10. Keselarasan dan Kesyumulan

BAB 10: Keselarasan Dan Kesyumulan

Ada dua petanda yang sejak dulu lagi menjadi pengenalan kepada Islam:

  1. Sifat ‘isti’la’ (rasa tingginya) dan merasa rendahnya segala prinsip lain. Tegas bahawa semuanya adalah sesat.
  2. Sifat yang lahir dari isti’la’ ini, iaitu rasa perlu memisahkan diri dan meninggalkan pengikut-pengikut ‘al-hawa’.

Dalam dua sifat ini tergambar nature taghyir (sikap merubah) yang telah ditetapkan oleh Allah pada Islam. Dari sini ia pula menjadi sifat dan tabiat gerakan Islam.

Disebabkan sifat dan nature ini, maka gagallah segala langkah untuk berdamai, musolahah, toleransi dan saling hidup sekali antara Islam dengan kufur.

Perbezaan cara fikir menghalang Pertemuan

Justeru itu, ramai penyair-penyair dakwah telah menumpukan fokus bagi menerangkan tabiat taghyiriyyah Islamiyyah. Ia ditegaskan oleh seorang penyair dan da’i, Mahmud Aal-Jaafar. Katanya:

Itulah tiang yang memancarkan sinaran laksana matahari
Allah matlamat kami, ucap kami dengan pasti
Al-Quran perlembagaan kami, kami tidak menerima selain dari
al-Quran, syariat menghukum dan memimpin
Bagi kami, Islam hanyalah dakwah
Dan sinaran yang menghidupkan manusia dan mengajar mereka
Bagi kami, Islam adalah kekuatan,  memukul dan memusnahkan kepala si degil168

Bagaimana ianya tidak jelas? Adakah kita akan biarkan kerja ini kepada manusia yang sesat? Keadaan yang mesti kita tolak.

Kerajaan-kerajaan telah lari dari hidayah, dan mereka telah sesat dari jalan yang lurus
Politik mereka menjadikan mereka menunggang
kenderaan yang berjalan dengan petunjuk kedegilan
sebahagian mereka terang-terang di dalam kesesatannya
sebahagiannya pula bersembunyi di balik “sikap berkecuali”169
Mereka lupa tanggungjawab kepada manusia dan takbur
berlakulah malapetaka dan bencana yan meliputi seluruh dunia.
Bagaimana boleh selamat dan terus hidup, sedangkan mereka bertindak menurut ijtihad yang dipandu oleh nafsu
Tiap-tiap manusia hendak menguasai kumpulan kambing menurut kehendak dan seleranya, itulah sejahat-jahat kehendak.
Tidak mahukah kita berlumba-lumba mendapat pertolongan Allah. Tidak mahukah kita menyahut seruan jihad?
Sama ada hidup dalam hidayah yang dipenuhi kemuliaan ataupun mati syahid di gelanggang jihad pada hari pertarungan.170

Jika diikutkan, sebagai da’i aku boleh hidup berdamai dengan jahiliyyah

Tetapi, mereka melalui jalan yang menyeleweng
dari jalan yang mulia dan terang,
Kerja mereka dikuasai oleh ketua-ketua yang,
Cara fikir mereka  bertentangan dengan cara fikirku
Cara hidup mereka lari dari hidayah Allah
Mereka melalui jalan mereka, aku melalui jalanku
kami tidak akan bertemu.171

Kalaulah kerana cara fikir keduanya yang berbeza dan jalan yang bertentangan pun cukup untuk mufasolah, maka bagaimana pula jika mereka telah mengisytiharkan permusuhan kepada Islam?

Pengembangan Seimbang Lahir dari pusat yang tetap

Ini memestikan para da’I bertindak cepat dan keluar dalam amal jama’I bersama-sama mengembalikan yang telah sesat kepada jalan yang benar dan lurus.

Perkara pertama yang mesti dilakukan ialah mengajak manusia supaya berkumpul.

Kadang-kala terdapat da’i yang menyeru kepada ideologi semata-mata. Kita lihat mereka paling hebat kefahamannya, akidah, sistem, perundangannya dan dia pal­ing banyak membaca buku. Mungkin juga dia mempunyai semangat yang paling berkobar-kobar dan paling khusyuk di dalam solat. Tetapi yang peliknya dia tidak mahu terikat dengan sebarang perancangan dan sistem. Apa yang dirasainya, itulah yang dipegangnya. Mana yang dia nampak, itulah yang dibuatnya. Dia memimpin diri mereka sendiri. Dia tidak peduli samada apa yang dibuat itu selaras dengan da’i lain atau tidak.

Orang sebegini sukar untuk sampai ke hasil yang positif. Dia hanya akan berlegar-legar di tempat yang sama.

Mereka sebenar yang memberi harapan kepada ummah pada hari ini hanyalah al-munassiquun (yang dapat menyelaraskan kerja dengan orang lain).

Pengalaman dan pelaksanaan dakwah terus menerus membuktikan betapa pentingnya peranan satu penyusunan ‘tanzim’ bagi menyerasi dan menyelaraskan usaha seluruh mereka yang bekerja untuk Islam. Ia akan dapat menggunakan -secara positif dan langsung- walaupun kemampuan yang paling kecil di kalangan individu bagi menghasilkan hasil yang hebat.

Perancangan yang mantap akan mampu menjadikan sesuatu tanzim itu sebagai paksi beredar pada orbitnya seluruh usaha individu-individu di dalam aliran geometrik yang indah dan mantap tanpa kelam kelibut, sebagaimana aliran garisan bulatan cantik yang melingkari nukleus.

Pusat itu roh bagi satu orbit
Satu titik dikelilingi para petugas
Dari pusat ini, manusia mempunyai peraturan
dari pusat ini, manusia akan berterusan172

Segala usaha yang dicurahkan sebenarnya tiada yang kecil jika dibuat pada masa dan tempat yang tepat. Dakwah mempunyai tuntutan-tuntutan dan keperluan-keperluan yang saling melengkapi-mutakamilah. Sebahagiannya menyempurnakan yang lain. Segala usaha yang disumbangkan untuknya akan saling menyempurnakan. Yang kecil menyempurnakan dan menguatkan yang besar.

Kerja yang mengekalkan perjalanan jamaah dakwah: “anda lihatnya umpama satu bulatan yang berputar. Adakalanya satu bahagiannya naik atau turun. Bukan kerana rendah atau tingginya, tetapi kerana ia bergerak mengelilingi pusat, selaras dan seimbang menurut ukuran yang tertentu.” 173

Jadi tiada satu pun usaha pun yang dianggap remeh, rendah nilainya dan kurang kepentingannya lalu ia diabaikan. Semua usaha adalah sama penting apabila ia diusahakan dalam perancangan, ukuran dan timbangan yang tertentu.

Menyeluruh dalam Perlaksanaan

Perkara kedua pula ialah kesyumulan. Syumul yang meliputi setiap aspek kehidupan manusia sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Hassan al-Banna Rahimahullah di dalam al-’Usul al-’Isyrin (Usul 20):

“Bahawa Islam kita adalah daulah dan tanah air, kerajaan dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, pengetahuan dan perundangan, ilmu dan kehakiman, kebendaan dan harta, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah serta tentera dan fikrah, sebagaimana ia adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih.” 174

Keluasan pengertian Islam ini memestikan tajammu’ pekerja Islam untuk luas juga dalam pendekatan dan perlaksanaan.

Oleh kerana itu, kumpulan dakwah Is­lam bukanlah sebuah parti politik meskipun ia kelihatan berusaha menguasai pemerintahan. Ia perlu berhati-hati agar tidak dilalaikan oleh isu semasa dari landasan tarbiyah dan tanggungjawab ibadah.

Kumpulan dakwah juga bukanlah hanya satu akademi fiqh, kuliah­-kuliah syariah atau majlis mengeluarkan fatwa, meskipun ia kelihatan berusaha sungguh mendalami ilmu syariah dan berjalan mengikut al-Sunnah. Ia menjauhi perdebatan di dalam masalah cabang (furu’) dan leka dengan perbincangan teori yang melemahkan kerja tajmi’ dan memimpin masyarakat.

Kumpulan dakwah juga bukan pustaka penerbitan buku atau agensi berita, sekalipun kelihatan ia mengumpulkan, mengikuti perkembangan semasa dan menjelaskan pandangan Islam terhadap semua peristiwa itu bagi menyempurnakan kewajipannya.

Kumpulan dakwah juga bukanlah satu pasukan komando berani mati, institusi ketenteraan atau pasukan pengakap sekalipun jihad itu salah satu dari pegangannya serta riyadah dan latihan adalah salah satu dari caranya. Dakwah tidak terbabit dalam menggunakan kekerasan, tindakan membabi buta dan keputusan yang tergesa-gesa.

Kumpulan dakwah juga bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan atau kementerian wakaf sekalipun ia kelihatan menolong anak-anak yatim dan fakir miskin, merawati yang sakit dan bekerjasama membangunkan masjid-masjid.

Ya, dakwah Islam bukanlah salah satu daripada yang di atas tetapi ia adalah semua yang di atas. Sekiranya kerja terlalu banyak dan ‘jam’, sedangkan tenaga dan kemampuan tidak mencukupi, maka perlu diutamakan mana yang paling penting; berdasarkan kaedah relatif mengikut neraca penyelarasan masolih dan mafasid yang bertentangan. Maslahah yang kecil perlu dikorbankan jika menghilangkan maslahah  yang lebih besar darinya. Mafsadah yang kecil perlu ditanggung bagi mengelakkan mafsadah yang lebih besar.

Memimpin Umat Lebih Utama Dari Menambah amal kebajikan individu.

Pengalaman kita menunjukkan bahawa sebahagian besar dari orang yang kita seru pada hari ini sebenarnya kekurangan kesedaran politik, tidak memahami manhaj fiqhiy dan belum menyala roh jihad dalam diri mereka.

Yang jelas, aspek amal kebajikanlah yang masih menguasai pemikiran mereka. Mereka suka membuat kebajikan meskipun pada hakikatnya mereka kurang harta untuk mengejar dan menyempurnakan pemikiran yang luas ini. Oleh itu, mereka perlu ditekankan perbicaraan untuk difahamkan tentang takamul dan keistimewaan dakwah ini berbanding dengan cara badan-badan kebajikan.

Tidak dinafikan bahawa faktor yang menjadikan mereka cenderung kepada pendekatan kebajikan itu adalah kerana hati-hati mereka yang lembut dan kepenuhan fitrah iman yang mereka miliki. Mereka sentiasa dihangatkan oleh nasihat demi nasihat tentang peri pentingnya erti kebaikan dan kemuliaan akhlak, mengobarkan semangat mereka untuk bekerjasama di dalam kerja-kerja memelihara anak-anak yatim, membangunkan sekolah dan masjid.

Demi Allah, ucapan para penasihat itu adalah benar belaka. Hadis-hadis fadilat itu bukan dusta. Kita tidak pernah melupakan kesan dan pengaruhnya di dalam memajukan dakwah dengan tarbiyah secara praktikal yang memecahkan segala tabir. Melalui cara itu juga para da’i yang bersifat pendidik dapat berinteraksi dengan orang awam secara langsung setelah mereka tenggelam dalam pelbagai bidang kehidupan.

Tetapi da’I mempunyai kerja yang lebih penting dan lebih besar dari itu semua. Dia wajib menutup lubang-lubang lemah pada umat ini yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain melainkan dia. Pahalanya tidak kurang dari pahala membuat kerja-kerja amal, jika tidak berganda-ganda pun.

Da’i Islam wajib melaksanakan tugas tajmi’iyy, tarbawiyy, thaqafi, I’laamiyy, siyasiyy, jihadiyy, khairiyy dalam kesyumulannya yang luas dan takamul yang saling berkaitan di antara satu dengan yang lain.

Itulah ciri keistimewaan kedua yang membezakannya dari umat Islam umum yang lain setelah ciri pertama iaitu kerja secara jamai’e.

Sebenarnya ciri istimewa ini bukanlah pandai-pandai kita sahaja. Ianya adalah arahan anjuran Imam Ahmad Ibnu Hanbal selaku pemimpin da’I di zamannya. Ketika beliau ditanya oleh muridnya Zuhair bin Abu Zuhair: “Bagaimana jika si polan itu boleh jadi berusaha di dalam sesuatu bidang seperti perkilangan, membina masjid dan pengairan?” Kata Zuhair: “Imam Ahmad berkata kepadaku: “Tidak, dirinya lebih utama baginya.” Imam Ahmad tidak suka laki-laki ini menjatuhkan diri dan air mukanya.”175

Di sini ada dua masalah yang telah disingkap oleh Imam Ahmad bin Hanbal:

Pertama: Ucapannya itu mendedahkan supaya da’i Islam tidak menjatuhkan air mukanya, tidak merendahkan harga dirinya dengan usaha mengumpulkan harta dari orang kaya meskipun untuk maslahah umum. Kegiatan sedemikian akan menahan lidahnya dari mengucapkan kebenaran, sama ada amar ma’ruf atau nahy mungkar.

Kedua: Maksud dari memelihara air muka itu ialah tafarrugh-fulltime dengan penuh megah memandu orang ramai, memerangi bid’ah dan musuh-musuh Islam, amar ma’ruf dan nahy mungkar dan mengembangkan ilmu. Perjalanan hidup Imam Ahmad membuktikan perkara ini.

Fatwa itu hampir sama dengan apa yang dinyatakan oleh ulamak-ulamak politik Islam. Mereka mewajibkan khalifah atau sultan supaya tidak mengabaikan politik negara dan pentadbiran tentera kerana kesibukan mereka melakukan ibadah-ibadah individu dan amal kebajikan peribadi. Kewajipan khalifah ini juga telah dinyatakan oleh Imam al-Mawardi:

“Sepatutnya, khalifah itu sendiri memimpin urusan negara secara langsung dan memerhatikan setiap situasi perkara untuk menjalankan pentadbiran umat ini dan memelihara agama. Dia tidak boleh menyerahkan urusan negara kepada pembesar-pembesar negara semata­-mata kerana sibuk berseronok atau beribadah. Ini kerana, boleh jadi pembesar yang diamanahkan itu melakukan khianat dan menipu. Allah S.W.T. telah berfirman:

يَادَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعْ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan engkau khalifah di muka bumi, maka hukumlah antara manusia dengan haq, dan janganlah engkau turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah.” (Surah Sad 38: 26)

Allah S.W.T. tidak menyuruh Nabi Daud a.s. menyerahkan urusan negara kepada pembantunya, tetapi disuruh mengurusnya sendiri. Kemudian Allah melarangnya dari memerintah mengikut hawa nafsu kerana perbuatan demikian disifatkan sebagai sesat.

Tugas ini walaupun kelihatan kerana tanggungjawab agama dan atas jawatannya sebagai khalifah, tetapi tugas­-tugas mentadbir merupakan hak-hak politik yang mesti dipenuhi oleh setiap pemimpin yang diamanahkan.

Rasulullah S.A. W. bersabda: “Setiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan disoal tentang rakyatnya.”176

Memang dakwah adalah betul-betul penjagaan. Ia adalah benar-benar suatu tanggungjawab.

Dari sinilah barulah difahami betapa jauhnya perbezaan di antara dua usaha, iaitu:

1.  Usaha hanya semata-mata untuk menjaga kebajikan manusia meskipun sepenat manapun, dan

2.  Usaha untuk bersama-sama dakwah secara syumul, penyertaan yang mengorbankan jasmani, memenatkan fikiran dan menyentap nyawa dan ruh.

Oleh kerana itulah, kesyumulan dakwah merupakan satu ketinggian. Hanya mukmin yang kuat sahaja yang mampu mendokongnya.


Nota Kaki
  1. Diwan Hunain ila al-Fajr, m.s. 72
  2. Pendirian atas pagar. (Pnt)
  3. Al-Amiri, Alwan Toif, m.s. 94
  4. Ibid
  5. Diwan al-Asrar w al-Rumuz, m.s. 123
  6. Perumpamaan yang dibuat oleh al-Rafi’e tentang sesetengah perkara di dalam Khilal Wahyu al-Qalam, jilid 3, m.s. 426
  7. Risalah Ta’lim, al-Majmu’ah, m.s. 7
  8. Ibnu Abi Ya’la, Tabaqat al-Hanabilah, Jilid 1, m.s. 159
  9. Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Cetakan Kedua, m.s. 16

Comments are closed.