2. Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari

BAB 2: Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari

Da’i enggan tunduk kepada penipuan. Mereka pantang melihat perancangan musuh berlaku. Lalu mereka bangkit berteriak kepada manusia.

Tetapi,…… majoriti manusia terus lena tidur.

Di depan matanya- pendokong kebatilan dan orang yang komfius bekerja kuat mati-matian meneruskan perancangan mereka. Dilihat keliling, hanya segelintir sahaja orang Islam dipelihara oleh Allah yang masih sedar… Selebihnya hanyut di dalam kelalaian.

Da’I kembali mengubati kesedihannya lantas bermonolog sendirian:

Telah bekulah daya juang di hati manusia itu
Mereka leka mengejari kekayaan dan kehidupan yang rutin
kealpaan orang-orang yang baik dan semangat orang-orang yang komfius
hampir-hampir menggoncangkan semangat juangku.39

Da’i itu pun mulanya menyalahkan dirinya sendiri.. takut-takut dia belum betul-betul menyampaikan dakwahnya. Tetapi, segera dia merasai bahawa dia telah melakukan apa yang termampu. Dia cuba memujuk dan menghiburkan dirinya sambil bermadah:

Mereka melihat daku di musim gugur, Lantaran hangatnya laguku,
Kelihatan aku bergembira bersama rakanku si burung camar
Tetapi sebenarnya aku dilahirkan di bumi,
yang dipenuhi jiwa-jiwa yang seronok diperhambakan…40

Sesungguhnya neraca keindahan telah bertukar. Generasi hari ini telah kehilangan kerja-kerja besar yang pernah memuliakan mereka suatu ketika dahulu. Seperti mana yang dikatakan oleh al-Rafi’ie:

“Kamu mencipta kata-kata hebat untuk berseronok dengannya.” 41

Walau bagaimana dahsyatnya pun kerosakan, seorang da’i tidak boleh meninggalkan tugasnya untuk menyelamatkan manusia.42  Segala kesangsian dan putus asa dalam usaha islah ini segera musnah bila dia tersedar kedudukannya berada di tengah-tengah rombongan orang-orang yang beriman yang sedang berjalan. Baton telah bermula dari para salaf, maka dia mesti menerima amanah ini dari mereka.

Demikianlah janji Allah. Angkatan kebenaran ini tidak akan pupus, angkatan demi angkatan, generasi demi generasi sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق، لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي  أمر الله وهم كذلك

bermaksud:

“Sentiasa akan ada satu golongan dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka sehingga datanglah hari kiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka.”43

Bahkan, kewujudan angkatan Islam di bumi ini, yang mentaati sepenuhnya kepada Allah, tidak menyeleweng dari jalan dan hidayah Allah, tidak lari daripada matlamat dakwah dan jihad itu adalah merupakan sebahagian dari sunnatullah yang menyempurnakan keseimbangan alam ini. Hilangnya kelompok ini akan menyebabkan timbangan itu terjungkit, tidak seimbang dan akan menggoncangkan seluruh alam ini.

Justeru itu, wujudnya dakwah rabbani ini adalah satu kemestian dan ketetapan Allah. Ia tidak mungkin hilang, sekali pun dibenci oleh taghut atau diserang bertubi-tubi oleh tali barutnya.

Sekiranya matahari tiada lagi atau graviti bumi telah lenyap, dapatkah kamu bayangkan kerosakan yang akan berlaku?

Demikianlah juga kewujudan dakwah. Ia umpama matahari, bulan, bintang-bintang, graviti, air dan udara yang membentuk sebahagian dari sunnah alam yang telah ditetapkan oleh Allah. Tanpa kesemuanya, tentulah akan berlaku kiamat.

Namun, kenyataan bahawa kewujudan dakwah adalah sebahagian dari sunnatullah ini hanya mampu dilihat oleh pemilik hati yang salim, sama sebagaimana graviti hanya dapat dilihat oleh orang yang berpelajaran.

Inilah inspirasi keteguhan azam seorang muslim untuk terus bersama di jalan dakwah. Mereka terus menghadapi kesusahan hanya semata untuk memastikan ketetapan Allah ini terus berlaku. Moga dengannya dia termasuk di kalangan orang yang berjaya. Tetapi, sesiapa yang berpaling dari jalan yang mulia ini, sunnatullah akan terus berjalan tanpa henti, tidak menghiraukannya. Allah akan memberi hidayah kepada kaum yang lain pula untuk menyerlahkan kekuasaan dan merealisasikan sunnahNya ini.44

Ustaz Hassan al-Hudhaibi telah merumuskan maksud di atas dengan kata-katanya:

“… Semua peristiwa mesti tunduk kepada kitab Allah dan sunnah rasulNya meskipun manusia melihat dunia tidak sebegitu. Agama ini sebenarnya aturan yang ditetapkan oleh Allah kepada manusia, sebagaimana Dia menetapkan hukum alam kepada matahari, bulan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan kepada segala apa yang ada di langit, bumi dan apa jua yang ada padanya.” 45

Beliau berkata:

“Jika matahari mempunyai paksi dan graviti, bumi mempunyai paksi dan beredar di atas orbitnya, maka demikian jugalah manusia dengan agama ini. Apabila agama ini hilang dari manusia, akan pincanglah keseimbangan. Sesiapa yang berfikir dengan mendalam pasti dapat melihat lebih jauh dari itu. Dilihatnya alam ini mempunyai rekabentuk dan binaan yang indah. Agama ini adalah sebahagian darinya. Oleh itu, agama ini perlu diwakili oleh sekelompok manusia dalam mana-mana waktu dunia ini.”

Abdul Wahab Azam juga memahami sunnah alam ini. Sunnah ini menjadikan orang-orang yang yakin dengannya tidak digugat oleh serangan kebatilan, gugurnya para syuhada atau ramainya pejuang yang berundur setelah tiba di separuh jalan. Beliau pun berkata:

Sunnatullah terhadap semua makhluk terus berjalan
Sesaat pun tidak berhenti dan berubah
Mereka yang merdeka terus berjihad pada jalan Al­lah
kerana jihad pada kebenaran tidak pernah hilang walau sehari 46

Pemahaman ini menjelaskan kehebatan pengetahuan dan kesedaran Abdul Wahab Azam.

Sesungguhnya Islam kita ini adalah satu berita agung. Ia menyempurnakan perjalanan alam ini. Alam akan rosak binasa tanpanya. OIeh itu, ia mesti diwujudkan di alam kenyataan, dan jahiliyah mesti dihapuskan bagi memastikan alam ini terus seimbang. Firman Allah:

قُلْ هُوَ نَبَأٌ عَظِيمٌ (67) أَنْتُمْ عَنْهُ مُعْرِضُونَ

bermaksud: “Katakanlah, ianya berita besar. Kamu berpaling daripadanya.” (Saad 38:67)

…Pada hakikatnya, perkara ini jauh lebih besar dari apa yang dilihat dengan pandangan zahir. Ia merupakan salah satu urusan Allah dalam alam wujud ini. Ia adalah satu ketetapan dan ketentuan Allah di dalam sistem kewujudan yang tidak terpisah dari urusan langit dan bumi, urusan masa lalu dan masa hadapan.

Sesungguhnya berita besar ini datang merentasi jauh kaum Quraisy di Mekah, bangsa Arab di Semenanjung Arab dan generasi yang sezaman dengan dakwah di bumi ini. Ia melampau tempat dan masa yang terbatas ini. Ia memberi efek kepada seluruh masa depan manusia, sepanjang zaman, setiap benua dan mengolah masadepan kemanusiaan semenjak turun ke bumi hingga ke berlakunya akhirat..

Islam turun ke bumi pada waktu yang ditetapkan untuk memainkan peranannya di alam ini pada waktu yang telah ditentukan Allah.

Kedatangannya telah mengubah garis perjalanan manusia kepada perjalanan yang telah digariskan oleh takdir Allah. Sama ada manusia itu beriman atau menolak, sama ada mereka berjihad bersamanya atau menentangnya, pada generasi tersebut  atau generasi selepasnya. Belum pernah terjadi di dalam sejarah manusia satu peristiwa yang meninggalkan kesan dan pengaruh sebagaimana pengaruh dan kesan yang ditinggalkan oleh Islam ini.

Berita besar ini, iaitu Islam, telah membentuk banyak nilai dan tasawwur. Ia banyak menanamkan kaedah dan sistem di seluruh muka bumi dan di kalangan semua manusia. Ianya tidak pernah tergambar dalam fikiran bangsa Arab sebelum kedatangannya bahkan tak pernah dapat dikhayalkan.

Ketika itu, mereka tidak terfikir bahawa Islam ini datang untuk mengubah senario dunia, mengalihkan perjalanan sejarah dan merealisasikan ketentuan Allah di dalam perjalanan hidup manusia. Tak pernah tergambar ia akan mempengaruhi jiwa, hati dan realiti manusia dan seterusnya menghubungkan mereka dengan seluruh garis perjalanan alam. Ia dihubungkan kemudiannya dengan al-haq yang tersimpan di sebalik kejadian langit dan bumi dan segala apa yang ada di antara keduanya. Hal ini akan berterusan sehingga hari kiamat, menyempurnakan peranannya di dalam memimpin manusia dan kehidupan.

Umat Islam pada hari ini berdepan dengan berita besar ini sebagaimana bangsa Arab di awal kedatangannya. Mereka tidak memahami tabiat dan hubungannya dengan tabiat alam ini. Mereka tidak memikirkan al-haq yang tersembunyi padanya sehingga mereka tidak memahami ianya adalah salah satu cabang al-haq yang ada di dalam binaan alam ini. Mereka tidak dapat mengesani pengaruhnya dalam sejarah manusia dan garisan perjalanannya yang panjang. Mereka sepatutnya merdeka dalam pandangan mereka dan bukannya bergantung kepada cara fikir musuh-musuh yang sentiasa memperkecil-kecilkan peranan Islam dalam pembentukan hidup manusia dan penentuan perjalanan sejarah. Oleh kerana itulah orang Islam sekarang tidak mengenali hakikat peranan mereka sama ada untuk masa dulu, masakini dan akan datang; sedangkan itulah peranan yang mesti dimainkan oleh ­umat Islam di muka bumi hingga akhir zaman.” 47

Sekiranya mangsa-mangsa perencanaan dan serangan fikiran jahiliyyah ini tidak dapat memahaminya… namun anak-anak singa da’i Islam ini faham. Ini dia kita dapat mendengar nasyid mereka yang mengalun tinggi dalam perjalanan mereka yang diberkati:

Kamilah pewaris yang cuba membimbing manusia
Kamilah rahsia  yang tersembunyi di sisi Allah,
Matahari sentiasa menyuluh cahaya kepada kami
Awan kami mengandungi kilat dan sinar yang terang benderang
Kami adalah cermin kepada kebenaran
Ketahuilah, tanda-tanda al-haq itu: wujudnya muslim.48

Begitulah fiqh dan kesedaran bila ia telah wujud. Tanda al-haq ialah wujudnya peribadi muslim. Kewujudan muslim yang sedemikian rupa adalah satu kepastian sejarah; dahulu, kini dan selamanya hingga hari kiamat.

“…..al-Haq adalah tiang seri alam ini. Sekiranya alam ini lari dari tiang serinya, rosak binasalah ia.

Firman Allah S.W.T. :

وَلَوْ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتْ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ

“Kalau sekiranya al-haq (kebenaran) itu mengikut hawa mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang berada di dalamnya.” (Al-Mukminun 23: 71)

Oleh itu, al-haq kebenaran mesti dimenangkan dan kebatilan mesti dihapuskan. Walaupun realiti semasa tidaklah sedemikian, tetapi kesudahannya jelas sebagaimana firman Allah:

بَلْ نَقْذِفُ بِالْحَقِّ عَلَى الْبَاطِلِ فَيَدْمَغُهُ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ

“Bahkan Kami lemparkan kebenaran di atas kebatilan itu lalu dipecahkannya. Tiba-tiba yang batil itu lenyap.”(Al-Anbiya’ 21: 18)49

Kalaulah manusia hari ini lihat Islam telah dipinggirkan dari kehidupan mereka, maka itu semua hanyalah umpama gerhana matahari. Segala berantakan, kezaliman dan kerosakan di muka bumi akibat jauhnya manusia dari Islam itu adalah bukti bagi orang yang dapat melihat benarnya apa yang kita sebutkan. Benar bahawa Islam adalah sebahagian dari sistem alam yang indah ini. Alam ini akan rosak tanpa kewujudan Islam.

Burung-burung akan kembali berlindung di sarangnya semasa berlaku gerhana matahari di tengahari. Secara fitrah, mereka tahu bahawa ada keganjilan sedang berlaku dan waktu terbenam matahari masih jauh. Saki-baki sinaran samar yang masih tinggal menjadi harapan untuk meneruskan kehidupan kembali. Burung-burung itu terus menunggu dan enggan tidur.

Maka begitulah juga orang yang hidup hatinya. Melalui fitrahnya, dia faham bahawa penyingkiran Islam dari kekuasaan adalah suatu peristiwa besar dan luarbiasa, namun ia bukan bererti tenggelamnya Islam. Ianya hanya suatu peristiwa ganjil bersifat sementara. Wujudnya jamaah yang mendokong al-haq (walaupun bilangan mereka sedikit) adalah harapan untuk mengembalikan semula Islam ke pentas kehidupan. Bahkan ini merupakan bukti yang kuat bahawa Islam akan benar-benar kembali hidup. Manusia yang lari dan memberontak itu akan kembali semula kepada Tuhan. Mangsa pendidikan dan acuan jahiliyyah akan tersedar dan akan kembali berpegang atas jalan yang lurus.

“Penyingkiran Islam dari kepimpinan manusia adalah satu kejadian dahsyat dan malapetaka yang besar dalam sejarah dan kehidupan manusia. Malapetaka yang tiada tandingannya.

Dulunya Islam telah mengambil kepimpinan ini ketika bumi telah rosak, hidup telah menjadi busuk, pemimpinnya busuk dan zalim dan manusia seluruhnya menderita dari pimpinan itu.

Firman Allah S.W.T.:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

“Telah lahirlah kerosakan di darat dan di laut, kerana perbuatan tangan manusia.” (Al-Rum 30: 41)

Islam telah mengambil kepimpinan  dunia ini dengan al-Quran, dengan tasawwur baru mengikut al-Quran dan syariat yang diambil dari tasawwur ini. Ia menjadi kelahiran baru untuk manusia yang lebih besar ertinya dari kelahiran ia sendiri. Al-Quran telah membentuk tasawwur baru untuk manusia ini. Tasawwur  terhadap alam, nilai-nilai dan sistem-sistem. Ia juga membentuk satu realiti masyarakat yang unik. Realiti yang tak pernah terfikir oleh akal manusia sebelum ia dibentuk betul-betul oleh al-Quran di dalam realiti.

Benar ! Realiti yang terbentuk ini terlalu bersih dan indah, agung dan tinggi, sederhana dan mudah, realistik, positif, seimbang dan tanasuq. Ianya tak pernah terlintas di fikiran manusia kalaulah tidak dengan kehendak Allah dan direalisasikan -dengan izin Allah- di dalam hidup manusia di bawah naungan, manhaj dan syariat al-Quran.

Kemudian, berlakulah malapetaka besar itu. Islam disingkirkan dari kepimpinan. Jahiliyyah sekali lagi mengambil alih kuasa. Jahiliyyah dalam pelbagai corak. Bentuk pemikiran materialisme yang dikagumi oleh manusia hari ini. Ianya umpama kanak-kanak yang kagum melihat pakaian dan permainan yang berwarna-warni dan bersilau-silau.” 50

Tetapi hal ini tidak pernah didiamkan oleh da’i Islam. Minda kanak-kanak mesti dibuka dan diperlihatkan hakikat undang-undang kejadian alam ini.

Muslim yang sejati tak akan dapat percaya bahawa ‘manusia duniawi’ akan mampu berkata yang betul. Bagi da’I, yang betul hanyalah apa yang turun dari langit. Mereka tidak sekali-kali berpaling dari kebenaran itu dan tidak mungkin melampauinya, terutama selepas sabda Rasulullah S.A.W:

Kata-kata yang paling benar yang pernah diungkapkan oleh penyair ialah kata-kata Labiid51: “Ketahuilah bahawa segala sesuatu selain dari Allah adalah batil(mengarut dan tidak betul).”52

Pena telah diangkat dan lembaran telah pun kering.

Segala sesuatu yang lain daripada Allah adalah batil dan mengarut belaka. Tidak ada manhaj hidup yang benar kecuali manhaj hidup Islam. Segala ibadat kepada yang lain dari Allah adalah batil. Itulah yang dimaksudkan oleh Rib’iyy bin ‘Amir semasa dia berkata kepada Rustam (panglima agung tentera Farsi): “Allah mendatangkan kami ke sini supaya kami mengeluarkan manusia dari menyembah sesama manusia kepada hanya menyembah Allah.” 53

Sesungguhnya Islam adalah satu-satunya cara hidup yang dengannya manusia terbebas dari perhambaan sesama manusia.54 “Sekiranya mereka tunduk, mereka hanya tunduk kepada Allah sahaja dan sekiranya mereka mengikut undang-undang, mereka hanya taat kepada undang-undang Allah sahaja. Sekiranya mereka tunduk kepada sesuatu sistem, mereka hanya tunduk kepada sistem Allah sahaja. Kerana itulah mereka benar-benar bebas dari perhambaan kepada sesama hamba, kerana mereka menjadi hamba-hamba kepada Allah sahaja tanpa sekutu.” 55

Sujud pembebasan

Syiar dan simbol untuk semua itu ialah sujud mereka kepada Al­lah. Sujud yang meninggikan hati. Syiar dan simbol golongan jahiliyyah pula ialah sujud kepada kebendaan dan seks yang mematikan hati.

Sesungguhnya sujud muslim yang sejati kepada Allah itulah lambang ketinggian dan kemuliaan, syiar kemerdekaan dan enggan menuruti segala taghut.

Sujud itu menundukkan dahi, tetapi
Memuliakan dan meninggikan muslim yang bertasbih padaNya
Si jahil menyangkanya belenggu ke atas hamba
tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu-belenggu itu
Padanya, semua makhluk akan tunduk kepada muslim yang sujud
Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya
Wajah dan seluruh anggotanya melekat di bumi
Tetapi ia menggoncangkan gunung-ganang
Meruntuhkan syirik dan was-was di dalam diri,
tetapi ia juga  membangunkan generasi-generasi
Dalam diam, kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi
lantaran kehebatan dan kebesaranNya
Sujudnya hanya kepada Allah, ia mengesakanNya, lalu mantap dan kuat
Menghapuskan setiap penzalim yang sombong
Barangsiapa menghayati sujud ini,
dia menikmati kepimpinan dan ketuanan di muka bumi, dengan keagungannya, rahmat dan keindahannya56

Itulah yang dinamakan sujud pembebasan. Seorang muslim itu dapat menghancurkan belenggu nafsunya dengannya lalu dia menjadi manusia merdeka.

“Dia merdeka. Hanya menerima segala tasawwur, sistem, cara hidup, syariat, undang-undang, nilai dan neraca pertimbangan dari Allah sahaja. Jadilah dia sama dengan manusia lain, semuanya berdiri pada taraf yang sama. Mengadap tuan yang satu dan tidak menjadikan sebahagian daripada mereka sebagai Tuhan, selain dari Allah.” 57

Manusia akan sentiasa menderita, kelam kabut, bimbang dan sakit selagi mereka tidak sujud seperti sujud ini dan berpegang dengan akidah Islam ini. Penderitaan jiwa yang berterusan yang dialami -walaupun maju dalam kebendaan- benar-benar membuktikan bahawa akal sahaja tidak mampu menjadi neraca seimbang jika tidak dipandu oleh akidah yang benar. Akal sentiasa dipengaruhi  nafsu sebagaimana kita dapat lihat sentiasanya. Akal hilang upaya untuk menghadapi pelbagai tekanan selagi kawalan dan pertimbangan akidah tiada di sampingnya.58

Tiada kebahagiaan bagi manusia dan tiada penyelamat dari tergelunsur jatuh oleh arus deras jahiliyyah melainkan mereka berpaut kepada akidah Islam yang akan memandunya ke jalan yang benar. Akidah Islam akan memberikan jawapan yang betul terhadap semua persoalan yang ada dalam benak semua manusia. Akidah Islam ini akan membuka pekung dakwaan pemikiran jahiliyyah yang telah lama menyekat antara manusia dengan fitrah mereka.

Pada hari itu sahajalah, manusia akan kembali menikmati erti kebahagiaan.

“Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah, anda hidup
Untuk pemikiran yang benar dan kukuh
Untuk akidah terbesar yang menyelesaikan,
Permasalahan alam yang lampau
Menjawab persoalan mereka yang kebingungan
Semasa mereka sedar dan cerdik boleh berfikir
Dari manakah aku datang? Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku diciptakan? Adakah aku hidup kembali?

Lalu bersinarlah keyakinan di dalam jiwa
Terusir segala keraguan yang degil
Terdidiklah fikiran yang waras
Terciptalah akhlak yang mulia
Dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng
kepada jalan yang benar dan lurus
Hidupmu akan dikurniakan nilai
Oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
Supaya matamu memandang di segala ufuk
Ke arah cita-cita yang tinggi
Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat
Di sanalah kamu hidup kekal dan tidak fana’
Kau tudung bumimu dengan langit
dan para malaikat menjadi saksi
Itulah akidah Islam untuk muslim yang bahagia
Itulah asas, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
dengan namanya; dialah orang yang berbahagia59


Nota Kaki
  1. Al-Amiri, Diwan Ma’a Allah, m.s. 110
  2. Muhammad Iqbal, Diwan Dharb al-Kalim, m.s. 14
  3. Wahyu al-Qalam, jilid 1, m.s 103
  4. Dari cara hidup jahiliyyah kepada cara hidup Islam, mengeluarkan mereka dari kesesatan kepada hidayah, dari kebatilan kepada kebenaran dan dari kezaliman kepada keadilan.
  5. Sahih Muslim, Jilid 6, m.s. 52
  6. Lihat 9:39 dan 47:38
  7. Majalah al-Dakwah, Bil. 52
  8. Abdul Waham Azam, Diwan al-Mathani, m.s. 133
  9. Syed Qutb, Fi Zilal al-Qur’an, Juzu’ 23, m.s. 107
  10. Muhammad Iqbal, Diwan al-Asrar wa al-Rumuz, m.s. 27
  11. Muqaddimah al-Zilal, Jilid 1, m.s. 7
  12. Ibid, Juzu’ 1, m.s. 9
  13. Labiid bin Rabi’ah al-Amiriy, penyair agung di zaman Jahiliyyah. Masuk Islam dan menjadi salah seorang sahabat. Tinggal di Kufah hingga meninggal tahun 41H/661M.
  14. Sahih al-Bukhari, Jilid 5, m.s. 53
  15. Tarikh al-Tabari, Jilid 3, m.s. 520
  16. Al-Zilal, Juzu’ 4, m.s. 206
  17. Ibid
  18. Abdul Wahab Azam, Majalah al-Muslimun, Tahun 1, m.s. 961
  19. Al-Zilal, Juzu’ 3, m.s. 206
  20. Ibid, Juzu’ 7, m.s. 57
  21. Yusuf al-Qardhawi, Majalah a;-Tarbiyah al-Islamiyah, Tahun ke-6, m.s. 278

Comments are closed.