanda kebingungan adalah umpama kanak-kanak yang baru mengenali dirinya setelah melalui peringkat bayi.

Umat ini bermula lahir dari dakwah seorang lelaki yang faham dan  berhimmah. Ini tertulis di dalam koleksi puisi beliau yang khusus menggambarkan tentang diri tersebut; “umat ini lahir dari hati seorang yang mulia”. 150

Telah jelas bagaimana langkah pertama untuk menarik umat yang kebingungan dan mengembalikan mereka kepada Islam.

Memang itulah langkah pertama; mesti ada seorang memulakan dengan hati seorang yang berjiwa besar, lalu menepuk dadanya di hadapan muslim seluruhnya dan berkata: “Inilah aku”. Kesucian akidah dan keunggulan peribadiku menyebabkan manusia tertarik lalu mereka berhimpun di sekelilingku.”

Dalam ungkapan Iqbal, gambaran pembawa khabar gembira dan ancaman  setelah sedar dari kebingungan ini terungkap dalam puisinya:

Wahai muslim yang mempunyai mata
Tidakkah kamu lihat kanak-kanak kecil itu
Tidak tahu apa-apa tentang dirinya sendiri
Telinganya tidak mengerti irama dan kebisingan yang diperdengarkan kepadanya
Dia hanya bisa merengek dan meronta-ronta
Alam ini menolong manusia untuk melihat segala sesuatu
Tetapi mereka tidak dapat melihat dirinya sendiri
Setelah bersusah payah menarik tali, barulah nyata kepadanya
Setelah kedua belah tangannya membuka ikatan
Lalu matanya melihat dirinya berpekik,
Sambil menepuk dadanya dan dia berkata: “Inilah aku!”
‘Aku’ itulah permulaan hidupnya
Inilah bahasa kebangkitan untuk kembalinya hidup ini.151

Inilah mujaddid menurut istilah Islam. Islam tidak pernah kenal erti “kekuasaan berada di tangan jahiliyah dan dia hanya menjadi ‘pak turut’. Tidak mungkin cukup dengan sekadar wujud sana-sini individu orang-orang yang berpegang teguh kepada Islam sedangkan kehidupan masyarakat yang luas melata campur-baur jahiliyyah dan Islam.

Justeru, Islam di setiap masa sentiasa memerlukan kewujudan manusia-manusia yang kuat, menentukan dan memimpin perjalanan sejarah kepada Islam. Tidak kira samada kerja dan usaha mereka syumul dalam segenap jurusan kehidupan atau terbatas kepada sebahagian darinya. Golongan inilah yang digelar sebagai Mujaddid.”152

Oleh kerana jalan ini memerlukan pengorbanan, maka salah satu syarat yang mesti ada ialah mereka mestilah pahlawan dan berani giler, kerana: “siapa yang tidak mampu berkorban demi cita-cita tertinggi, maka dia tidak akan berani berhadapan dengan bahaya dan kesusahan. Orang yang hanya mencari kesenangan, keselesaan dan kemewahan di dunia ini nescaya akan sentiasa terikut dengan suasana dan mudah tunduk kepada tekanan apa saja. Mereka ini tidak akan dapat menyumbangkan apa-apa kepada sejarah kemanusiaan. Lukisan sejarah hanya mampu dibuat oleh pahlawan­-pahlawan yang gagah berani. Hanya  dengan jihad dan pengorbanan mereka, perjalanan hidup manusia dan corak pemikiran dunia akan berubah.”153

“Inilah Aku” …Kata Imam Hassan Al-Banna

Pahlawan yang gagah berani dan menepuk dadanya sambil berkata: “inilah aku!” itu adalah Imam Hassan al-Banna r.a. Beliau melaungkan suaranya dan mengisytiharkan kelahiran tajammu’ dan perjalanan ini pada tahun 1928 iaitu sepuluh tahun selepas umat Islam tenggelam di dalam kebingungan kesan daripada malapetaka yang mereka alami akibat Perang Dunia Pertama.

Tajammu’ ini segera mendapat sambutan dan sokongan gerombolan pertama yang terdiri dari pekerja-pekerja di Terusan Suez. Itulah dakwah Islam yang mewarisi dakwah salafussoleh menjalankan amar makruf.

Dalam masa yang sama, Ustaz Al-Maududi menyediakan kajian berharganya bersiap untuk memulakan kerja ini di India. Pada tahun 1938 beliau memulakan pembentukan tajammu’ itu.

Dakwah Al-Banna ini kemudiannya segera disambut oleh beberapa orang tokoh di Negara Arab. Di setiap tempat lahirlah lelaki-lelaki berani dan berkumpullah di sekeliling mereka angkatan pelopor. Dakwah ini pun bermula di  Sudan, Syria, Pal­estine, Iraq, Jordan dan Lubnan.

Di bawah kepimpinan Hassan al-Banna, tokoh-tokoh ini bersama-sama dengan angkatan pelopor lain mula menggariskan bentuk praktikal bagi Usul Fiqh amal jama’ie untuk zaman moden ini. Mereka meluangkan kefasihan Al-Syahid Sayyid Qutb untuk mengungkapkan jalan perjalanan dakwah ini.

Mereka mengajak kita untuk mengingati, “…bagaimana gerakan Islam ini bermula dulu. Seorang lelaki berdiri menghadapi manusia seluruhnya, membawa manhaj Allah sambil berkata kepada mereka –sebagaimana dia disuruh- : “Manusia semua berada dalam jahiliyah. Tiada petunjuk kecuali petunjuk Allah.”

Sejarah mula berubah. Ia berubah bila hakikat agung dan hebat ini telah bertapak teguh di hati tokoh yang seorang itu. Sejarah berubah sepertimana yang diketahui oleh kawan dan lawan.

Hakikat yang tertanam di hati tokoh tersebut terus wujud sepertimana wujudnya hukum alam yang agung. Kehidupan manusia sesat juga masih wujud dan mereka telah kembali kepada jahiliyah semula.

Begitulah ia berlaku secara ringkas.

Mesti ada titik permulaan atau noktah mantap hakikat ini di dalam satu hati.  Kemudian ke dalam beberapa hati, seterusnya di dalam hati sekumpulan manusia yang beriman. Ia kemudiannya berangkat bergerak di atas jalan yang panjang dan menyakitkan ini. Jalan ini begitu asing pada hari ini sebagaimana asingnya ia ketika petunjuk Allah mula-mula datang dahulu, dengan beberapa pengecualian. Akhirnya kafilah ini pasti akan tiba juga ke penghujung jalan yang panjang dan penuh onak ini sebagaimana generasi Islam pertama dulu telah sampai.

Aku tidak mendakwa kerja ini mudah dan ia bukan perjuangan yang singkat, tetapi yang pasti ia pasti berhasil. Semua benda akan menyokongnya. Semua benda yang hakikiyy dan fitriyy samada semulajadi dan naluri manusia tidak dapat tidak akan  menyokongnya. Ia pasti pula akan ditentang oleh timbunan sampah sarap realiti kepongahan kemanusiaan yang hebat. Namun, semua itu hanya buih-buih di permukaan. Ya, rintangan memang besar.. tetapi ia hanya buih-buih.” 154

“Noktah bidayah hari ini adalah sama dengan noktah bidayah  ketika manusia mula-mula menerima Islam dulu. Mesti bermula dengan wujud di suatu tempat kumpulan manusia yang berpegang agama yang benar. Mereka yakin dan mengaku dengan sesungguhnya tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad itu utusan Allah. Mereka menerima dan berpegang dengan hakimiyyah dan Allah sahaja sebagai penentu hukum. Mereka melaksanakan ianya betul-betul dalam realiti kehidupan. Kemudian mereka mula bergerak di muka bumi untuk menyebarkan berita ini dan membebaskan manusia dari jahiliyah.” 155

“Mesti ada sekumpulan pelopor yang mengambil keazaman ini untuk meneruskan perjalanan. Tiga akan menjadi sepuluh dan sepuluh akan menjadi seratus, dan dari seratus menjadi seribu dan dari seribu menjadi dua belas ribu.” 156

Inilah cara pelopor dalam usaha kebangkitan Islam demi merealisasikan manhaj hidup Islam. “Manhaj ini hanya dapat direalisasikan bila ianya di bawa oleh satu kumpulan manusia yang benar-benar beriman dengannya, beristiqamah sedaya mungkin dan kemudiannya berusaha bersungguh-­sungguh untuk merealisasikannya di dalam hati dan kehidupan orang lain.” 157

Tidak dapat tidak, “mesti Islam dibangkitkan sekalipun jarak memang amat jauh antara mula bangkit dengan masa menerima kepimpinan dan kemenangan. Memulakan kebangkitan Islam adalah langkah pertama. Perjalanan tidak akan bermula tanpa langkah pertama ini.” 158

Angkatan pelopor Islam itulah angkatan yang mendapat taufik Allah dan akan berjaya. Sesiapa yang tidak menyertai mereka sekarang, pasti akan menyesal dan ‘kecewa habis’ sebagaimana Zuljausyan al-Dhababi r.a., seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang tidak Islam kecuali selepas pembukaan Mekah. Rasulullah SAW.  pernah mengajaknya kepada Islam selepas peperangan Badar

“Baginda bersabda:
“Tidak mahukah kamu menjadi salah seorang pelopor dalam kerja itu”?
Dia berkata: “Tak mahu”
Baginda bersabda: “Apakah yang menahan kamu”?
Dia menjawab: “Aku telah melihat kaummu mendustakan, mengusir dan memerangi kamu. Tengoklah nanti. Jika kamu mengalahkan mereka, aku akan berimanlah.. dan aku akan mengikutmu. Jika mereka mengalahkan kamu, aku tidak akan mengikutmu.”

Setelah beliau Islam, dia sentiasa kecewa dan menyesal kerana tidak segera Islam ketika diajak oleh Rasulullah S.A.W.” 159

Bukankah pada hari ini, ramai orang berfikiran sama seperti Zul Jausyan? Realiti pertempuran Is­lam mengajak mereka supaya menjadi kelompok perintis,  pelopor, pendahulu dan ketua kebangkitan Islam, tetapi mereka enggan. Mereka hanya duduk memerhati di belakang dan menunggu siapakah yang akan menang.

Berapa banyak agaknya jari-jemari yang akan digigit kerana rasa kesal ketika Allah memberi kemenangan kepada kumpulan Islam?

Dalam dunia Islam hari ini di banyak tempat, masih ada anasir individu-individu du’ah yang baik, ada pelbagai persatuan Islam, perkumpulan  mempelajari hadis-hadis serta pandangan salaf. Terdapat juga tariqat-tariqat sufi dan penuntut-penuntut pengajian syariah. Ada juga parti-parti Islam yang menyertai pilihanraya tetapi tidak bergantung sangat kepada cara tarbiyyah.

Tetapi, tiada satu pun di kalangan parti, tariqat, pertubuhan, perkumpulan, dan individu  ini bersungguh-sungguh bergerak di atas jalan dakwah yang berasaskan ketaatan kepada pada seorang amir, bersungguh-sungguh dalam pentarbiyahan dan merancang betul-betul untuk mengubah realiti yang menekan ini dan menukarkannya kepada pemerintahan Islam.

Semua jamaah-jamaah tadi -di mana sahaja mereka- sama ada di Afrika Utara, Afrika Timur, Afrika Barat, di Tanah Arab, Afghanistan, Iran, India, Asia Tenggara, China, Tajikistan, Uzbekistan, Turkemistan dan Dagestan- diseru supaya masing-masing mengoreksi kembali diri mereka. Mereka perlu memperbetulkan akidah mereka jika masih kedapatan anasir bid’ah. Mereka perlu tinggikan semangat mereka kembali sekiranya diselimuti rasa ketakutan. Mereka mesti membersihkan diri mereka dari sifat keakuan ego serta gila kuasa kesan dari terlalu lama bekerja dalam kelompok perkumpulan yang kecil. Mereka kemudian hendaklah memberi bai’ah kepada seorang pemimpin yang bebas, di sebuah gerakan Islam yang terserlah kejelasan matlamat taghyir, mempunyai taujih tarbawi yang utuh dan saf organisasi yang mantap.

Apabila muncul seorang pemimpin maju ke hadapan dan berkata: “Inilah aku!”, maka setiap individu jamaah ini semua sebenarnya mempunyai contoh ikutan dari dialog indah antara Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Ismail a.s. ketika Allah memerintahkan Nabi Ibrahmi membina Ka’abah.

“Berkata Nabi Ibrahim a.s.: “Wahai Ismail, Allah telah menyuruh aku satu perkara.”
Ismail lalu menjawab: “Lakukanlah sepertimana yang disuruh Allah kepadamu.”
Ibrahim bertanya: “Engkau akan menolongku?”
Ismail menjawab: “Aku akan menolongmu.” 160

Macam inilah jawapan orang yang beriman; nekad tanpa ragu-­ragu atau teragak-agak.

Allah  memerintahkan supaya dikembalikan pemerintahan Islam. Anda semua mestilah menjadi para penolong. Jangan ketinggalan, maralah, segeralah dan jadilah pengikut jejak Ismail.

Jangan hanya duduk di rumah.
Jangan dengar suara-suara tentang karier dan keuntungan bisnes di masa depan.
Di dalam jawapan Nabi Ismail a.s. itu terkandung satu modal anda yang sebenar.

Sekiranya kamu merasa pelik dan tidak mahu mendengar para pelopor ini, kerana kamu hanya mahu berpegang kepada fatwa-fatwa ulama’ silam sahaja, maka dengarlah penjelasan Imam Ibnu Taimiyah ketika menjelaskan ‘hadis al-ghurbah’:

“Ramai orang, apabila melihat kemungkaran, atau keadaan Islam telah berubah, dia menjadi gelisah, meratap hiba seolah-olah dia yang ditimpa mala petaka, walhal dia dilarang meratapi musibah. Dia sebenarnya disuruh bersabar, bertawakal, tetapkan pendirian di atas Islam dan beriman kepada Allah bersama-sama dengan orang yang bertaqwa.”

Ibnu Taimiyah menyambung lagi: “Sabda Rasulullah S.A.W. : “Islam akan kembali semula menjadi dagang (asing) sepertimana ketika ia mula-mula datang.” Dagang yang paling dahsyat ialah apabila orang yang telah muslim tiba-tiba menjadi murtad.

Firman Allah S.W.T.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu yang murtad dari ugamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkanNya; mereka bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.” (Al-Maidah 5:54)

Golongan ini akan membetulkan balik keadaan apabila orang yang telah Islam asalnya murtad dan keluar dari Islam.

Begitulah Islam, bermula dengan dagang dan kemudian menjadi kuat dan terus tersebar. Begitu juga kadangkala ia asing di kebanyakan tempat dan masa, tetapi kemudiannya ia lahir semula dan berkembang dan akhirnya Allah S.W.T. menguatkannya kembali sebagaimana yang telah berlaku pada zaman Umar bin Abdul Aziz. Ketika beliau dilantik menjadi khalifah, banyak perkara dalam Islam ini pelik kepada ramai orang hinggakan ada yang tidak tahu bahawa arak itu haram. Lalu, Al­lah memberi kemenangan kepada Islam dengan usaha Umar.” 161

Para Perintis Menjelaskan Sifat-sifat Jalan Dakwah

Sekiranya Allah memberi hidayah kepada anda dan anda telah menjadi angkatan pelopor, maka dengarlah pemimpin-pemimpin dakwah dan gerakan Islam zaman ini menjelaskan sifat-sifat jalan dakwah.

Perkara pertama yang diperingatkan oleh Imam al-Syahid Hassan al-Banna ialah: Perlu bersungguh-sungguh dan bekerja. Perlunya dilakukan ‘takwin’ (pembentukan) selepas  ‘tanbih’ (memberi peringatan) atau perlunya ‘ta’sis’ selepas ‘tadris’.162

Seterusnya beliau menjelaskan: “Setiap dakwah mesti mempunyai tiga marhalah:

1. Marhalah promosi, memperkenalkan (takrif), menyebarkan fikrah dan memastikan ianya sampai kepada semua lapisan masyarakat.

2. Marhalah Pembentukan (Takwin), memilih pendokong, mempersiapkan kader dan menyusun barisan dari kalangan orang yang telah menerima dakwah.

3. Dan selepas itu semua, marhalah pelaksanaan (Tanfiz), bekerja dan mengeluarkan produk.

Ketiga-tiga marhalah ini selalunya berjalan serentak dan seiringan memandangkan adanya kesatuan dakwah dan kaitan yang kukuh di antara ketiga-tiganya. Seorang da’i itu biasanya mengajak dan dalam masa yang sama dia bekerja dan men’tanfiz’. Tetapi, apa yang pasti, matlamat terakhir atau hasil penuh hanya akan dapat diraih setelah dakwah itu tersebar luas, mempunyai penyokong yang ramai dan takwin yang kukuh.”163

Ustaz al-Maududi pula mengajak kita memerhatikan sejarah Nabi Muhammad S.A.W. untuk melihat bagaimana: “seorang lelaki itu bangun berdiri keseorangan mencabar dunia seluruhnya. Dia menolak semua pemikiran-pemikiran salah dan jalan-­jalan bengkok yang menguasai dunia pada masa itu. Dia menawarkan sebagai gantinya akidah yang datang dari Allah. Satu akidah yang khusus dan mempunyai jalannya tersendiri. Dalam beberapa tahun sahaja selepas itu, dia telah berjaya mengubah arus perjalanan dunia dan telah menukar warna zaman dengan kekuatan usaha dakwah dan jihadnya.” 164

“..Menegakkan kepimpinan yang soleh di bumi Allah ini merupakan tugas yang sangat penting dan inti di dalam sistem Islam. Setiap orang yang beriman dengan Allah dan RasulNya dan mengambil ‘deen’ yang mulia ini tidak akan selesai kerjanya kecuali bila dia telah mengorbankan seluruh tenaga dan kemampuannya untuk membentuk hidupnya menurut acuan Islam.

Sekiranya tujuan dan maksud tertinggi itu tidak mungkin dapat direalisasikan kecuali dengan usaha secara berjamaah, maka tidak boleh tidak, mesti dibentuk satu jamaah yang soleh, yakin dan memelihara prinsip-­prinsip al-haq. Tiada tujuan lain dalam hidupnya kecuali menegakkan sistem Islam yang benar dan mentadbirkan kerja Islam dengan perhatian.

Demi Allah, sekiranya di muka bumi ini hanya ada seorang sahaja lelaki yang beriman, maka dia tidak boleh redha kepada kekuasaan batil. Jika dia merasai dirinya keseorangan dan ketiadaan wasilah yang mencukupi, ataupun dia merasai boleh lepas dengan alasan syara’ berdasarkan kaedah “memilih satu bencana (kerosakan) yang lebih ringan di antara dua bencana”, tetapi, sebenarnya, dia hanya ada satu jalan sahaja iaitu: menyeru manusia seluruhnya kepada cara hidup yang diredhai Allah, iaitu cara hidup Islam.

Sekiranya tiada seorang pun yang menyahut dakwahnya, maka tetap berdirinya dia di jalan yang lurus dan terus berusaha tanpa henti menyeru manusia kepada Islam hinggalah dia menemui Tuhannya (meninggal dunia) itu sebenarnya beribu-ribu kali ganda lebih baik bagi dirinya daripada dia melaungkan seruan jahiliyah yang menjanjikan keseronokan dunia hingga dia tersungkur di lembah kesesatan dan kejahilan.” 165

Tetapi, hakikat ini telah tidak difahami oleh ramai orang. Mereka merasai jalan ini cukup dengan sekadar pidato, syarahan, ceramah, resolusi­-resolusi dan konvensyen seminar semata-mata. Seorang da’i Islam yang agung, Syakib Arsalan Rahimahullah telah berusaha bersungguh-sungguh mengajar mereka jalan yang betul, namun dia tidak berjaya.

Di dalam sebuah risalahnya yang diterbitkan pada tahun 1931 dan disiarkan salinannya di dalam majalah al-Muslimun, beliau berkata kepada salah seorang warga Palestine: “Banyak surat-surat sampai kepadaku, sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu, Palestine. Penulis­-penulisnya mencadangkan supaya diadakan satu perhimpunan besar Islam, atau melantik seorang Khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun, seperti biasa aku akan menjawab: “Kita wajib memulakan usaha ini dari bawah. Kita perlu mentarbiyyah individu.”

Seterusnya beliau berkata: “Apalah gunanya mengadakan perhimpunan yang mengumpulkan orang-orang yang lemah, yang tidak mempunyai keinginan tersendiri dan tidak mampu melaksanakan apa-apa keputusan atau resolusi. Apa faedahnya itu semua? Adakah kamu mahu kami mengumpulkan angka-angka kosong?”166

Kata-kata beliau itu menyerlahkan kemuncak kesedaran dan pengalaman terkini pada da’i, tetapi rakan-rakan Syakib Arsalan telah mengecewakan beliau dan tidak bersemangat.

Kita masih dapat menyaksikan khatib-khatib di atas mimbar­-mimbar masjid pada hari Jumaat dan perhimpunan­-perhimpunan perayaan yang meratapi dan berdukacita. Mereka mengajak umat Islam untuk beramal dan berjihad. Mereka menutup ucapan dan pidato dengan kata-kata: “Islam menyeru kamu….” Sebaliknya mereka  tidak bertanya kepada diri mereka sendiri, ‘Manakah pemimpin yang harus dipercayai? Sedangkan pemimpin yang ada hanyalah boneka ditarik hidungnya dan hamba penjajah yang kononnya berkuasa.

Mereka tidak memahami jalan amal yang sahih. Syarahan dan pidato mereka hanya menambahkan lagi penderitaan dan kekesalan pada diri mereka dan pada para pendengar. Sekiranya mereka mengajar orang ramai supaya jangan lagi mengharap kepada para pemimpin hari ini, kemudian membimbing mereka agar berjamaah dan menjalankan tugas amar makruf dan mencegah mungkar yang dilakukan oleh parti-parti dan pemimpin-pemimpin yang berkuasa, pasti mereka dapat mencapai apa yang mereka inginkan.

Namun, sampai kini kita hanya masih mendengar laungan-laungan di dalam perhimpunan­-perhimpunan serta resolusi-resolusi di seminar-seminar sejak puluhan tahun lalu. Semuanya itu hanya merupakan  himpunan angka kosong.

Sebenarnya usaha dakwah mestilah dita’siskan dari bawah sepertimana kata Syakib. Tiada cara lain. Ianya adalah dengan khemah tanzim dan bukannya ­dewan-dewan seminar. Ia adalah dengan api semangat yang merdeka, bukan sinaran bintang.

Dirikanlah khemah mu di padang pasir jahiliyah kurun kedua puluh ini dan nyalakanlah apimu supaya ia dilihat oleh orang yang meraba-raba dan mencari-cari jalan, supaya mereka menuju kepadanya dan bernaung di dalam khemah kamu. Kamu panggillah puterimu: “Marilah anakku”, untuk menyemarakkan lagi nyalaan unggun api lalu kamu mengajarnya:

Marilah wahai anakku, nyalakanlah api itu sepanjang malam.
Nyalakanlah api itu, semoga api itu menjadi penunjuk
Nyalakanlah ia wahai manjaku
Sesungguhnya para da’i dalam kehairanan
Nyalakan ia untuk para pengembara di padang luas ini
Marakkan api dan nyalakanlah baranya
Semoga para pengembara segera datang kepadanya
Usirlah kegelapan yang pekat ini
Tunjukkanlah jalan ini kepada rama-rama yang sesat itu
Inilah api yang paling baik, dinyalakan di tengah malam yang gelap gelita
Itulah sebaik-baik penghibur yang menyalakan api hidayah itu
Bukan persinggahan yang menjadi tujuan pasukan
Tetapi ia hanyalah api yang menunjukkan jalan kepada pengembara yang mencari panduan
Bekalkanlah kami dengan kehangatan cinta dan tanggungjawab
Bekalkan kau wahai puteri si manjaku, dari nyalaan hidayah ini.167


Nota Kaki
  1. Hulagu (1217-1265), founder of the il-Khanid dynasty, which lasted about 70 years, in Persia. The grandson of Mongol conqueror Genghis Khan and brother of Kublai Kahn and Mangu Khan, Hulagu brought Persia and Iraq into the Mongol Empire, one of the largest continuous land empires in history. Ordered by Mangu to subdue the Mongols’ western neighbors, Hulagu led his enormous army into Persia in 1251 and by 1256 had crushed the heretic Ismaili order of Muslims (also known as the Assassins). In 1257 he besieged and sacked Baghdad after the Abbasid Caliph al-Mustasim rejected Hulagu’s demand for Abbasid surrender. In the massacre, only Christian lives were spared, apparently due to the intervention of Hulagu’s Christian wife. Baghdad burned for seven days, and some historians estimate as many as 800,000 people, including the caliph and his family, were killed.– Encarta Ency- pent.
  2. Imam al-Ghazali di dalam beberapa tajuk buku Ihya’ ‘Ulumuddin telah memberikan contoh peristiwa tersebut. Al-Nadwi pula menulis hal ini dalam buku beliau “Rijal al-Fikr wa al-Da’wah fi al-Islam”, cetakan kedua. Dr. Akram al-Umari menulis artikel membahaskan tentang akhlak-akhlak masyarakat ketika itu di dalam Majalah Kuliyyah al-Dirasah al-Islamiyah, Baghdad.
  3. Syukri Muhammad Nadim, Harb al-‘Iraq, 1914-1918
  4. Cerita mengenai parti ini boleh dibaca di dalam buku, Al-Baghdadiyyun: Akhbaruhum wa Majalisuhum karangan Ibrahim al-Darwabi.
  5. Petikan dari Diwan al-Asrar wa al-Rumuz, m.s. 108
  6. Ibid, m.s. 133
  7. Al-Maududi, Mujaz Tarikh Tajdid al-Din, m.s. 28
  8. Al-Maududi, Nahnu wa al-Hadarah al-‘Arabiyah, m.s. 251
  9. Said Qutb, Al-Islam, wa Musykilat al-Hadarah, m.s. 191
  10. Fi Zilal al-Quran, Juzu’ 10, m.s. 191
  11. Syed Qutb, Ma’alim fi al-Tariq, Jilid 9, m.s. 118
  12. Syed Qutb, Haza al-Din, m.s. 7
  13. Syed Qutb, Ma’alim fi al-Tariq, m.s. 7
  14. Tabaqat Ibnu Saad, Juzu’ 6, m.s. 47
  15. Sahih Bukhari, Jilid 4, m.s. 175
  16. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Jilid 18, m.s. 297
  17. Muktamar Ke-5, al-Majmua’ah, m.s. 239
  18. Ibid, m.s. 254
  19. Nahnu wa-al-Hadarah al-‘Arabiyah, m.s. 250
  20. Al-Usus al-Harakiyah li al-Harakah al-Islamiyah, m.s. 18
  21. Al-Muslimun, Bil. 2, m.s. 363
  22. Abdul Wahab Azam, disertakan dalam synopsis Diwan Risalah Masyriq, oleh Muhammad Iqbal.

Comments are closed.