1. Kita Menolak ‘al-Hawa’

BAB 1: KITA MENOLAK ‘AL-HAWA’

“Jauhkanlah dirimu dari sebarang al-hawa yang tidak bernama Islam.”

Itulah teriakan amaran yang dilaungkan oleh Maimun bin Mahran rahimahullah -seorang ahli hadis yang thiqah- ketika dia merasa takut kita semua akan diperdaya oleh kilauan pelbagai nama-nama. Gema teriakan ini masih terdengar-dengar melangkaui generasi demi generasi.

Beliau mengingatkan kita bahawa setiap perkara yang ‘bukan Islam’ adalah sememangnya salah satu dari al-hawa, biar apa jua bentuknya dan di zaman mana ia muncul.

Itulah yang diambil dari semua Imam-Imam sejak dahulu. Bagi mereka, hanya ada satu sahaja kebenaran iaitu wahyu. Selain dari wahyu adalah al-hawa yang tercela. Tiada satu bahagian pun al-hawa yang dipuji dan al-hawa tiada kaitan langsung dengan al-haq. Seseorang muslim tidak dibolehkan langsung berhukum kepada al-hawa atau merasa senang hati dengan al-hawa.

Wahyu… atau al-hawa

Imam Al-Syatibi telah menegaskan perkara ini dengan padat dan ringkas. Kata beliau di dalam kitab “al-Muwafaqat”: “Sesungguhnya Allah telah menjadikan mengikut al-hawa sebagai bertentang dengan kebenaran, sebagaimana firman Allah S.W.T.:

يَادَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعْ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

“Hai Daud, sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi, maka hukumlah di antara manusia dengan al-haq, dan janganlah engkau turut al-hawa, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah.” (Shaad 38: 26)

Allah berfirman lagi:

فَأَمَّا مَنْ طَغَى (37) وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا (38) فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى

“Maka barangsiapa yang melampau batas, dan mengutamakan hidup di dunia, maka sesungguhnya, nerakalah tempat duduknya.” (An-Nazi’at 79: 37-39)

Allah berfirman pula tentang sifat yang bertentangan selepas ayat tersebut:

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنْ الْهَوَى (40) فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى

“Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya, dan menahan dirinya al-hawa, maka sesungguhnya syurgalah tempat duduknya” (An-Nazi’at 79: 40-41)

Firman Allah S.W.T. :

وَمَا يَنْطِقُ عَنْ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

“Nabi tidak bercakap dari al-hawa. Ia (Quran) tidak lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya” (An-Najm 53:3-4)

Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa di depan kita hanya ada dua pilihan: Wahyu (syariat), atau al-hawa. Tiada yang ketiga. Oleh itu, kedua-duanya adalah berlawanan. Apabila al-haq hanya terletak pada wahyu, maka kebatilan secara otomatik terletak pada al-hawa. Dan secara langsung, pengikut al-hawa adalah bertentangan dengan al-haq.

Firman Allah lagi :

أَفَرَأَيْتَ مَنْ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ

“Adakah engkau lihat orang yang mengambil al-hawanya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya selepas didatangi ilmu kepadanya.” (Al-Jatsiyah 45: 23)

Firman Allah S.W.T. :

وَلَوْ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتْ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ

“Kalau sekiranya al-haq mengikut al-hawa mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang ada di dalam keduanya.” (Al-Mukminun 23: 71)

Firman Allah S.W.T. :

أُوْلَئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ

“Mereka itu adalah orang-orang yang telah di’cop’Allah pada hati mereka dan mereka mengikut al-hawa mereka.” (Muhammad 47: 16)

Firman Allah S.W.T. :

أَفَمَنْ كَانَ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّهِ كَمَنْ زُيِّنَ لَهُ سُوءُ عَمَلِهِ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ

“Adakah orang yang berada di atas keterangan (dalil) dari Tuhannya sama dengan orang yang diperhiaskan kepadanya amalan jahatnya dan mereka mengikut al-hawa mereka?” (Muhammad 47: 14)

Lihatlah !  Semua ayat yang menyebut al-hawa, ia mesti dicela dan pengikut al-hawa pula pasti pula dikutuk. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa beliau berkata:

“Bila mana Allah menyebut perkataan ‘al-hawa’ di dalam al-Quran, pasti Dia mencelanya. Dari sini jelaslah maqasid dari syariah diturunkan ialah untuk mengeluarkan kita dari menjadi pengikut al-hawa.18

Tiada Jalan Tengah….

Itulah juga perintah Allah kepada Rasulullah s.a.w.. Allah S.W.T. berfirman:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنْ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

“Kemudian Kami jadikan engkau (Ya Muhammad) di atas syariat (peraturan) di antara urusan (agama), maka ikutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa orang-orang yang tidak berilmu.” (Al-Jatsiyah 45 : 18)

Syed Qutb berkata di dalam tafsirnya “Fi Zilal al­-Quran” :

”Sama ada syariat Allah ataupun hawa-hawa orang-orang yang jahil. Tiada andaian yang ketiga dan tidak ada jalan tengah di antara syariat yang lurus dan hawa yang berubah-ubah. Sesiapa sahaja yang meninggalkan syariat Allah sebenarnya secara otomatik telah berhukumkan hawanya. Semua yang lain dari syariat Allah adalah hawa yang terperosok ke dalamnya orang yang jahil.”19

Syariat hanyalah satu iaitu syariat Allah. Selain dari itu hanyalah hawa yang bersumberkan kejahilan. Pendokong dakwah wajib mengikuti syariat Allah sahaja dan meninggalkan segala al-hawa. Mereka sedikitpun tidak boleh lari dari syariat dan cenderung kepada al-hawa.20

Itulah juga perintah Allah sentiasanya kepada orang-orang beriman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.” (Al-Baqarah 2: 208)

“Pilihlah di antara petunjuk Allah ataupun tipu daya syaitan. Penegasan sebegini sepatutnya menjadikan seorang muslim tahu pendiriannya. Dia tak patut berdolak-dalik, ragu-ragu atau termangu-mangu di depan pelbagai jalan dan haluan yang ada dihadapannya.

Tiada manhaj/sistem alternatif bagi orang yang beriman untuk dipilih-pilih. Tiada jalan baginya untuk dicampur adukkan antara satu sama lain.

Tidak sekali-kali. Sesiapa yang tidak masuk Islam secara keseluruhannya, tidak menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada kepimpinan dan syariat Allah dan tidak membebaskan diri dari sebarang tasawwur, konsep, manhaj dan syariat yang lain, MAKA sesungguhnya dia telah mengikut jejak langkah dan sedang berjalan di atas jalan syaitan.” 21

Fitnah dan Kewaspadaan

Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah telah menyatakan bahawa; menolak satu perkara sahaja dari kata-kata Rasulullah s.a.w sudah boleh dianggap sebagai  penyelewengan. Beliau berkata:

“Aku telah melihat di dalam Al-Quran. Ku dapati ada 33 tempat yang menyebut tentang ketaatan kepada Rasulullah saw”.

Beliau membaca sepotong ayat iaitu firman Allah S.W.T. :

فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ

“Sebab itu orang-orang yang menyalahi perintah baginda saw hendaklah merasa takut mereka akan terkena fitnah.” (An-Nur 24: 63)

Imam Ahmad membacanya berulang kali dan kemudian berkata:

“Apakah dia  fitnah? Fitnah adalah syirik. Apabila seseorang itu menolak sebahagian dari kata-kata Nabi s.a.w. maka mungkin akan terpalit penyelewengan ke dalam hatinya dan penyelewengan itu akhirnya akan membinasakannya.”22

Menolak Sebahagian dari Syariat Allah Adalah Kufur

Tetapi penyelewengan itu ada beberapa peringkat:

Antaranya ialah penyelewengan kesesatan kufur ‘pure’ yang mencampakkan pelakunya ke luar dari Islam. Ini berlaku bila seseorang yang telah benar-benar tahu tentang mana-mana hukum aqidah atau syariat dan dia tahu pula adanya ayat-ayat Quran atau hadis yang mutawatir mengenai hukum tersebut tetapi kemudiannya mendakwa dia tidak yakin dengan kesesuaian hukum-hukum itu untuk direalisasikan. Atau juga menyifatkannya sebagai hukum yang sudah tak sesuai dengan maslahah dan tidak relevan dengan perkembangan zaman dan sebagainya.

Itulah orang yang dimaksudkan oleh al-Quran sebagai beriman dengan sebahagian kitab Allah dan kufur dengan sebahagian yang lain. Semua orang muslim telah tidak khilaf lagi kafirnya orang begini.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah contohnya, terang­-terangan mengkafirkan orang yang beriman dengan sebahagian-sebahagian begini. Beliau membawa dalil-dalil dari Al-Quran. Beliau menerangkan bahawa sifat kufur itu tidak hanya terbatas pada golongan atheis dan golongan yang mengengkari seluruh risalah Is­lam sahaja, bahkan golongan yang yakin dengan sebahagian risalah, tetapi tidak yakin dengan sebahagian lagi juga adalah kafir, sebagaimana firman Allah S.W.T.:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا (150) أُوْلَئِكَ هُمْ الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا (151) وَالَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَمْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ أُوْلَئِكَ سَوْفَ يُؤْتِيهِمْ أُجُورَهُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan Rasul-RasulNya dan hendak membezakan antara Allah dan para RasulNya, dan mereka berkata: Kami beriman kepada setengah (Rasul) dan kafir kepada yang lain dan mereka hendak mengambil jalan tengah antara demikian itu (neutral). Mereka itu ialah orang-orang yang benar-benar kafir; dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir itu seksaan yang menghinakan. Orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-RasulNya dan tiada membezakan seorangpun di antara Rasul-Rasul itu, nanti Allah akan memberikan pahala kepada mereka. Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (An-Nisa’ 4: 150-152)

Allah berfirman kepada ahli kitab:

ثُمَّ أَنْتُمْ هَؤُلَاء تَقْتُلُونَ أَنفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِنْكُمْ مِنْ دِيَارِهِمْ تَظَاهَرُونَ عَلَيْهِمْ بِالْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَإِنْ يَأْتُوكُمْ أُسَارَى تُفَادُوهُمْ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Kemudian sebahagian kamu membunuh yang lain, dan kamu usir satu golongan di antaramu dari karnpungnya, kamu tolong-menolong dalam membuat dosa dan aniaya; kalau datang kepadamu orang-orang tawanan, tebus-menebus kamu dengan mereka, sedangkan telah diharamkan atas kamu mengusir mereka. Adakah kamu percaya kepada sebahagian kitab dan engkar akan sebahagiannya? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antaramu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia; dan pada hari kiamat, mereka dimasukkan he dalam seksaan yang keras. Allah tiada lalai dari apa-apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah 2:85)

Firman Allah S.W.T.:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا (60) وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا

“Tidakkah engkau ketahui bahawa orang-orang yang mendakwa mereka beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada engkau dan Kitab-kitab yang diturunkan sebelum engkau; mereka hendak berhukum kepada taghut, sedang mereka disuruh supaya kafir terhadap taghut. Syaitan mahu menyesatkan mereka dengan sesesatnya. Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada Rasul, maka engkau lihat orang-orang munafik berpaling dari engkau dengan sungguh-sungguh.”(An­-Nisa’ 4:60-61)

Firman Allah S.W.T.:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِنْ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَؤُلَاءِ أَهْدَى مِنْ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا (51) أُوْلَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمْ اللَّهُ وَمَنْ يَلْعَنْ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada nabi Muhammad s.a.w.). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang­-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.” (An­-Nisa’ 4: 51-52)

Selepas membentangkan ayat-ayat ini, Ibnu Taimiyah menerangkan:

”Allah mencela golongan yang telah menerima kitab, tapi masih lagi beriman kepada sesuatu yang di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan ‘orang luar’ risalah berbanding orang-orang yang beriman. Samalah juga keadaannya sebagaimana sebahagian manusia mengutamakan pendapat ahli falsafah dan kerajaan jahiliyah (yang berbangsa Turki, Dailam, Arab, Farsi dan lain-lain) berbanding orang yang beriman kepada Allah, kitab Allah dan RasulNya.

Begitu juga Allah mencela orang yang mengaku beriman dengan seluruh kandungan kitab-kitab Allah tetapi mereka tidak berhukum dengan menggunakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka rela berhukum menurut taghut yang diagungkan selain dari Allah. Perkara ini terkena pada ramai dari orang  yang mengaku Islam tetapi mereka berhukum kepada pendapat dan pandangan ahli falsafah atau memerintah menurut sistem politik bukan syariat Allah samada menurut cara raja-raja Turki dan lainnya. Apabila diajak kepada mereka: “Marilah kembali kepada kitab Allah dan sunnah Rasulnya!”, mereka berpaling dan enggan langsung.”23

Ibnu Taimiyah r.a -sepertimana yang anda dapat lihat- mentafsirkan ‘taghut’ yang terdapat di dalam ayat ini sebagai sesiapa saja yang mempunyai pendapat yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah, tidak kira menamakan dirinya sebagai ahli falsafah, raja atau sebagainya.

Beriman kepada Allah tanpa beriman kepada segala perintah dan ajaran Rasul (pemisahan tersebut) hanya membawa kepada kekufuran. Tidak boleh langsung diakui sesiapa sahaja yang cuba mengambil jalan tengah dengan mencampur-adukkan agama dengan jahiliyah dan ditempel-tempelkan. Itulah orang yang digambarkan oleh al-Quran sebagai golongan yang hendak mengambil jalan tengah di antara Islam dan jahiliyyah, iaitu jalan ketiga di antara Islam dan ideologi ciptaan manusia. Dicampurkan sedikit dari Islam dan sedikit dari jahiliyah lalu diadun untuk dijadikan satu undang-undang bagi mengatur kehidupan manusia.

Banyak dari kerajaan-kerajaan negara Ummat Islam, parti­-parti politik dan badan  sosial pada hari ini tidaklah terang-terang menolak tuhan. Tetapi banyak badan-badan ini mengajak orang ramai kepada manhaj (cara hidup) dan sistem yang bercanggah dengan sebahagian hukum-hukum Islam. Kadangkala menghalalkan banyak perkara yang diharamkan dan kadangkala pula mengharamkan apa yang halal sedangkan mereka mengetahui bahawa perkara itu adalah bertentangan dengan syariat Allah.

Ulama’ dan pemimpin gerakan Islam telah menjelaskan kepada mereka ini betapa silapnya perbuatan mencampur aduk, menampal-nampal, mencantum­-cantumkan dan iman yang separuh-separuh ini. Meskipun demikian, golongan ini terus berdegil dan terus­-menerus mengajak orang ramai kepada al-hawa.

Tidak syak lagi, itu adalah kufur. Wal ‘iya zubillah.

Kita tidak akan Mengkafirkan Seseorang Muslim Tanpa Bukti

Kemudian ada pula penyelewengan yang lebih ringan dan kecil daripada itu.

Ibnu Taimiyyah telah berkata: “Ramai ahli salaf telah berkata: كفر دون كفر Ada satu kufur tidak sampai kepada kekufuran, satu nifaq yang tidak sampai kepada munafiq dan satu syirik tidak sampai kepada syirik.”24

Pelbagai peringkat maksiat. Ada dosa-dosa yang kecil dan ada dosa-dosa besar dan ada juga dosa­-dosa yang terletak antara keduanya. Ia dilakukan oleh seorang muslim kadangkalanya kerana terikut syahwat, atau ketika lemah kekuatan dirinya atau terlupa harga diri. Dia tidak langsung terfikir untuk menentang atau mengingkari syariat tersebut.

Mungkin juga dia melakukannya kerana kejahilannya terhadap hukum-hukum syarak. Dia langsung tidak berusaha untuk bertanya orang yang tahu walaupun usaha tersebut bukanlah berat sangat pun. Atau kemungkinan dia melakukan dosa tersebut dengan kesilapan penafsiran atau takwil sendiri.

Asas kita dalam hal ini ialah kata-kata Imam al-Bukhari rahimullah yang bermaksud:

“Maksiat adalah perkara jahiliyyah tetapi pelaku maksiat tidaklah menjadi kafir dengan melakukannya kecualilah bila berlaku syirik. Ini semua berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W.: “Sesungguhnya engkau seorang yang ada padamu jahiliyyah.”25

Kamu dapat lihat bahawa kesimpulan yang dibuat oleh Imam Bukhari dari hadis Nabi S.A.W. ini adalah sangat benar. Label ini ditujukan kepada Abu Dzar r.a. tatkala beliau mengejek Bilal dan ibunya yang berkulit hitam, sedangkan beliau memang seorang sahabat yang hebat.

Satu maksiat sahaja adalah satu cabang dari cabang-cabang jahiliyyah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W tersebut.

Oleh kerana itu, bila maksiat seorang muslim itu bertambah, maka bertambahlah kadar jahiliyyah yang ada padanya. Tetapi dia tidaklah menjadi jahiliyyah penuh, kecuali bila dia mensyirikkan Allah di dalam ibadahnya atau dia beriktikad bahawa sebahagian dari perkara yang diharamkan Allah adalah halal atau beriktikad bahawa sebahagian daripada yang dihalalkan Allah adalah haram dan beriman hanya pada sebahagian dari syariat Al­lah dan kufur pada sebahagian yang lain.

Inilah rahsia kenapa Rasulullah S.A.W memberi amaran agar berhati-hati ketika mengkafirkan individu yang zahirnya Islam, sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya: “Wahai si kafir!” Kembalilah kufur itu kepada salah seorang dari mereka. Jika benar, maka kafirlah orang yang dikatakan. Kalau tidak, kembalilah kufur itu kepadanya 26.” 27

Inilah juga rahsia yang mendorong Imam Hassan Al­-Banna agak ketat dalam masalah ini dan menyebutkan dalam “al-Usul al-’Isyrin” (20 Usul) yang bermaksud:

“Kita tidak akan mengkafirkan seorang Islam yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah dan beramal mengikut tuntutannya dan menyempurnakan apa yang difardhukan kepadanya hanya semata-mata kerana pendapat yang dipegangnya atau satu maksiat yang dilakukannya; kecuali jika dia mengaku dengan kalimah kufur atau menyangkal perkara yang perlu dan sepatutnya diketahui dalam agama, mendustakan keterangan al-Quran, atau mentafsirkannya mengikut satu perspektif yang tidak menepati uslub bahasa Arab tentang sesuatu perkara, atau membuat satu amalan yang tidak membawa pengertian lain selain dari kufur.”

Ini kefahaman yang dapat dilihat di dalam buku “al-Sharh al-’Iraqi li al-Usul al-’Isyrin” (Penjelasan al-Iraqi Terhadap Dua Puluh Usul). Disebutkan:

Mengkafirkan seorang muslim dalam erti mengeluarkannya dari Islam, adalah suatu yang sangat berbahaya. Mesti ada perkara yang membuktikan kekufurannya secara jelas dan terang seperti lahirnya darinya perkataan atau perbuatan yang tidak dapat disangkal lagi kekufurannya. Contohnya ialah menolak suatu yang qat’i (yang pasti) dalam agama, seperti kewajipan solat, pengharaman riba’, perlunya terikat kepada Islam. Atau dia mempersendakan Islam atau al-Quran, mencaci Allah dan RasulNya, sengaja melumurkan Al-Quran dengan kekotoran atau menolak perkara yang terang-terang di dalam Al-Quran, menyangkal hari akhirat atau berkata: “Syariat Islam telah lapuk, ketinggalan zaman, dan tidak layak lagi untuk dilaksanakan dan tidak lagi diperlukan pada masa kini,”. Ini semua menjadikan pengucapnya atau pembuatnya sebagai kafir tanpa ragu-ragu lagi.

Tetapi, jika dia melakukan beberapa maksiat seperti minum arak dalam keadaan dia masih mengakui perkara-perkara asas dalam akidah, maka ketika ini dia hanyalah seorang muslim yang derhaka, bukan kafir. Begitu juga jika dia berkata atau melakukan sesuatu yang masih boleh ditakwilkan lagi, maka tidak boleh dikafirkannya lantaran perkataan dan perbuatannya itu.

Namun, perlu disebut bahawa kita kadangkala menamakan sesetengah perbuatan atau meninggalkan perbuatan tertentu sebagai ‘kufur’ seperti mana terdapat di dalam nas­-nas syara’. Contohnya (hadis): “meninggalkan solat itu kufur”.

Tetapi dalam mengkafirkan seseorang individu tertentu, hendaklah wujud secara yakin perkara-perkara yang menjadikannya kafir, seperti dia  menyangkal bahawa solat itu fardhu atau seseorang yang diminta supaya bertaubat kerana tidak bersolat: “Sekiranya kamu tidak mahu solat, kami akan bunuh kamu.” Dia terus berdegil dan lebih suka dibunuh maka ini menunjukkan hatinya kosong dari iman dan matinya adalah sebagai seorang kafir.

Begitu juga perlu diketahui bahawa kufur ada dua jenis:

  1. Kufur kecil yang tidaklah mengeluarkan penganutnya dari Islam.
  2. Kufur besar yang mengeluarkan penganutnya dari Is­lam.

Berdasarkan pembahagiaan ini dapatlah kita memahami maksud sesetengah nas Quran atau Hadis, antaranya:

“Barangsiapa yang bersumpah dengan yang lain dari Allah, dia telah syirik”

Syirik ini tidaklah mengeluarkannya dari Islam, tetapi dia telah melakukan dosa yang amat besar. Begitulah seterusnya”28

Jiwa yang Beriman Itu Peka dan Sensitif

Sungguhpun begitu, waspadanya kita dalam mengkafirkan seorang muslim ini tidaklah menghalang dari kita melihat betapa teruknya penyelewengan  berleluasa yang telah menimpa sebahagian besar orang-orang Islam di zaman ini. Memang benar… mereka itu orang  Islam, tetapi, mereka telah karam di dalam maksiat dan darjat iman mereka menjunam ke taraf yang paling rendah.. jauh sekali dari tahap mulia !

Latarbelakang keadaan ini ada kisah panjang. Ia bermula dari saat-saat peluasan kuasa dan kesibukan pentadbiran yang secara beransur-ansur mengambil tenaga dan masa sahabat-sahabat Nabi saw yang terbaik. Selepas wafatnya Baginda saw, mereka mara memecut ke tengah-tengah medan meneruskan kerja mengembangkan dakwah dengan cemerlangnya. Bertebaran ke segenap pelusuk bumi laksana sinar matahari, membuka negara-negara baru, menghancurkan segala taghut, membawa rahmat ke seluruh dunia dan memimpin manusia ke syurga.

Di tahun-tahun yang terakhir sebelum abad pertama Islam berlalu, penyelewengan mula menyerap masuk ke dalam generasi baru yang bakal menggantikan generasi pertama Islam yang unik itu. Keazaman di dalam dakwah dan jihad mula kendur sedangkan mereka sepatutnya meneruskan dakwah dan jihad untuk menghapuskan saki baki taghut yang masih ada.

Ketika itulah, muncul Umar bin Abdul Aziz, dilahirkan oleh Allah untuk umat ini. Dengan semangatnya yang sangat tinggi, beliau melihat sedikit saja  penyelewengan dan meninggalkan jihad itu sebagai tanda awal terseleweng dari kebenaran. Beliau memandang berat keadaan umat jihad yang telah kurang rancak juangnya. Beliau berkata dengan nada dukacita :

”Aku ni sedang merawat satu masalah yang tiada siapa dapat menolongnya kecuali Allah. Di atasnya telah mati orang tua, telah membesar orang yang kecil, orang Ajam 29 telah mahir berbahasa Arab dan Arab Badwi telah berhijrah sehingga mereka memandang sesuatu yang bukan agama sebagai agama. Mereka tidak melihat kebenaran selain daripada itu.” 30

Kalimah yang telah diucapkan khalifah Umar Ibnu Aziz dengan rasa dukacita yang sangat-sangat. Sedangkan pada masa itu, beliau mengambil kuasa yang menguasai seluruh bangsa-bangsa, kebaikan tersebar dengan baik dan secara umumnya umat  masih berhukum kepada syariat Allah.

Ianya adalah rasa besar seorang mukmin terhadap dosa-dosa walaupun kecil, sedikit bid’ah, kezaliman yang ringan dan wujudnya petanda gaya hidup mewah.

Itulah jiwa mukmin yang sebenar yang terlalu sensitif  terhadap erti-erti keadilan dan kezaliman, sunnah dan bid’ah, menyumbang dan berada dalam zon selesa.

Kerana itu, seorang mukmin itu sepatutnya sentiasa berusaha mencari yang lebih sempurna. Dia tidak akan memejamkan matanya atau mengelukan lidahnya dari sebarang penyelewengan.

Generasi Kita Yang Terpedaya (Mangsa Keadaan !)

Selepas zaman pemerintahan Umar, berlalulah beberapa generasi. Islam  didokong oleh pahlawan-pahlawan samada pemimpin dan reformis Islam. Tetapi pada waktu lain pula, berlaku juga kelekaan. Hinggalah tiba zaman hari ini kita dapati umat Islam telah dihancurkan oleh perancangan Yahudi dan negara-negara kafir. Kekayaan mereka dirampas, iman mereka lemah, neraca kehidupan mereka bertukar putar dan hukum al-Quran telah ditolak ke tepi. Musuh-musuh juga telah mendidik anak-anak orang Islam dengan pandangan hidup yang bertentangan langsung dengan Islam, berlindungkan pelbagai nama dan kelubung.

Sekiranya masih ada sakibaki iman dalam diri mana-mana muslim atau masih ada rasa sayangkan agama yang menyebabkan dia enggan meninggalkan agamanya, mereka akan menjadi korban pula kepada penipuan dan pelbagai topeng. Musuh berusaha supaya orang muslim ini akan terikut kepada ahli politik, sasterawan dan orientalis yang tidak memahami Islam. Mereka memperalatkan dalil-dalil al-Quran dan hadis yang umum atau kadangkala dengan hadis-hadis maudhu’ yang dimanipulasi untuk mencipta sistem-sistem politik dan ekonomi yang didakwa atau dilabel sebagai sistem Islam tanpa langsung mengikut disiplin kaedah usul fiqh dan memenuhi syarat-syarat ijtihad.

Sebenarnya tribulasi orang Islam pada hari ini tidak hanya terbatas pada penguasaan pemimpin yang sesat sahaja, bahkan menjangkau kepada persoalan pendidikan. Korikulum pendidikan dan pelajaran, jawatan-jawatan di universiti, akhbar­-akhbar, majalah-majalah dan seluruh media massa digunakan untuk menghapuskan pemikiran dan nilai-nilai Islam. Hinggakan mangsa perangkap musuh ini merasa seronok dan merasa bangga kerana menyangka dirinya terlepas dari belenggu kekolotan lama.

Orang Islam yang maksiat pada hari ini sebenarnya adalah mangsa pendidikan tersebut, untuk ditukarkan menjadi fasiq mulanya dan supaya mereka akan mudah dijadikan kuda tunggangan oleh para taghut tersebut akhirnya.

Itu semua adalah style perancangan jahiliyyah sejak dahulu lagi, diwarisi oleh taghut moden dari taghut sebelumnya, berasal usul kepada Firaun.

”Firman Allah S.WT. :

فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ

Lalu Firaun memperbodoh (menyesatkan) kaumnya, lalu mereka mengikutnya. Kerana mereka itu memang kaum yang fasik.” (Az-Zukhruf 43:54)

Inilah tafsir yang betul terhadap sejarah. Hanya orang-orang yang fasik sahaja yang boleh diperdayakan oleh Firaun (lama atau moden). Orang yang beriman kepada Allah tidak akan dapat diperbodohkan oleh taghut dan tidak akan taat kepada perintah taghut.” 31

Begitulah, musuh-musuh Islam telah tahu vital-part yang telah diperkenalkan oleh Firaun. Mereka saling merancang untuk membuat kerosakan dan mengubah masyarakat supaya menjadi sampah-sarap yang tenggelam dalam lumpur seks, keji dan maksiat. Menjadikan masyarakat sentiasa sibuk dengan kepayahan mencari sesuap makanan. Akhirnya mereka menjadi penat dan letih dengan perut dan seks dan tiada masa lagi untuk mendengar nasihat atau petunjuk dan kembali kepada agama.” 32

Itulah cara dan taktik mereka. Taktik-taktik kotor, memerangi masjid dengan ballroom, menggantikan isteri-isteri dengar pelacur-pelacur, menyerang akidah menggunakan professor-professor ‘free-thinker’ dan menewaskan seni wira dengan seni hedonisma.33 Melalui pendidikan ini, mereka telah berjaya mengubah helang rajawali menjadi burung puyuh sebagaimana yang dikatakan oleh Iqbal….

“Ianya adalah seni dan proses penjinakan yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin sesat tersebut….iaitu seni:

merampas kecantikan lenggok bunga ’sarwa’ 34
menukar helang rajawali menjadi burung puyuh

mereka memperdayakan angkatan berkuda dengan irama merdu

lalu membenamkan bahtera ke dasar laut

mereka tidurkan kita dengan iramanya

dan memadamkan obor kita dengan tiupan nafasnya.”
35

manusia pun beransur-ansur diresapi kehinaan.

“Secara fitrahnya, manusia bencikan kehinaan dan tidak suka kezaliman. Tetapi dengan pelbagai keadaan dan peristiwa yang berlaku, tanpa disedari mereka tunduk secara berangsur-ansur. Sedikit demi sedikit mereka menjadi terbiasa di dalam kehinaan lalu menjadi seperti singa yang telah dijinakkan. Namun begitu, unsur kemuliaan sebenarnya masih berbaki dijiwa dan masih mengalir bahang panasnya di dalam darah.

Apabila ada sahaja da’i yang menyeru kepada kemuliaan dan kebebasan, membangunkan jiwa yang lena dan menggerakkan semangat yang nyenyak, maka kemuliaan di dalam jiwanya itu mula berdenyut. Bara di dalam sekam mula menyala. Sifat kemanusiaan di dalam dirinya mula bangkit, tidak mahu dihina dan bangkit berjihad dan melihat segala apa yang dihadapinya di dalam jihad itu lebih ringan daripada diperhambakan, malah lebih baik daripada kehidupan kebinatangan.

Kehinaan yang menimpa manusia yang disebabkan oleh orang lain atau oleh faktor luaran, ianya akan cepat sembuh dan mudah dihilangkan. Sebaliknya, jika kehinaan itu timbul dari dalam diri dan terbit dari hati, itu adalah penyakit yang sangat berbahaya dan merupakan kematian yang tidak disedari.

Kerana itulah, puak taghut yang zalim sengaja menerapkan kehinaan kepada orangramai melalui pendidikan yang hina dan asuhan agar tidak segan silu tanpa tatasusila. Mereka besarkan para belia atas didikan ini dengan pelbagai sarana. Semuanya bertujuan untuk mematikan himmah dan memadamkan semangat juang agar kekuasaan terus menerus berada di tangan mereka.”36

Anak Singa Diubah Menjadi Kijang Yang Pengecut

Konspirasi ‘penjinakan’ itu memerlukan usaha menekan kesemua da’i Islam. Ia dibuat agar suara mendidik dan seluruh media massa dikuasai sepenuhnya oleh golongan yang kononnya hebat dari segi akademik dan sastera. Suara mereka disadurkan melalui pelbagai pertubuhan yang kelihatan pada zahirnya berbeza-beza.

Generasi baru keturunan pejuang dan anak-anak singa itu dididik supaya tunduk kepada syahwat dan karam dalam keseronokan seks dan kemewahan hidup. Mereka padamkan sejarah kehebatan umat Islam terdahulu serta dihapuskan kisah kisah para ulama’ kerana bimbang ia akan menjadi lampu penyuluh dan panduan amal untuk generasi baru muslim kini.

Itulah kandungan madah penyair Islam Muhammad Iqbal:

Zaman satu bangsa yang hina
Akan ada ilmuan, sasterawan dan or­ang yang arif bijaksana!

Mereka kelihatan berbeza dengan pelbagai ideologi
tetapi semuanya sependapat dengan satu target:
Mereka ajar anak singa
agar menjadi kijang yang pengecut
dan mereka padamkan kisah-kisah singa pada bicara silam

Cita-cita mereka, menggembirakan hamba dengan perhambaan
Seluruh pengajaran mereka hanyalah penipuan cendekiawan.
37

Ianya telah berlaku.
Inilah mercu tanda perancangan kaum Yahudi dan Kristian. Mengasuh anak anak singa Islam supaya menjadi kijang yang pengecut. Mereka padamkan kisah singa-singa Islam samada para ulama’, ahli zuhud dan para pejuang Islam dari sejarah abad pertama Islam.

Plan pendidikan mereka ini telah melahirkan kijang-kijang yang pengecut, tidak lagi mampu menerkam. Kijang-kijang ini tidak mahu lagi memikul apa-apa tanggungjawab dan sentiasa cuba melarikan diri seboleh-bolehnya….!
Inilah generasi baru dari putera-puteri Islam…!
Anak-anak singa yang bertukar menjadi kijang yang pengecut.

Sebenarnya mereka itu merdeka, lalu diperhambakan, dan mereka bergembira menjadi hamba.

Perancangan mereka telah berjaya. Apa yang kita dapat lihat sekarang terdapat sesetengah orang ikhlas yang lebih cenderung untuk beruz1ah, mengasingkan diri dan takut berganding bahu bersama-sama umat Islam.. tidak lain melainkan kesan daripada pendidikan tersebut dan tanda efektifnya perancangan ini.

Ianya bukanlah suatu yang pelik. Kalaulah mereka telah berjaya menjauhkan ramai orang Islam dari Islam itu sendiri, maka tentu lebih mudah bagi mereka untuk menjauhkan lebih ramai lagi orang Islam dari sebahagian dari Islam. Mereka berjaya meyakinkan majoriti orang Islam bahawa perlunya mengasingkan diri (beruzlah) dan lebih baik berjaga-jaga dari sebarang kerja yang mengundang risiko kepada mereka (jihad dan amal Islam).

Ketika itu, bermulalah fasa kedua musuh-musuh Islam. Berlakulah proses peralihan cepat dari Islam kepada jahiliyyah…!

Perlunya Pertolongan Segera (SOS)

Pada hari ini, da’i Islam perlu berpendirian seperti Umar bin Abdul Aziz. Dia perlu merasai wajibnya di ambil tindakan segera untuk menyelamatkan umat Islam yang tenggelam dalam kesesatan jauh dari Islam. Dia perlu sedar bahawa tiada jalan lain baginya kecuali mara memimpin mereka meskipun mereka enggan. Meskipun tanggungjawab ini amat menyusahkan dan memerlukan pengorbanan.

Tidak syak lagi… majoriti umat Islam hari ini sebenarnya telah terseleweng tanpa sedar dan tanpa niat jahat. Mereka sebenarnya layak untuk bersama-sama para da’i bagi mengembalikan umat ini kepada Islam. Mereka mampu berbuat demikian sekiranya mereka sedar bahawa mereka telah tertipu.

Tetapi da’i Islam dalam masa yang sama melihat.. sama seperti apa yang dikatakan oleh Omar… bahawa ianya amat sukar kerana penyelewengan sudah mendarah daging dalam tubuh generasi ini.

Oleh itu apakah yang mesti dibuat?
Berhenti mencuba? Atau tangguhkan usaha ke suatu masa yang lain?
Tidak sekali-kali..!

Kerja-kerja ini tidak boleh ditinggalkan. Manhaj Islam tidak mempunyai cacat-cela dan tiada kekurangannya. Bukti kemampuannya ialah masih terdapat belia-belia Islam yang bersih jiwanya melagukan ayat-ayat al-Quran di zaman materialisme dan hedonisme ini. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Sabar itu kunci segala pintu yang tertutup.

Kerja-kerja ini juga tidak boleh ditangguhkan. Masa tidak berpihak kepada kita jika ditangguh. Jika ditangguhkan, maka semakin panjang tempoh bermaharajalelanya taghut akan semakin kuat pula cengkamannya di dalam jiwa manusia yang hanyut. Perlu segera membuat usaha menyelamat yang hanyut itu selagi denyutan nadi masih ada dan selagi benih fitrah masih terpendam.

“Sesungguhnya tidak ada kerosakan yang lebih teruk merosakkan fitrah selain dari  kehinaan yang dibentuk oleh taghut yang berpanjangan. Ia memusnahkan segala kemuliaan manusia, meruntuhkan dasar-dasar dan nilai-nilainya dan menanam padanya sifat-sifat hina yang biasanya terdapat pada hamba abdi:

Tunduk di bawah cemeti tukang sebat,
Marah-marah tatkala cemeti itu terangkat daripadanya
sombong tatkala mendapat sesuatu dari nikmat dan kekuatan.” 38

Oleh itu, menunggu dan menangguh bukanlah satu tindakan yang terbaik. Perlu ditambahkan penyertaan baru ke dalam gerombolan kafilah yang merdeka ini.

Bergerak Dalam Pelbagai Pendekatan

Begitulah..
Dengan realiti wujudnya kijang-kijang pengecut dan adanya manusia-manusia yang derhaka dan maksiat; dan realiti kekufuran sebahagian pemerintah, ahli­-ahli politik dan individu-individu Islam hari ini kerana beriman hanya kepada sebahagian dari Islam; Justeru itu semua, maka wajib diwujudkan sebuah gerakan Islam yang menyeru kepada makruf dan membangkitkan semula hemmah. Gerakan Islam yang akan menghalang mereka dari penyelewengan dan berusaha sungguh-sungguh untuk menegakkan pemerintahan Islam.

Kita meleret-leret menjelaskan ini semua untuk membuktikan bahawa kita tidak perlu menghukum keseluruhan masyarakat Islam kini sebagai masyarakat jahiliyyah. Dan da’i boleh memulakan kerja-kerja dakwah secara bebas, serentak dan dengan pelbagai pendekatan yang berbeza.

Da’I melihat kepada kerajaan dan parti politik yang menyeru kepada sistem hidup yang bertentangan dengan syariat Islam, atau kepada individu yang berpegang dengan falsafah jahiliyyah, menghalalkan yang haram, menolak sebahagian dari perkara iman; mereka melihat golongan ini dengan pandangan takfir dan marah, dan mengambil pendekatan menentang mereka dengan tegas dan keras.

Tetapi dalam waktu yang sama, para da’i bergerak dalam bentuk lain terhadap orang-orang Islam ahli maksiat melalui berbagai-bagai cara. Di antaranya:

  • Teguran kasih sayang dan menyedarkan mereka terhadap amal jama’i, jika mereka telah menyempurnakan perkara-perkara fardhu, beriltizam dengan hukum-hukum Islam dan menyuruh manusia kepada ma’ruf, tetapi dilakukan secara fardi.
  • Kadangkala menggunakan intonasi kasih sayang tetapi diiringi gertakan dan tajam terhadap orang-orang yang beriltizam dengan Islam tetapi berdiam diri dari amar ma’ruf dan nahi mungkar.
  • Menggunakan bahasa yang lembut, rasa kasih dan simpati terhadap mereka yang dilalaikan oleh syahwat, tidak mengerjakan amalan fardhu dan karam dalam maksiat.
  • Menggunakan bahasa marah, garang dan keras terhadap mereka yang membuat dosa besar, zalim dan mabuk di dalam kejahatan.

Semua cara di atas boleh digunakan di dalam masa yang sama dan di dalam masyarakat yang sama.


Nota Kaki
  1. Al-Muwafaqat, Juzu’ 6, m.s. 121
  2. Fi Zilal Al-Quran, Juzu’ 25, m.s. 136
  3. Ibid
  4. Fi Zilal Al-Quran, Juzu’ 2, m.s. 142
  5. Ibnu Taimiyah, Al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, m.s. 56
  6. Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, Juzu’ 12, m.s. 339
  7. Ibid, Juzu’ 11, m.s. 140
  8. Sahih al-Bukhari, Juzu’ 1, m.s. 15.  Hadis ini diucapkan oleh Baginda saw kepada Abu Zar ketika menggelarkan Bilal dengan nama anak perempuan kulit hitam.
  9. Jika saudaranya bukan kafir, maka dialah yang menjadi kafir lantaran kata-katanya itu.
  10. Sahih Muslim, Juzu’ 1, m.s. 57
  11. al-Sharh al-’Iraqi li al-Usul al-’Isyrin” (Penjelasan al-Iraqi Terhadap Dua Puluh Usul) hlm. 55
  12. Selain dari bangsa Arab. (Pnt)
  13. Ibnu Abdul Hakim, Sirah Umar bin Abdul Aziz, m.s. 37
  14. Fi Zilal al-Quran, Juzu’ 9, m.s. 45
  15. Ibid., m.s. 122
  16. al-Rafi’I, Wahyu al-Kalam, Juzu’ 2, m.s. 258
  17. Sarwa: Sejenis pokok bunga untuk perhiasan di taman bunga dan di kubur yang ditanam untuk melindungi pokok-pokok lain. Pnt)
  18. Abdul Wahab Azam, Buku Muhammad Iqbal, m.s. 162
  19. Abdul Wahab Azam, Al-Shawarid, m.s. 318
  20. Muhammad Iqbal, Diwan Dharb al-Kalim, m.s. 102
  21. Al-Zilal, Juzu’ 1, m.s. 90

Comments are closed.