7. Jihad Dengan Hujah

BAB 7: Jihad Dengan Hujah

Kesedaran seorang muslim terhadap wajib dakwah, fiqhnya terhadap masalah ini dan kejelasan pandangannya terhadap kedudukan masalah ini dalam Islam, ini semuanya menentukan titik tolak dalam kehidupannya sebagai seorang individu muslim. Ia juga merupakan langkah mula bagi perencanaan suatu reformasi jama’i.

Kerana itu, kita perlu beriya-iya untuk menjelaskan kewajiban dakwah ini, beriya menceritakan bagaimana salafussoleh melaksanakannya dan perlu bersungguh menyebutkan contoh-contoh mereka yang menghidupkan kembali sunnah itu di kurun kita ini.

Sebagaimana kita telah lihat Abdullah bin Mas’ud r.a. meletakkan dirinya di Kufah untuk menghapuskan uzlah115,  maka begitu juga al-Hassan al-Basri -pemimpin tabi’in- rahimahullah meletakkan dirinya di Basrah untuk menaikkan semangat orang ramai, menjelaskan erti islah (memperbaiki masyarakat) kepada mereka. Beliau membacakan firman Allah S.W.T. kepada penduduk Basrah :

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ

“Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-­orang muslimin.” (Fussilat: 33)

Kemudian dia berkata:

“Dia ialah mukmin yang menyahut seruan Allah, menyeru manusia kepada apa yang disahuti dari seruan itu dan mengerjakan amal soleh di dalam menyahut seruan itu. Inilah kekasih Allah dan wali Allah.”

Bukan seperti orang lain yang mengasingkan diri, membisu dan berkurung.

Semasa Ibnu al-Qayyim memetik kata-kata Hassan Basri ini , beliau menambah: “Maqam dakwah ke jalan Allah itu adalah semulia-mulia maqam seorang hamba.” 116

Begitu pantas Ibnu Qayyim memahami kata-kata Hassan Basri dan begitu juga begitu seiras kata-kata beliau dengan kata-­kata Abdul Qadir al-Kailani yang telah kita sebutkan sebelum ini. Ini membuktikan wujudnya kesatuan faham hasil dari kesatuan metodeologi yang mereka lalui.

Petikan Yang hampir sama Dari Satu Cahaya

Sebenarnya kesatuan kata-kata yang diungkapkan oleh orang yang kami telah kutip itu adalah kerana  kesatuan method mereka. Metod mereka ialah hanya menjadikan Al-Quran dan hadis sahih sahaja sebagai sumber faham,  kesediaan jiwa sepenuhnya untuk menerima seluruh mesej Al-Quran dan hadis yang berpandukan akal yang waras dan pengertian zahir dari segi bahasa. Bermula dari  para sahabat Nabi dan kemudiannya diikuti oleh para tabi’in, disusuli lagi oleh Ibnu al-Jauzi, Syeikh Abdul Qadir al-Kailani, Ibnu Taimiyah dan Ibnu al-Qayyim sehinggalah berakhir kepada sebahagian dari tokoh-­tokoh di zaman ini seperti al-Rafi’e, Iqbal, Abdul Wahab Azam dan pemimpin gerakan dakwah seperti Imam Hassan Al-Banna, al-Maududi, Abdul Qadir Audah dan Syed Qutb. Golongan yang mempertahankan kebenaran ini akan terus bergerak, mengambil erti zahir nas-nas hinggalah ke hari kiamat.

Ia berbeza dengan kaedah yang digunakan oleh pelbagai kelompok yang terpengaruh dengan kecelaruan falsafah, tendency bid’ah, keinginan nafsu, kebaculan dan berkepentingan. Mereka hanya mencari dan mengambil sesuatu yang sesuai dengan akal dan nafsu mereka. Jika ada perkara yang mendedahkan kesilapan mereka, ianya akan diketepikan atau sedaya upaya cuba dipalingkan dari maksud sebenarnya yang zahir.

Surah Al-’Asr Sudah Memadai

Di dalam Al-Quran, terdapat sebaris ayat yang cukup memadai dan besar ertinya bagi pendokong manhaj yang pertama dan sahih tadi; iaitu firman Allah S.W.T.

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

“Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan orang-orang yang berwasiat (nasihat­-menasihati) dengan al-haq dan berwasiat dengan kesabaran.” (Al-’Asr 103:1-3)

Bahkan sebenarnya satu perempat surah ini pun sudah mencukupi iaitu orang yang saling berpesan dengan kebenaran itu akan mendapat keuntungan. Kerana itulah Rasulullah S.A.W. menyifatkan surah al-’Asr sebagai menyamai satu pertiga dari al-Quran.117 Dua perkataan sahaja (iaitu saling berpesan atas kebenaran) sudah cukup untuk menjelaskan kewajipan dakwah. Inilah yang menjadikannya menyamai satu perempat dari satu pertiga al-Quran.

Setiap manusia dalam kerugian. “Kecuali or­ang yang telah menyempurnakan kekuatan pengetahuannya dengan beriman kepada Allah dan menyempurnakan kekuatan amalannya dengan mentaati Allah. Inilah adalah kesempurnaan pada dirinya. Kemudian, dia juga perlu menyempurnakan orang lain dengan menasihati mereka untuk melakukan perkara yang sama untuk kesempurnaan iman dan amal dan menasihati mereka supaya bersabar untuk itu semua.

Kerana itu, Imam Syafi’ie r.a telah berkata: “Sekiranya manusia berfikir tentang kandungan surah al-‘Asr, ia sudah mencukupi bagi mereka.” 118

“Allah bukan hanya menyuruh manusia agar mengenali kebenaran dan bersabar dengannya, tetapi Dia juga menyuruh mereka agar saling menasihati sesama mereka dengan kebenaran dan kesabaran sambil mendorong mereka untuk melakukannya. Jika tidak, maka mereka itu juga masih termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.” 119

Sebagaimana yang diungkapkan oleh seorang da’i lain; Muhammad Mahmud Al-Sawwaf:

“Syarat untuk manusia selamat dari sebarang kerugian telah ditentukan oleh Allah S.W.T. iaitu bergantung kepada pengetahuan mereka terhadap kebenaran. Setelah mengenali kebenaran, mereka iltizam pula dengannya, menegakkannya di dalam hati, hidup bersama kebenaran dan demi kebenaran. Mereka tidak akan terlepas dari tanggungjawab dengan hanya semata-mata mengenali kebenaran  sekiranya tidak menceritakannya kepada manusia lain, menyeru dan bersungguh-sungguh membawa mereka untuk berpegang teguh dan mengikut kebenaran itu.

Mengajak dan menyampaikan khabar gembira kepada manusia dengan kebenaran merupakan cabang kepada mengenal dan beriman kepada kebenaran. Tidak sempurna akar tanpa dahan ini. Sesiapa yang tidak berusaha membawa manusia kepada kebenaran yang sebenar setelah mengenali dan mengikutinya, dia adalah orang-orang yang rugi. Perintah Allah S.W.T. jelas dalam ayat tersebut iaitu ‘tawasi‘ dengan kebenaran. Erti ‘tawasi’ terang-terang dan jelas membawa erti dakwah kepada kebenaran.

Sekiranya kamu telah mengenali kebenaran dan kamu telah melihat pula pendokong kebatilan menyimpang dari kebenaran, tetapi kamu tidak menyeru dan mengajak mereka agar menurut jalan kebenaran, jalan yang lurus dan cahaya yang jelas, tidak syak lagi bahawa kamu adalah dari kalangan orang yang rugi. Kamu rugi kerana tidak melaksanakan perintah Allah dan kamu tidak berpesan-pesan atas kebenaran. Kamu hanya mengambil al-haq itu untuk diri sendiri sahaja dan tidak membawa orang lain kepadanya. Seorang muslim yang sejati tidak hidup untuk dirinya sahaja bahkan dia juga hidup untuk orang lain. Jika dia telah memperbaiki dirinya, maka dia wajib pula berusaha memperbaiki seluruh manusia lain, mengikut kemampuan dan lingkungan masing-masing. Nas ayat ini sangat terang dan tidak boleh ditakwil lagi.” 120

Da’i Merupakan Mujahid dan Muhajir

Allah S. W. T. akan mengurniakan pahala  mujahidin dan muhajirin kepada orang yang saling berpesan-pesan dengan kebenaran, menyuruh rnanusia kepada ma’ruf  dan melarang mereka dari kemungkaran. Mereka melontarkan hujah-hujah dan keterangan Allah untuk membidas pendapat akal yang sesat dan menyeleweng. Amar ma’ruf dan Nahi mungkar dikira sebagai jihad dan tetap thabat di atas jalan dakwah pula dianggap sebagai ‘hijrah’.

Kata Ibnu al-Qayyim: “Telah maklum bahawa perintah jihad mutlak hanya datang setelah hijrah dari Mekah ke Madinah. Tetapi, jihad hujah telah diperintahkan di Mekah lagi dengan firmanNya:

فَلَا تُطِعْ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا

“Maka janganlah engkau ikut orang-orang yang kafir itu dan berjihadlah menghadapi mereka dengan Al-Quran dengan jihad yang besar.” (Al-Furqan 25: 52)

Surah ini adalah surah Makkiyah (diturunkan di Mekah). Jihad yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah jihad tabligh dan jihad hujah”121

Berjihadlah menghadapi mereka dengan al-Quran wahai Nabi s.a.w. dan….. Dan wahai pewaris dan pengikut Nabi Muhammad S.A.W. pula…..berjihadlah menghadapi mereka dengan al-Quran

Ertinya kita bangun menghadapi pendapat dangkal akal mereka itu dan kita hancurkannya dengan hujah-hujah dari al-Quran… kebatilan mereka itu akan segera hancur binasa.

Oleh itu, dakwah, amar ma’ruf dan nahi mungkar, pesan-memesan dengan kebenaran dan kesabaran adalah sejenis dari jihad di jalan Allah. Justeru itu sepatutnya kita di dalam fiqh dakwah ini berusaha mengenali sebanyak mungkin selok-belok dakwah dan sifat-sifat da’I, berdasarkan kias kepada hukum jihad dengan senjata. Begitu juga para da’i diwajibkan agar memahami ayat-ayat al-Quran dan hadis mengenai perintah berjihad bahawa ia adalah ditujukan kepadanya apabila da’i tersebut menyeru orang ramai dalam mengerjakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Walaupun kelihatannya kerja dakwah bukanlah seperti betul-betul berperang pada jalan Allah, tetapi ia juga menghadapi risiko peperangan, kekalahan, wujudnya orang yang tidak berdisiplin atau bermudah-mudah, pelemah semangat dan pengkhianat yang menikam dari belakang. Disebabkan perkara-perkara tersebut, maka mereka yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar diharapkan berhak mendapat pahala orang-orang yang berjihad di medan perang, Insya-Allah.

Para Da’i juga mendapat pahala Muhajirin sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah dalam menafsirkan ayat al-Quran berikut:

Firman Allah S.W.T.:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَنَصَرُوا أُوْلَئِكَ هُمْ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا

“Orang-orang yang beriman, berhijrah serta berjihad di jalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat tinggal dan menolong, mereka itulah orang-orang beriman yang sebenarnya.” (Al-Anfal 8: 74)

Kata Ibnu Taymiyyah: “Menurut sebahagian dari salafussoleh: “Termasuk di dalam pengertian ayat ini ialah orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad hingga hari kiamat.” Begitu juga firmanAllah S.WT. :

والَّذِينَ هَاجَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا فُتِنُوا ثُمَّ جَاهَدُوا وَصَبَرُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

“Dan orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka diuji (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu – sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nahl 16: 110)

“….termasuklah di dalam pengertian ayat ini setiap orang yang telah digoda oleh syaitan supaya menjauhi agamanya atau supaya melakukan maksiat, tetapi kemudiannya dia meninggalkan segala kejahatan, sedaya ­upaya melawan hawa nafsu dan musuh-musuh lain, berjihad menghadapi kaum munafik melalui kerja-kerja amar ma’ruf nahi mungkar serta bersabar menghadapi perkataan dan perbuatan yang dilemparkan kepada mereka. Allahu’a’lam.” 122

Kesungguhan Al-Kailani Menerangkan Kewajipan Dakwah

Kita cenderung untuk beriya-iya benar menerangkan wajib dakwah ini dan mengganggapnya sebagai muntalaq. Perkara ini sebenarnya sama seperti yang telah dilakukan oleh al-Syeikh Abdul Qadir al-Kailani Rahimahullah. Dalam khutbah setiap minggunya, beliau terus menerus mengingatkan penduduk Baghdad. Atau lebih tepat, beliau memberi peringatan kepada pemuda-pemuda terpilih yang datang berhimpun dari seluruh dunia ke ibu negara Islam, Baghdad.

Marilah kita jejaki bersama-sama Imam al-Kailani di zamannya itu. Beliau menyifatkan pada da’i dengan katanya: “Mereka itu berada di maqam dakwah, menyeru manusia untuk mengenali Allah swt., sentiasa menyeru hati-hati manusia.” 123

Beliau menganggap peluang yang diberikan Allah S.W.T. kepada seseorang hamba untuk berada di maqam dakwah ini adalah merupakan sebesar-besar nikmat. Sibuknya hamba itu di dalam dakwah adalah menjadi bukti benarnya dia sebagai pengikut dan penyambung tugas Nabi S.A.W..

Katanya:

“Tanda benarnya seseorang itu mengikut Rasulullah S.A.W. ialah dia dipakaikan padanya baju besi dan topi besi Baginda, disandangkan padanya pedang Baginda, dikurniakan kepadanya adab, sifat dan akhlak baginda, di pakaikan padanya persalinan baginda dan dia sangat gembira. Betapa tidak, kerana dia telah menjadi umat Baginda saw.? Kerana itu, dia bersyukur kepada Tuhannya. Kemudian Allah S.WT. melantiknya sebagai pengganti kepada Nabi S.A.W. di kalangan umatnya. Dia menjadi penunjuk dan da’i membimbing mereka kepada Allah S.W.T.

Baginda Rasulullah saw adalah da’i dan penunjuk. Apabila Baginda saw wafat, Allah telah memilih pengganti dari kalangan umatnya. Mereka tidak ramai, hanya beberapa individu sahaja dari tiap-tiap sejuta. Mereka memandu umat,  bersabar menghadapi tekanan dan gangguan manusia. Mereka terus-menerus memberi nasihat, tersenyum berhadapan dengan orang munafik dan fasik. Mereka berusaha dengan pelbagai cara untuk melepaskan manusia dari nifaq dan fasik dan membawa manusia kepada Allah Azza Wajalla.” 124

Kemudian al-Kailani menyeru supaya mematikan hawa nafsu yang jahat ‘ammarah’ yang  mengajak kepada kejahatan, supaya tercapai kehidupan dakwah.

“dimatikan kemudian dibangkitkan. Bila Dia kehendaki, akan dibangkitkannya kamu untukNya. Kamu dikembalikan kepada manusia, supaya kamu melihat apa yang baik untuk maslahah mereka dan kembalikan mereka kepada pintuNya. Kamu diberi rasa cenderung kepada dunia dan akhirat supaya kamu mengambil bahagianmu daripada kedua-duanya. Kamu diberikan kekuatan untuk menghadapi manusia untuk kamu tarik mereka dari kesesatan.” 125

Syeikh al-Kailani kemudiannya meringkaskan sifat-sifat da’i dan syarat-syarat tauthiq di dalam satu sifat yang ringkas dan padat; iaitu sifat tajarrud kamil dan tenggelam sepenuh dirinya ke dalam dakwah. Da’i itu lupa dirinya. Dia tidak nampak kecuali mad’unya. Perkataannya hanya yang memberi kebaikan kepada mad’unya. Dunia da’i adalah luas tanpa had, tanpa perniagaan, tiada keinginan sendiri dan tiada mengejar pangkat. Semua itu tiada dalam dunianya. Yang ada di dalam dunia da’i hanyalah para mad’u yang didakwahnya. Itulah perniagaannya, keseronokkannya dan pangkatnya.

“Dia seolah-olah manusia tanpa nafsu, tanpa keinginan dan tanpa keseronokan dunia. Dia lupa makan minum dan pakaiannya. Bahkan lupa dirinya sendiri kerana mengenangkan makhluk Allah S.W.T. Di dalam hatinya tidak ada dirinya. Yang ada hanyalah makhluk Allah S.W.T (yang menjadi mad’unya). Apa yang dimintanya hanyalah perkara yang boleh membawa kebaikan kepada manusia kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada qada’ Allah S.W.T.” 126

Itulah da’i contoh. Itulah sifat orang yang ingin menjadi “qa’idah sulbah” (core group) di mana Islam hari ini akan dapat dibina.

Demi Allah, dakwah ini tidak akan berjaya dan sampai ke mana sekiranya kita hanya memberikannya waktu lebihan untuknya, dan kita belum melupai diri dan makan minum kita.

Jahiliyyah abad ke dua puluh ini telah menambahkan lagi kegelapan zaman mutakhir ini segelap-gelapnya. Janganlah kamu rela hidup di dalam kegelapan, tetapi:

Jadilah pelita yang menyala di tengah malam yang gelap gelita
Memandu dan terangilah manusia kepada hidayah
cergaslah untuk agamamu dan jangan malas-malas
Kerja dan gerakkan orang yang diam itu
Jika dakwahi, mulakanlah dengan kaum keluargamu
kerana mereka itu lebih utama dan lebih hampir untuk dinasihati
Allah menyuruh mulai kaum keluarga
dan selepas itu, urusan menjadi mudah.127


Nota Kaki
  1. Pengasingan diri dari masyarakat.
  2. Ibnu Qayyim, Miftah Dar al-Sa’adah, Jilid 1, m.s. 153
  3. Sahih al-Bukhari, Jilid 6, m.s. 233
  4. Ibnu al-Qayyim, Al-Jawab al-Kafi li man saala ‘an al-Dawa’ al-Syafi, m.s. 73
  5. Ibnu al-Jauzi, Igathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, Jilid 1, m.s. 33
  6. ‘Iddah al-Muslimin fi ma’ani al-Fatihah wa Qasar al-Suwar, m.s. 87
  7. Ibnu al-Qayyim, Zad al-Ma’ad, Jilid 2, m.s. 58
  8. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Jilid 18, m.s. 284
  9. Abdul Kadir al-Kailani, al-Fathu al-Rabbani, m.s. 7
  10. Ibid, m.s. 83
  11. Ibid, m.s. 107
  12. Ibid, m.s. 211
  13. Walid al-A’zami, Diwan al-Zawabi’, m.s. 124

Comments are closed.