14. Kriteria Generasi Ta’sis

BAB 14 : Kriteria Generasi Ta’sis

Dua hakikat nyata yang sentiasa menjadi ciri­ da’i Islam sejati, mereka berbahagia hidup di bawah naungan kedua-duanya:
1. Tiada bumi yang menyekatnya
2. Tiada penyiksaan yang menggerunkannya.

Dua hakikat ini sentiasa diulang-ulang dalam nasyid mereka:
Kamilah gerombolan Allah
agamanya itulah tanah air (watan) kami
Kamilah adalah tentera Rasul yang telah dipilihNya
segala ujian terasa ringan bagi kami

Dia akan bekerja; di mana pun berada dan ke mana pun diusir. Langsung tidak rindu dan teringat kepada mana-mana tanah. Tidak sempit seperti orang lain dengan batas sempadan yang diada-adakan oleh penjajah. Dia bersaudara dengan seluruh umat muslim. Jika dia tidak mengembara, kemungkinan pada masa itu disebabkan kerana dipenjara. Maka penjara pula menjadi pengembaraan rohani dan pemikirannya. Hinggakan apabila dia digantung, maka rentapan jatuh tali gantung itu sebenarnya mengangkat martabatnya ke tempat yang mulia dan indah di syurga.

Syed Qutb berkata: “Selagi beriman, pendokong dakwah tidak langsung memandang tinggi atau kagum pada pihak yang mengalahkannya. Dia yakin itu hanya satu fasa sementara dan pasti akan berlalu. Sesungguhnya iman itu mempunyai giliran turun naik yang tidak dapat dielakkan. Seandainya perjuangannya itu membawa kematian, dia tidak akan mengalah. Semua manusia pasti akan mati, tetapi dia mati syahid dan berangkat meninggalkan bumi ini menuju ke syurga. Orang yang mengalahkannya itu menuju ke neraka. Alangkah jauhnya perbezaan di antara keduanya. Dia mendengar panggilan Tuhannya Yang Maha Mulia di dalam firmanNya:

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ (196) مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ (197) لَكِنْ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا نُزُلًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ لِلْأَبْرَارِ

“Janganlah engkau tertipu bolak­ baliknya orang-orang kafir dalam negeri. (Itu semua) kesenangan yang sedikit, kemudian tempat diam mereka adalah neraka dan itulah seteruk-teruk tempat. Tetapi orang-orang yang takut kepada Tuhannya, untuk mereka itu, syurga yang mengalir air sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya, serta mendapat hidangan dan sisi Allah, dan apa yang di sisi Allah, lebih baik baginya bagi orang-orang yang baik.”(Aali Imran 3:196-198 )” 216

Golongan jahiliyyah tidak memahami hakikat yang menjadi titik tolak (muntalaq) perjuangan da’i Islam ini. Mereka lalu memburu, mengusir dan menindas mereka. Tetapi, akhirnya mereka rugi di pusingan terakhir kerana melanggar fitrah Allah pada diri da’i Islam yang menyeru manusia kepada Allah.

Kedua-dua hakikat ini, dari aspek lain sebagai bayangan kepada kemerdekaan dan harapan. Kemerdekaan membebaskan da’i dari beban rasa tamak kepada dunia manakala harapan itu mendorong mereka untuk berkorban.

Kamu boleh kata bahawa kedua-dua hakikat ini adalah hasil dari kemerdekaan dan pengharapan. Sekiranya kamu mahu, kamu juga boleh mengatakan bahawa ada empat ciri iaitu: Kemerdekaan, harapan dan dua ciri di atas, tetapi anggapan ini kurang tepat. Bagi perbincangan selanjutnya, akan diterangkan tauladan demi tauladan yang terdapat di dalam sejarah dakwah dan para da’i.

Pengajaran Dari Hakim al-Zubairi

Tiada mana-mana sejarah gerakan di dunia ini yang mempunyai teladan sebaik yang terdapat dalam sejarah gerakan Islam; samada dulu atau sekarang. Kerana terlalu banyak, sebahagian darinya tersorok dari pengetahuan generasi baru Islam.

Kadang-kala contoh tersorok itu lebih hebat dari yang diketahui orang. Buktinya ialah kisah seorang da’i dan hakim bernama Muhammad Mahmud al­-Zubairi Rahimahullah yang telah mengotakan segala kata-kata janji dan bai’ahnya didalam hidupnya.

Beliau dibesarkan di dalam warisan tradisi iman dan hikmah Yaman yang diiktiraf oleh Rasulullah S.A.W.217 Beliau berazam untuk melakukan islah dan memperbaiki masyarakat. Beliau bangkit bersama sahabat-sahabatnya pada tahun 1948M.

Usaha kebangkitan ini bukan kerana dendam atau inginkan kuasa. Tetapi beliau berpandangan jauh dan merasai mesti ada satu perubahan demi memelihara  Yaman terus berada di tangan Islam, sebelum negeri itu jatuh ke tangan para muqallid sesat dan boneka jahiliyyah.

Namun, kehendak Allah S.W.T. di luar perhitungan al-­Zubairi dengan sahabat-sahabatnya. Beliau terpaksa berpindah randah dari satu tempat ke tempat lain akibat diburu. Walaupun usaha gagal dan terlepas peluang tetapi beliau tetap merasai kemerdekaan dirinya. Beliau berbangga dengan kemerdekaan itu dengan berkata:
Ambillah seluruh duniamu dan tinggalkanlah hatiku bebas
dan biarlah aku keseorangan menjadi dagang
kerajaan aku lebih besar dari kerajaan kamu
Sekalipun kamu melihatku bagai seorang buruan terhalang.218

Kerajaan hatinya yang merdeka itu lebih besar dibandingkan dengan semua kerajaan di muka bumi yang tegak atas penipuan, atau kerajaan yang mengambil alih kerajaan pertama, tetapi sama dahsyat dan hanya menyalahgunakan nama revolusi.

Rasa megah al-Zubairi tidak dapat diungkapkan oleh baris-baris ayat buku ini.
Ia adalah rasa megah da’i Islam, lebih dari kemerdekaan hati sahaja…
Ia adalah perjanjian (bai’ah) untuk bekerja dan beramal, yang diungkapkan dalam bahasa da’i.

Da’i Is­lam dalam janji mereka itu mencontohi Ja’afar al-Khuldi al-Baghdadi yang telah menggariskan sunnah kesetiaan ketika dia berkata: “Aku tidak mungkin sekali-kali mengikat janji kepada Allah lalu aku mungkirinya.” 219

Inilah jiwa al-Zubairi, sasterawan unggul negeri Yaman itu bersedia sebagaimana kesediaan seorang yang berjiwa merdeka, digerakkan oleh harapan, melampaui sempadan negeri dan memandang remeh segala ujian dan tribulasi.

Empat sifat itulah yang memberikannya kesabaran di waktu yang perlukan kesabaran dan memberikannya kecekalan untuk menyeru dakwah Islam ketika saat perlukan amal. Ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan setelah terjadinya revolusi pada tahun 1960-an, beliau mengasaskan Parti Islam di Yaman yang sedang gawat dengan pertarungan aliran pemikiran. Ini mengakibatkan beliau ditembak dengan peluru di dadanya dan menjadi pahlawan Islam yang syahid di jalan Allah, Insya Allah.

Mereka menyangka peluru itu akan memadamkan usaha beliau ini. Sebaliknya peluru yang menembusi dadanya itu merupakan titik bermulanya kebangkitan kesedaran Islam yang mampu mengembalikan kebahagiaan di Yaman yang menangisi pemergiannya.

Kesungguhan Untuk Menjual Diri Di Jalan Allah

Adakah kamu rasa Hakim al-Zubairi ini tidak tahu bahawa terus terangnya itu akan menyebabkan peluru menembusi dadanya?

Tidak sekali-kali. Beliau cukup sedar risikonya. Tapi memang Yaman ingin menjadikannya sebagai contoh tauladan bagi da’i.

Itulah sunnah atau gaya hidup da’i; cintakan mati fisabilillah.

Itulah yang diajar oleh Khalid bin al-Walid r.a, ketika beliau menyifatkan tentera-tentera yang bersama-sama dengannya ketika membuka Iraq. Sifat ini yang menjadi ciri da’I pada setiap generasi. Beliau berkata kepada tentera Parsi: “Sesungguhnya aku bawa datang kepada kamu satu kaum yang lebih cinta kepada kematian daripada kecintaan kamu kepada hidup.”220

Begitu juga puisi yang digubah oleh Abdullah bin al­-Mubarak, pemimpin ahli hadis dan pahlawan jihad. Beliau sentiasa mengungkapkan kedua rangkap tersebut ketika keluar ke medan:
Kebencian pada hidup dan ketakutan kepada Allah mengeluarkan daku
Ke medan jihad dan menjual diriku dengan harga yang tidak ternilai
Sesungguhnya aku telah menimbang apa yang kekal dengan apa yang fana’
Demi Allah, sesuatu yang kekal tidak dapat ditandingi oleh sesuatu yang fana.221

Jangan Sibuklah dengan kerja tak ada guna ‘turrahat’..!

Begitulah kamus para da’i. Ia sentiasa berkembang dan subur. Setiap generasi menambah istilah-istilah baru ciri mereka.

Setengah mereka meletakkan perkataan kemerdekaan: “Jadilah kamu selama-lamanya orang merdeka yang tidak tunduk.” Yang lain akan menambah perkataan ‘harapan’: “Esok milik kita.” Kemudian, yang ketiga menambah: “Agama Allah itulah tanahair kita dan kami memandang remeh segala ujian, mehnah dan tribulasi.”

Sebelum mereka pula, Khalid telah meletakkan ungkapan: “Mereka sangat inginkan  kematian.” dan Ibnu al-Mubarak pula menambah: “Menjual diri” Al-Zahid Ruwaim pula memberi satu istilah lain ketika diminta nasihat oleh sahabatnya, beliau berkata: “Ia adalah pengorbanan jiwa, kalau tidak (maknanya) kamu menyibukkan diri dengan kerja tak guna.”222

Demi Allah, demikianlah gaya hidup da’i !

Umat ini tidak mungkin akan kembali semula kepada Islamnya kecuali dengan adanya dakwah yang tertegak atas asas pengorbanan jiwa. Jika tidak, ia hanya tinggal angan-angan kosong, dengan mengharapkan pemimpin kufur dan jahiliyyah akan mendengar nasihat dan diplomasi. Itu semua hanya kerja tak guna ‘vanity, farce’ dan sia-sia.

Dengarlah laungan suara Ibnu al-Jauzi di pantai Dajlah di Baghdad:
“Langkah pertama di jalan ini ialah pengorbanan jiwa.
Ini adalah serius. Siapakah yang hendak melaluinya?”223

Sentiasa ada generasi pemuda yang berseri­-seri wajahnya di segenap pelusuk muka bumi Islam, menyahut seruan Ibnu al-Jauzi ini dan berkata: “Kamilah yang akan mengikutinya.

Engkau telah menyampaikan dakwah Islam dan kami menjadi saksi. Engkau telah menyampaikan kepada kami, kami telah menggabungkan diri ke dalam jamaah, kami tidak lagi membuat tindakan sendiri berkecelaruan. Inilah dia roh dan jiwa, ambil dan letakkannya di bawah perencanaan yang teratur. Kami serahkan jiwa kami pada bila-bila  masa sahaja yang dikehendaki.

Di zaman seruan Ibnu al-Jauzi dan Ruwaim itu, di sambut pula di sebelah barat oleh lidah Lisan al-Din bin al-Khatib dengan menegaskan:

“Ya, sesungguhnya jalan ummat ini dibina di atas ‘al-maut’.”

Seorang da’i yang low profile generasi pertama, menamakannya jalan ini ‘jalan  titisan darah’. Beliau tidaklah mempunyai apa-apa ijazah dari mana-mana universiti dan namanya tidaklah masyhur, namun, beliau berkata kepada pemimpinnya dengan kata-kata yang penuh keimanan: “Sesungguhnya titisan darah masih mahal bagi umat Islam. Selagi mana mereka menganggap titisan darah itu mahal, mereka tidak akan sampai ke mana-mana, kerana harga kemuliaan dan kemerdekaan hanya boleh dibayar dengan titisan darah.”224

Demikian kuat dan indahnya bahasa apabila datang dari lidah yang benar, sekalipun pengucapnya tidak mengenali sasterawan al-Jarjani dan al-Jahiz. Itulah ketegasan dan keberanian menurut Muhammad Iqbal di mana kedua-duanya digabungkan di dalam satu rangkap puisi:
Seorang mukmin itu menjadi tegas apabila melihat kebatilan itu melampaui batas
dan berani di dalam menghadapi setiap pertarungan.225

Itulah pengorbanan yang dikatakan oleh Walid al-‘Aczamiyy: “Itulah Islam, ia menuntut pengorbanan.”

Seorang da’i telah menukilkan kata-kata di dalam puisinya, ingin menyatakan bahawa keagungan itu tidak mungkin tegak jika hanya hidup untuk untuk nafsu:
Sesungguhnya jiwa ini meredhai Islam ini sebagai agamanya
Kemudian jika dia duduk berdiam diri dan puas hati
atau melihat Islam ini terhina di muka bumi ini
dan jiwanya mencintai kehidupan dunia yang fana ini
Maka dia tidak lagi tergolong di kalangan umat Islam yang agong

Seorang da’i yang faqih menghimpunkan semua istilah itu di dalam satu fatwa fiqhiyyah yang jelas, jauh sekali dari emosional. Kata beliau:

“Tugas amar makruf nahi mungkar adalah fardhu kifayah yang wajib ada dalam ummat Islam. Tetapi, sekiranya pemerintah itu zalim, melampau serta tidak mahu mendengar nasihat sehingga ke peringkat membunuh sesiapa yang memberi nasihat serta menyuruh dia membuat kebaikan dan melarang dia dari kemungkaran, maka pada ketika itu kefardhuan ini gugur dari seseorang individu. Tetapi tugas ini tidak gugur dari ummah seluruhnya. Walaubagaimanapun digalakkan kepada individu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar ini sekalipun dia akan dibunuh.

Ini telah dijelaskan oleh hadis yang bermaksud : “Penghulu seluruh para syuhada ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan lelaki yang mengucapkan kata-kata yang benar kepada pemerintah yang zalim lalu dia dibunuh.” (Tabrani, Hakim – pent)

Dapat difahamkan dari hadis ini, digalakkan menyuruh pihak berkuasa yang zalim kepada makruf dan melarangnya dari mungkar sekalipun membawa kepada dibunuh. Perbuatan sedemikian bukannya bererti dia mencampakkan dirinya di dalam kebinasaan. Ia tidak termasuk dalam pengertian yang dimaksudkan di dalam ayat al-Quran yang bermaksud:

“Janganlah kamu mencampakkan diri kamu di dalam kebinasaan.”

Syahid di jalan Allah bukanlah satu kebinasaan. Itulah sebahagian dari bentuk jihad. Ia akan menguatkan semangat orang yang benar, melemahkan kebatilan dan menghalang mereka melakukan kezaliman. Pengertian ini amat sesuai dipraktikkan oleh para mujahidin dan umat Islam. Syariat Islam juga menggalakkannya.” 226

Tiga Peringkat

Fatwa-fatwa, perbendaharaan istilah kamus da’i, mara mengharungi bahaya,  tauladan dari Yamani dan ­puluhan kesah-kesah para da’i  Islam dulu dan sekarang, semua itu sebenarnya bukanlah kita mengajak kepada gopoh. Tetapi ini semua sebenarnya mengesahkan satu fasal  dalam qanun tarbiyyah harakiyyah bagi qacidah sulbah. Tajuknya: Menanamkan ruh persediaan dan penjelasan beban dakwah dari awal-awal lagi.

Persediaan jiwa untuk mengorbankan nyawa dan darah ketika perlu. Dakwah bukanlah badan kebajikan yang hanya cukup dengan sedikit !

Persediaan untuk penat harian… perjalanan dakwah adalah panjang sebelum sampai ke matlamatnya. Tak cukup hanya dengan tepuk tangan dalam perhimpunan atau memuji-muji ucapan dan pidato.

Persedian untuk mengorbankan kegembiraan dan memikul penderitaan umat yang berat. Bermula dengan isu Palestin hingga kepada isu Kristianisasi di Indonesia, penyembelihan umat Islam di  kawasan Benggal (India dan Myanmar-Arakan) dan Filipina.

Salah seorang pendakwah Islam lampau telah menyebutkan tiga bentuk marhalah ini sejak dulu lagi dalam ucapannya:
“Wahai saudara, permulaan jalan ini mudah,
kemudian datanglah kesedihan,
Permulaannya: korbankan kegembiraan,
Pertengahannya: korbankan nyawa.”

Sepatutnya ada terakhirnya juga, yang lebih besar dari pengorbanan nyawa tetapi beliau tidak menyebutkan. Para da’I dapat merasakannya iaitu yang terakhirnya ialah mengorbankan sesuatu yang lebih dari nyawa. Saya rasa ia adalah kerinduan yang bersangatan kepada tujuh puluh bidadari. Ia merupakan himpunan banyak kerinduan sehinggakan mereka lupa nikmat rehat, nikmat makan dan minum di dunia dan lupa kepada gurauan isteri di dunia. Dia terus terawang-awangan, berlarian tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan.

Dari sifat marhalah yang diterangkan lama dulu lagi oleh da’i ini dan dari perspektif lain pula dari tiga persediaan tersebut, kesemuanya menjelaskan kepada kita ciri haraki moden bagi marhalah tadarruj menurut kesesuaian kekuatan dan  waqi’. Ianya menghala ke masa depan dalam aliran gabungan mantap antara fiqh syar’i dan pengalaman dakwah kita.

Sembang Mereka Yang ‘relaks’

Itulah ungkapan oleh Imam Ahmad bin Hambal r.a. Atau dalam ungkapan lain.. sembang orang yang berjiwa rehat.

Imam Ahmad adalah salah seorang da’i Islam yang bijak. Beliau memimpin tajammu’ da’i Islam di zamannya yang kesemuanya suka berkorban. Beliau memahami nilai thabat da’i dalam menghadapi mehnah. Keengganan beliau mematuhi kehendak pemerintah mahukan beliau mengiyakan pendapat ‘Quran adalah makhluk (pendapat bid’ah muktazilah)’ telah memberi kesan mengukuhkan pendirian kaum muslimin. Oleh itu, beliau tidak menemui panggilan yang sesuai terhadap mereka yang tidak memahami bahasa dan istilah da’i selain dari istilah “Orang yang berakal rehat ‘relaks’” sahaja.

Beliau bukanlah membenci atau menghina mereka. Bahkan beliau mencintai dan bersungguh-­sungguh memperbaiki mereka. Beliau cuba memanfaatkan kebaikan mereka walaupun sedikit. Tetapi, beliau tidak memasukkan orang sebegini ke dalam safnya selagi pemikiran mereka jenis sukakan relaks dan tidak tergerak melihat penderitaan umat.

Ahmad bin Daud Abu Said al-Waasiti telah berkata:

“Aku telah masuk ke dalam penjara untuk menemui Imam Ahmad bin Hanbal sebelum beliau disebat. Antara kata-kataku kepada beliau, “Wahai Abu Abdullah (gelaran Imam Ahmad), engkau ada keluarga, engkau ada anak-anak kecil. Engkau diberi keuzuran oleh syarak (boleh mengambil rukhsah)”

Rupa-rupanya kata-kataku itu  memudahkan padanya untuk menjawab.

Maka berkata Imam Ahmad kepadaku: “Wahai Abu Said, kalau beginilah cara fikirmu, engkau sebenar telah berehat.”227

Betapa banyaknya kata-kata begini telah disebutkan kepada para da’i hari ini.  Betapa ramainya orang yang telah memahami Islam, lalu kemudiannya membisikkan kepada dirinya dengan kata-kata sebegini. Lalu mereka menjadi bacul, menyorok dan tidak bersama-sama da’i lain dalam perjalanan dakwah. Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, bisikan-bisikan begini adalah bisikan orang yang dah berehat.

Bagaimanakah seseorang yang terasa terbakar hatinya melihat realiti ummat Islam itu mungkin boleh berehat? Bagaimana dia boleh membiarkan anak-anak dan isterinya menghina dan mengikat dirinya dari melonjak maju ke depan bersama-sama da’i? Bukankah mati itu telah ditetapkan?

Lihatlah kepada seorang da’i di Mansurah, Mesir; Solah al-Syarbini Rahimahullah. Peluru Inggeris tidak mematikannya ketika beliau menentang Inggeris di Terusan Suez, tetapi beliau mati di atas katil hospital selepas beberapa hari haji di Mekah.

Begitu juga da’i dari Basrah, Qais al-Qirtaas Rahimahullah. Beliau tidak mati ketika diseksa dengan dahsyat di penjara. Sebaliknya beliau mati kerana terhidu gas di dalam bilik mandi beberapa hari selepas keluar dari penjara.

Da’i dari Gaza pula, Umar Abu Jabarah Rahimahullah, seorang pendokong dakwah sejak kecil lagi. Beliau dipenjara tetapi tidak mati kerana teruknya kerja dakwah harian yang dilakukannya. Tetapi dia mati akibat tergelincir sedikit setelah keluar penjara.

Dakwah tidak mempercepatkan ajal, tetapi dakwah akan mengangkat da’i ke syurga Firdaus.

Sekiranya seseorang muslim itu tidak mahu bersama-sama Imam Ahmad atau mahu bersama-sama pewaris Imam Ahmad pada hari ini dan dia duduk sahaja kerana uzur atau seolah-olah ada uzur, maka dia sepatutnya merasa sedih. Paling kurang dia sepatutnya mencela dirinya sendiri kerana tidak bersama-sama amiliin. Dia hendaklah jadi seperti sikap al-Zahid Bisyru bin Haris al-­Hafi pada hari Imam Ahmad di siksa. Apabila ada orang menceritakan kepadanya:

“Sesungguhnya setakat ini Ahmad bin Hanbal telah disebat sebanyak tujuh belas kali dengan cemeti,”

Bisyru pun menghulurkan kakinya dan melihat kedua betisnya lalu berkata: “Alangkah buruknya betis ini, tidak diikat dengan pasung untuk menolong lelaki itu (Ahmad bin Hanbal).”228

Beliau terkenal dengan cintanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Walau bagaimanapun, khalifah membiarkan dia tanpa diganggu dan tidak diazab kerana kemasyhuran zuhudnya, tambahan pula dia dikasihi oleh orang ramai. Khalifah tidak mahu menimbulkan kemarahan rakyat.

Mukmin yang benar akan menyalahkan dirinya apabila menguzurkan diri atau menfatwakan kepada dirinya untuk tidak bersama dalam barisan da’i. Dilakukan kerana kelemahan dirinya atau kerana syubhat. Dia sepatutnya merendah diri kepada pada da’i dan bukannya bercakap bukan-bukan. Dia sepatutnya mencela ijtihadnya itu. Sepatutnya dia memuji da’i yang sabar supaya menggembirakan hati mereka.

Manakala mereka yang diperhambakan nafsunya, dia akan berdebat, bercakap bukan-bukan, melemparkan kata-kata kukuh dan mantap untuk mengatakan dia bukan orang yang mengundurkan diri. Sebenarnya dia telah menambahkan kekurangan pada kekurangan yang telah ada pada dirinya. Semoga Allah melindungi kita.

Mereka yang lari, tidak menyertai saf dan berehat akan sentiasa berada dalam golongan yang dicela hinggalah mereka memahami sifat-sifat haraki dan berbicara dengan bahasa da’i. Dia akan bermadah bersama mereka untuk mengkritik keadaan diri mereka masa dulu:
Islam itu berlepas tangan dari orang yang ragu dan hina
Yang memandang Islam hanya puasa dan solat
Padahal puncak agama itu ialah jihad
Berjihadlah atau kita akan disingkir dari kehidupan

Itulah kata-kata yang tegas dan ringkas keadaan dan situasi umat Is­lam di seluruh dunia hari ini.

Samada jihad dan berjanji untuk menitiskan darah; atau disingkirkan dari kehidupan. Allah akan menggantikan mereka dengan satu kaum lain. Mereka berlemah lembut kepada orang-orang yang beriman, tegas kepada orang yang kafir. Mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut cercaan orang yang mencerca. Mereka tidak terpedaya dengan kecantikan wanita atau kilauan harta. Mereka tidak takut pada kebuasan taghut dan tidak gentar menghadapi bedikan jahiliyyah.

Ya… itulah jalannya.. atau mereka hanya akan layak digelar sebagai pemilik mentaliti relaks !

Inilah dia… atau yang lain hanyalah kerja remeh-temeh yang tak guna !


Nota Kaki
  1. Ma’alim fial-Tariq, m.s. 168
  2. Dalam hadis Bukhari:
    أتاكم أهل اليمن، هم أرق أفئدة وألين قلوبا، الإيمان يمان والحكمة يمانية، والفخر والخيلاء في أصحاب الإبل، والسكينة والوقار في أهل الغنم
  3. Majalah al-Muslimin, bilangan 2, m.s. 821
  4. Tarikh Baghdad, Jilid 7, m.s. 229
  5. Tarikh al-Tabari, Jilid 3, m.s. 344
  6. Ibid, Jilid 10, m.s. 166
  7. Ibn al-Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 183
  8. Al-Mudhish, m.s. 299
  9. Muzakkirat al-Dakwah wa al-Da’iyah, m.s. 114
  10. Diwan al-Karb, m.s. 29
  11. Majalah al-Tarbiyyah al-Islamiyyah, Bil. 5, m.s. 760
  12. Ibn Abi Ya’la, Tabaqat al-Hanabilah, Jilid 1, m.s. 43
  13. Ibn al-Jauzi, Manaqib Ahmad, m.s. 119

Comments are closed.