15. Peluasan yang Seimbang dan Penyebaran yang Berhati-hati

BAB 15: Peluasan Yang Seimbang Dan Penyebaran Yang Berhati-hati

Buah pertama yang dirasai oleh seorang mukmin dari izzah imannya ialah; beliau faham adanya kekuatan al-haqiqah dalam Islam ini yang membolehkannya mampu diiklankan walaupun oleh hanya seorang manusia sahaja. Mukmin tersebut juga faham bahawa segala pemikiran jahiliyyah adalah palsu dan memerlukan bilangan ramai. Pemikiran jahiliyyah ini hanya mampu menarik perhatian orang-orang yang berfikiran cetek, lalu terpedaya dan tertipu dengan kepalsuan jahiliyyah tanpa mengetahui bahawa mereka sebenarnya berada di dalam sesat.

Dari sinilah, kadangkala kita dapat lihat umat Islam ini mampu diwakili oleh hanya seorang mukmin sahaja, sebagaimana firman Allah S.W.T. :

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِلَّهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُنْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Sesungguhnya Ibrahim satu umat, yang taat (patuh) kepada Allah dan hanif. Dan dia bukan orang yang syirik.” (Al-Nahl 16: 120)

Ibnu Taimiyyah berkata: maksudnya “dia beriman keseorangan sedangkan manusia lain semuanya kafir.” 229

Dalam sahih al-Bukhari disebutkan bahawa Nabi Ibrahim a.s. berkata kepada isterinya:

يا سارة: ليس على وجه الأرض مؤمن غيري وغيرك

“Wahai Sarah, tidak ada orang yang beriman di muka bumi ini kecuali aku dan engkau sahaja.” 230

Begitu juga pada satu ketika, umat Islam ini hanya diwakili oleh Nabi Muhammad S.A.W. seorang sahaja.

Lantaran itulah seorang mukmin tidak mungkin langsung akan merasa terasing dan dagang ‘ghurbah’. Kerana dia mewakili iman dan al-hakikat, maka dia dapat merasai manusia lain yang sesat itulah sebenarnya yang dagang dan teraba-raba.

Justeru, ketika ada seorang yang tidak faham merasai Abdul Wahab Azam telah hidup sebagai orang ghurbah di tengah-tengah masyarakatnya, dia segera menjawab:

قال لي صاحب: أراك غريبا            بين هذا الأنام دون خليل

قلت: كلا، بل الأنام غريب           أنا في عالمي وهذي سبيلي

Seorang sahabat berkata kepadaku: aku melihat engkau seperti orang asing
Bersendirian di tengah-tengah manusia tanpa sahabat dan teman
Aku berkata: Tidakkkk……!, bahkan manusia itu yang asing
Aku berada di alamku dan inilah jalanku.231

Adapun ghurbah yang dikatakan di dalam sebuah hadis:

’Tuuba lil al-ghuraba’ Berbahagialah mereka yang ghurbah” Sebenarnya asing dalam hadis ini adalah relatif berdasarkan waqi’ keliling.  Itu adalah dilihat dari bilangan mereka sedikit di tengah-tengah buih-buih sesat. Namun, dari sudut naluri dan perasaan, mukmin yang keseorangan di tengah-tengah manusia yang sesat itu sebenarnya mempunyai teman dan kawan yang menghilangkan rasa ghurbah itu.

Tanggungjawab Kita Hanya Menyampai..

Perbezaan perasaan antara da’I iman dengan da’I kebatilan inilah yang sebenarnya menjadi sebab kenapa da’I kebatilan itu sentiasa dalam keadaan penat. Disamping itu, mereka perlu pula sentiasa merubah bentuk dan rupa kebatilan mereka apabila ia tidak mampu memperdaya manusia. Mereka beralasan tindakan mereka itu sebagai perkembangan fikiran dan dialitik. Bagi mereka (kerana cara fikir mereka yang materialisma dan hanya menilai keuntungan dan kerugian dari faktor material semata-mata) sesiapa yang ingin memasarkan mana-mana ideologi, apabila ideanya sudah tidak mendapat sambutan, maka dia mesti segera menukarnya dengan suatu menu lain yang lebih ada market.

Sebaliknya, seorang da’i Islam pula yakin bahawa kewajipannya ialah mereka mesti memilih isi yang sesuai dengan syarak, dan kemudian mengikut uslub yang sesuai berdasarkan ijtihadnya. Kemudian Allahlah yang menentukan segalanya selepas dari itu. Sekiranya tidak ada seorang pun yang menerima dakwahnya, maka mesti terdapat hikmah rabbaniyyah di sebaliknya. Sekiranya Allah menghendaki, tentu mereka akan diberi hidayah, tetapi Allahlah yang menjadikan mereka tidak mahu menyertai golongan da’i.  Oleh itu, bagi da’I  mereka hendaklah terus thabat dengan pegangan mereka.

Kesedaran terhadap hakikat iman ini menyebabkan Dr. Yusuf al-Qardhawi menjawab orang yang membangkangnya, beliau berkata:
Aku hairan melihat mereka yang berkata: Anda berdegil di dalam cita-cita
memelihara idealisme yang tinggi dan pendakian yang sukar
berhentilah di sini, janganlah bersusah payah
engkau hanya menyemai benih di bumi yang kontang
Aku berkata kepadanya: Tunggu ! putus asa bukan sikapku
Akan kutabur benihku di bumi dan buahnya hanya dari Tuhan
Apabila aku telah sampaikan risalah ini dengan bersungguh-sungguh
Kemudian aku tidak dapati yang manyahutnya, apa dosaku?232

Itulah antara qanun dakwah Islam.

Apabila kita tidak mencapai apa yang kita harap dan kita inginkan, cukuplah kerja kita ini untuk menjadi motivasi generasi belakang agar meneruskan perjalanan ini. Sesungguhnya berjaya memulakan sesuatu itu adalah tanda ianya boleh di selesaikan.

Atau seperti yang dikatakan oleh al-Rafi’e:

“Urusan yang susah apabila ia dapat dimulakan cukuplah ia menjadi bukti ianya boleh dilaksanakan.” 233

Kewujudan da’I baik contoh di seluruh pelusuk dunia Islam itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa idealisma Islam boleh dilaksanakan dalam sebuah tajammu’ haraki  di tengah-tengah jahiliyyah yang pekat. Bukti inilah yang menjadi titik tolak ‘muntalaq’ kita untuk meneruskan perjalanan ini. Ia juga memotivasikan kita untuk terus berusaha mentarbiyyah contoh-contoh seperti ini hinggalah kita sampai kepada bilangan yang mampu untuk mempengaruhi dan membimbing manusia dikeliling kita.

Sekiranya da’I hari ini tidak mencapai kemenangan, cukuplah bagi mereka  menjadi sepertimana yang dikatakan oleh Syed Qutb:

“… kuli(pekerja) kepada Allah. Di mana, bagaimana dan  cara mana yang dikehendaki Allah supaya mereka bekerja, maka mereka jalankan kerja itu dan mereka menerima pahala seperti yang diberitahu. Bukan tugas dan tanggungjawab mereka untuk menentukan berhasil atau tidaknya dakwah itu. Ia terserah kepada tuannya dan bukan urusan kuli.234

Kita mahu menjadi imam-imam.

Itu adalah tuntutan iman. Namun begitu, fitrah manusia cenderung untuk mempunyai ramai teman. Mata menjadi sejuk bila melihat iman mengalahkan kufur. Tatkala itu, bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah.

Perasaan itulah yang mendorong da’i berusaha bersungguh-sungguh mempelajari seni dakwah supaya mereka berjaya menyelamatkan lebih ramai generasi muda dari kesesatan ke jalan yang lurus. Kamu melihat mereka sangat gembira apabila  berjaya mendapat satu bai’ah baru. Doa Quran yang paling mereka sukai ialah:

وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Dan jadikanlah kami imam, pimpinan (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan 25:74)

Doa itu bukan kerana mereka inginkan kuasa, gila ketua atau suka menunjuk-nunjuk yang merupakan suatu yang dilarang syarak. Tetapi ianya adalah apa yang diperkatakan oleh Imam Ibnu al-Qayyim:

“Dia suka menjadi imam (ikutan) di dalam agama bahkan dia memohon kepada Tuhannya supaya menjadikannya sebagai imam dan diikuti oleh mereka yang bertakwa kepada Allah, sebagaimana dia sendiri menjadi pengikut kepada orang-or­ang yang bertakwa.

Sekiranya seorang da’I itu suka dipandang tinggi oleh orang yang bertakwa, hebat di hati mereka, dicintai dan ditaati; dan semua itu kerana niat membimbing orang bertaqwa itu mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W., maka sikap demikian tidak mengapa. Bahkan ia suatu yang terpuji kerana dia mendokong dakwah Islam dan menyeru manusia kepada agama Allah. Ia mahu Allah dicintai, ditaati, disembah dan diesakan. Oleh itu dia suka segala perkara yang membantu untuk mencapai matlamatnya itu. Untuk itu, Allah S.W.T. telah menyebut golongan hamba-hambanya yang khusus untukNya, memuji mereka di dalam kitabNya dan memberi balasan baik kepada mereka pada hari akhirat. Allah memuji amal dan sifat mereka yang terbaik dalam firmanNya:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menggirangkan hati kami, dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang­-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan 25: 74)

Mereka ini memohon kepada Allah supaya sejuk mata mereka ialah apabila isteri-isteri dan zuriat mereka taat kepada Allah S.W.T. . Kegembiraan hati mereka ialah bila mereka menjadi ikutan orang-orang yang bertakwa untuk mentaati Allah beribadah kepadanya.

Sesungguhnya imam dan makmum itu salinzg bekerjasama dalam mengerjakan ketaatan. Oleh itu, mereka hanya memohon kepada Allah sesuatu yang boleh menolong mereka mencapai keredhaan Allah dan taat padaNya. Doa mereka ialah supaya mereka dijadikan imam dan pemimpin dalam agama.” 235

Perluasan tajmik Perlu seimbang Dengan Tenaga Tarbiyah

Tetapi keinginan untuk menjadi ikutan dalam agama sepatutnya tidak menjadikan kita bermudah-mudah dengan sifat imaniyyah dan sifat manusiawi yang kita telah syaratkan bagi sesiapa yang hendak bergabung. Di sepanjang perjalanan, perlu ada keselarasan dan keseimbangan di antara peluasan tajmi’ dan kemampuan tenaga taujih tarbawiyy yang kita miliki.

Satu kesilapan yang paling merbahaya bagi dakwah ialah apabila ia melakukan tajmik yang luas sebelum adanya sekumpulan da’I yang mampu mentarbiah mereka yang telah berkumpul disekelilingnya. Kumpulan da’i itu sendiri pula mesti memperuntukkan sebahagian dari waktunya untuk meneruskan tarbiyyah diri sendiri dengan ilmu dan ibadat. Jika tidak, hati mereka akan menjadi keras setelah mereka dapat menikmati kelazatan permulaan. Apabila hati telah keras, akan hilanglah pula roh-roh ukhuwwah.

Keseimbangan ‘tawazun’ ini bukan hanya khusus untuk permulaan dakwah sahaja, bahkan mestilah men’kontrol’ tajmi’ di seluruh fasa pengembangan dakwah. Jika tidak, dakwah akan diancam bahaya yang besar.

Oleh itu perencanaan dakwah pada peringkat permulaannya tidak mampu merangkumkan seramai mungkin orang awam dan orang biasa ‘rajul syari’’, kecualilah jika kita melonggarkan syarat-syarat penggabungan. Adalah satu kesilapan besar jika kita biarkan dakwah cuba mengutip dan beriya-iya mendapatkan ‘rajul syari’’ sebelum wujudnya kesedaran yang cukup pada mereka dan kita mempunyai bilangan tenaga tarbiyyah yang mantap.

Kalangan da’i yang terlibat dalam politik biasanya mahu supaya dakwah berlumba-lumba dengan parti-parti politik lain untuk menarik seramai mungkin orang ‘awam’. Sedangkan kita dapati yang jelasnya orang ‘awam’ di negara-negara Islam, tabiat biasanya ialah tidak bersedia untuk bersama-sama dalam tempoh yang lama dalam mana-mana jamaah.

‘Rajul Syari’, ghaugha’, duhama’ (mob, riffraff & rabble) dan orang ramai yang bising-bising ini biasanya adalah  menjadi tunggak utama dan asas hidupnya parti-parti  jahiliyyah. Ini kerana parti-parti ini boleh menukar gantikan program dan uslub mereka menurut kehendak pengikut atau pasaran semasa yang laris.

Tetapi dakwah Islam tidak akan menang dengan orang-orang seperti ini. Bukan orang-orang sebegini yang akan mengubah perjalanan sejarah.

Tajmi’ untuk ramai dalamasa singkat mungkin tetapi ia tidak dapat bertahan lama.

Lebih dari itu, tajmi’ yang meluas akan meletakkan dakwah pada situasi baru yang memerlukan penggunaan tenaga yang besar untuk kerja pengurusan. Ia juga memerlukan kumpulan qudwah bertaraf tinggi untuk mengekalkan tajammu’ pada suasana kerohanian tinggi ketika mengharungi pelbagai peristiwa. Sekiranya kemampuan tenaga dan qudwah tersebut tidak cukup sebelum dilakukan tajmi’ meluas dan bekerja dengan ‘rajul syari’’ itu, maka ini bermakna dakwah telah menghimpunkan orang ramai yang hanya bernama Islam tetapi mempunyai pelbagai kecenderungan yang tidak terkawal dan tidak boleh tunduk kepada perancangan. Mereka akan bertindak tanpa arah dan tujuan. Mereka mungkin menggunakan Islam untuk membuat sesuatu yang bukan Islam. Bahkan kadangkala memburukkan Is­lam dengan fahaman yang bercampur baur, teori-teori kufur dan akidah yang bercampur aduk dengan bid’ah.

Seimbang Dalam peluasan medan

Sikap bermudah-mudah ‘tasahul’ semasa pemilihan dan tindakan meramaikan ‘kuantiti’ tanpa ‘kualiti’ (takathur la tarkiz) akan melahirkan pelbagai tindakan dan kegiatan yang tidak terancang dan tidak bertujuan. Dalam masa yang lain pula, semangat da’I untuk men’cover’ kekurangan, rasa tidak mahu dikalahkan oleh golongan jahiliyyah, penyeleweng dan mulhid (atheis) dan rasa mahu menguasai seluruh medan penglibatan keilmuan (thaqafiyyah) dan politik yang digunakan untuk memimpin manusia. Itu semua menyebabkan da’I mula mengikut perancangan kerja parti-parti politik tanpa melihat kemampuannya sendiri. Ini  juga mendorong mereka turun ke medan dan pentas gelanggang sedangkan mereka tidak mempunyai persediaan yang cukup.

Akibatnya, berlakulah simpang­-siur amal dan berseleraklah tenaga-tenaga hebat da’i yang mampu. Lalu, pengaruh dan kesan kerja tersebut tidak mantap di semua medan. Berlaku kepenatan dan perahan tenaga yang dahsyat.

Hal ini sama sepertimana yang terjadi di medan perang. Sejarah peperangan menunjukkan banyak contoh panglima-panglima perang yang tidak teliti di dalam penyusunan strategi. Mereka membuka banyak medan tempur secara serentak, menyebabkan kekuatan mereka terpecah-pecah. Mereka tidak menghadapi musuh secara satu persatu. Ini menyebabkan mereka kalah. Begitu juga ilmu persediaan ketenteraan sentiasa mengingatkan kepada panglima-panglima perang supaya mereka tidak terlalu melamakan masa sesuatu pertempuran dan hendaklah diserang secara bersepadu yang dapat menjamin berulangnya serangan sekiranya serangan yang pertama gagal. Mereka juga hendaklah mempunyai pasukan reserve ‘ihtiyati’ untuk menangkis serangan mengejut dan gerakan dari belakang.

Ini semua bukan bertujuan untuk mengajak supaya kita berelaks,  kerana relaks itu adalah maut. Ia bukan juga bertujuan untuk menyejukkan semangat kerana ia akan melepaskan segala peluang. Ini juga tidak bertujuan untuk menghalang kita dari mengambil pelajaran dari teknik-teknik kerja smart yang ada pada group jahiliyyah, kerana kita boleh mengambil kebaikan dari mereka selagi tidak bercanggah dengan nas syarak dan tidak bertentangan dengan uruf akhlak yang dipandang baik oleh mukmin.

Sebenarnya kami mengajak supaya kita menilai kemampuan kita secara waqi’iyy, mentarkiz ‘fokus’kan usaha dan memasuki gelanggang yang sesuai berdasarkan kepentingannya.

Usaha lebih dahulu oleh penjajah kafir dalam membentuk parti-parti politik telah menyebabkan mereka telah mendahului parti-parti dakwah Islam. Ini ditambah lagi kebingungan umat Islam yang ikhlas selepas tumbangnya Khilafah Is­lam Uthmaniyah. Oleh itu masalah ini tidak mungkin dapat diatasi sekaligus, tetapi ia hendaklah dengan tindakan dan perjalanan yang seimbang.

Oleh kerana itu, perlulah perkembangan dan peluasan yang seimbang di setiap medan serentak dengan keseimbangan perkembangan bilangan ahli bagi memelihara dakwah dari kemusnahan. Hubungan pengaruh dan kesan terhadap besarnya apa yang didengar dan dilihat di dalam manifestasi tarbiyyah mewajibkan kita untuk memelihara saiz keluasan medan yang dibuka sesuai dengan ‘power’ kepekatan suara yang kita mampu berikan. Semakin kurang bidang yang diceburi, semakin bertambahlah kepekatan yang ada.

Sejarah yang baru saja berlalu menunjukkan kepada kita bagaimana ada harakah Islam yang telah terlibat penglibatan banyak cabang kerja dan memasuki semua medan secara tergesa-gesa, sebagai tindak balas terhadap pelbagai isu politik dan perkembangan parti. Da’I terpaksa bertarung sengit dengan golongan ideologi jahiliyyah di dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan-kesatuan sekerja, kelab-­kelab seni dan badan-badan sosial. Sedangkan ketika itu, bilangan anggota gerakan Islam yang berkemampuan, berpengalaman dan mahir masih lagi kurang.

Pandangan yang matang mengingatkan sungguh-sungguh perlunya penekanan tarbiyyah dalaman, pemantapan iman dan peneguhan saf dengan menanamkan rasa ketaatan dan iltizam sebelum memasuki gelanggang dan persaingan.

Dalam keadaan kemampuannya lemah, da’i yang faqih tidak akan terprovok dengan kemenangan kafir yang kuat. Bahkan dia mengawal marahnya, bersabar dan memulakan kerja-kerjanya secara teratur dan sentiasa menyediakan tapak yang mantap sebelum kakinya melangkah…

Kembang maju Datang Dari Kepayahan

Semangat da’i yang begitu bersemangat tidak semestinya akan mendatangkan hasil, kerana ia pada beberapa sudut lain adalah tertakluk kepada realiti.

Antara fenomena waqi’ terpenting yang menghalang da’i dari mendapat hasil dari  semangat dan cita-citanya ialah kelemahan dan rendahnya level sebahagian da’i untuk menyaingi pihak lain. Usaha untuk menghadapi pihak jahiliyyah dalam segenap bidang yang dimasuki mereka sekarang memerlukan satu kemampuan dan kecekalan da’I yang hebat. Realiti kita menunjukkan betapa kurangnya tenaga sedemikian di kalangan anggota harakah Islam kita yang mampu memimpin, kreatif, inovasi, bergerak dan terus menerus bekerja. Apa yang berlaku ianya terus menerus tertumpu kepada hanya beberapa da’I yang sama.

Sesungguhnya aspek yang dilupai oleh mereka yang bersemangat itu sebenarnya terletak pada tidak sedarnya mereka bahawa i) fiqh pemilihan dan pengenaan syarat yang ketat ii) kemantapan niat dan semangat kental terus menerus yang terhasil….

Sebenarnya kedua-duanya itu lahir dan terbentuk melalui:

i) hasil pemikiran selama beberapa tahun  ii) proses tindak balas hati yang mendalam terhadap kesilapan-kesilapan iii) serta kepayahan & keperitan kerja yang berterusan.

Orang yang tidak memahami fiqh ini dan tidak pernah mengharungi susah payah itu tidak akan sampai kepada ‘mustawa’ yang sama dengan mereka ketika pelaksanaan.

Sesungguhnya itulah hakikat yang berlaku. Pendapat yang ideal dan tindakan sepontan dalam perencanaan akan bertukar kepada tadarruj yang sesuai dengan kemampuan. Adalah menjadi kesalahan apabila kita menuntut satu kerja yang mantap dan penuh kesedaran dari da’i yang lemah. Semata-mata desakan dan ‘push’ tidak akan cukup jika tidak didahului dengan tarbiyyah.

Fokus pada ‘memprodukkan’ Orang-orang Thiqah

Tidakkah anda lihat bagaimana kerajaan negara-­negara maju menumpukan pada peringkat awalnya pada industri berat? Ini kerana, industri berat merupakan kunci untuk mewujudkan industri-industri ringan lain.

Demikian juga kita di peringkat permulaan dakwah. Di kebanyakan negara, kita seolah-olah sedang berada di peringkat permulaan akibat banyaknya kesilapan yang berlaku dan dahsyatnya serangan dari pihak kafir dan tali barut mereka.

Usaha kita mesti ditumpukan kepada ‘kilang-kilang thiqat’ (proses melahirkan golongan thiqah) yang akan mendidik dan membentuk da’i yang bersenjatakan iman dan fiqh haraki. Mereka perlu disimpan bagi menghadapi kufur medan demi medan. Segala kemampuan mesti disimpan bagi membantu, mengukuh dan memantapkan badan yang akan mentarbiyyah golongan thiqah tersebut.

Tempoh dari bermulanya lahir mana-mana gerakan Islam hinggalah sampai ke hari ia hampir-hampir menyamai kekuatan jahiliyyah di sekitarnya, tempoh tersebut mestilah menjadi fasa untuk usaha tajmi’, tarbiyyah dan tafqih. Setiap kali mereka membuka medan baru atau platform baru atau melibatkan diri dalam kancah politik secara total, maka ini bererti berlaku pertentangan antara tuntutan unit tarbiyyah dengan tuntutan medan baru atau aktiviti politik tersebut. Ia adalah disebabkan kurangnya mereka yang mampu dan berkelayakan bagi memenuhi segala tuntutan-tuntutan ini dan mampu pula menguruskan pelbagai  unit.

Dalam perencanaan dakwah, tidak sepatutnya keterbukaan medan dakwah dibuka begitu luas sebelum yakin wujudnya bilangan thiqah yang cukup bagi  melaksana dan meneruskan medan ‘infitah’ tersebut. Anggota yang thiqah perlu dihalang dari kerja secara semangat tiba-tiba ‘air karbonat’ dan  kerana reaction provokasi pihak jahiliyyah terhadap kita. Walau bagaimanapun, itu tidak menghalang kita dari melatih sebahagian kita dalam bilangan yang kecil untuk menyertai pelbagai medan ini sebagai latihan praktikal , agar nantinya mereka akan menjadi pelopor pemimpin apabila medan-medan baru dibuka.

Al-Quran…. Dan Kekuatan Yang hebat….

Memang benar.. kekuatan besi adalah pelengkap bagi al-­Quran.

Itulah firman suci dari Allah .. ayat muhkam dan bukannya mutasyaabih.. terus dipakai dan tidak dimansuhkan. Allah S.W.T. mahu menjadikannya sebagai slogan, dustur dan penunjuk jalan kepada dakwah Islam. Melalui ayat yang dibaca oleh berjuta umat Is­lam di seluruh dunia setiap hari. Firman Allah S.W.T.:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمْ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menurunkan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa..” (Al-Hadid: 25)

Setiap hati yang sejahtera, teguh imannya dan cenderung kepada kebaikan akan dapat memahami ayat itu sama sebagaimana yang difahami oleh Rasulullah S.A.W..

Abu Bakar al-Siddiq telah memahaminya. Kerana itulah dia memerangi kaum murtad.

Saidina Umar Al-Faruq yang gelarannya diambil sempena nama sebilah pedang juga telah memahaminya. Oleh itu, dia menyetujui supaya dibetulkannya dengan pedang sekiranya dia menyeleweng dan mengikuti hawa nafsu.

Demikianlah umat Islam generasi demi generasi sentiasa ingat memperingat dengan sikap ini. Mereka mengingatkan dengan al-Quran. Kerana itu mereka tidak rugi.

Sehingga apabila mereka ditimpa malapetaka dan kekalahan, Allah memberi taufiq kepada Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah untuk membacakan ayat ini dan mentafsirkannya. Beliau berkata kepada mereka: “Allah S.W.T. telah menyatakan bahawa sesungguhnya Dia telah menurunkan al-Kitab dan al-Mizan236. Dia juga menurunkan besi untuk menegakkan keadilan supaya Allah mengetahui siapa yang menolongNya dan siapa yang menolong rasulNya. Oleh itu agama ini didirikan dengan al-Kitab sebagai pembawa hidayah dan pedang yang akan membantu. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai pemberi hidayah dan penolong.” 237

Beliau menegaskan bahawa: “Apabila telah  jelas ilmu dari al­-Quran dan al-Sunnah, kemudian disusuli dengan pedang, maka akan tertegaklah Islam.” 238

Mendaki Anak Tangga bersama orang yang berjalan.. Bukan melompat..

Tetapi Al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna telah mengarahkan perlunya menghindari sikap membuta tuli. Beliau memberi amaran kepada yang terlampau bersemangat dan mengajarkan mereka:

“Di antara ciri dakwah ini juga ialah:
Bertahap-tahap dalam mengatur langkah,
menunggu masa, tidak tergesa-­gesa mahu melihat hasil..
kerana tiap-tiap sesuatu ada masanya yang telah ditentukan.” 239

Beliau juga selalu mengulangi kepada mereka: “Para da’I yang memahami fiqh dakwah: slogan mereka ialah; Masa itu adalah satu juzuk dari rawatan.” 240

Dengan ini, Imam al-Banna telah meletakkan penawar keempat yang akan melindungi dakwah dari tindakan membuta tuli, mendadak tanpa matlamat yang jelas dan akan dapat memelihara dakwah dari kemusnahan. Beliau menamakan penawar ini sebagai ‘menunggu’.

Begitulah, antara yang wajib dalam kesempurnaan tarbiyyah Islamiyyah harakiyyah bagi marhalah permulaan dan ta’sis ialah perlunya ‘menanam persediaan jiwa untuk menunggu’ sehinggalah dengannya sempurna proses pembinaan ikhtisas yang akan menangani pengembangan sayap di medan. Persedian jiwa positif sanggup menunggu ini juga memerlukan pengurangan memasuki kegiatan politik buat sementara waktu.

Pada hakikatnya, selagi kita menumpukan usaha kita di dalam tarbiyyah secara berterusan, kita dapati diri kita lebih tetap, teguh dan mantap menghadapi kehebatan arus fikrah jahiliyyah yang diimport. Kita dapat menerima berita kemenangan golongan jahiliyyah dengan beraninya kerana tahu bahawa kemenangan mereka itu hanyalah untuk sementara sahaja dan tidak mungkin mampu untuk bertahan lama. Usaha tarbiyyah kita menghancurkan kemenangan itu jika ia betul-betul menepati erti tarbiyyah Islam yang sejati dan bukannya semangat yang membuta tuli, mendadak dan tanpa perancangan.

Bahkan lebih jauh lagi, ada hikmat Allah di sebalik kemenangan kesesatan pihak jahiliyyah pada hari ini. Ia untuk membuktikan lemahnya mereka untuk membina suasana bahagia yang mereka janjikan kepada manusia. Kelemahan mereka ini menjadi bukti gagalnya usaha pembentukan mereka. Ia adalah pekong besar yang dihadapi oleh sistem-sistem karut dan diktator-diktator yang berusaha bermati-matian memesongkan manusia dari Islam. Kegagalan mereka ini akan dapat mempercepatkan perjalanan pada da’I Islam.

Itulah jalan tarbiyyah. Jalan yang sukar, jauh, dan lambat. Mungkin jahiliyyah akan mendahului kita seketika dalam perjalanan ini… sebahagian dari kita mungkin gugur … dan sebahagian dari habuan terlepas dari kita. Namun, itulah jalan yang aman, teguh dan terjamin.

Mungkin sebahagian manusia berpendapat bahawa jalan lambat ini tidak akan membiasakan da’I untuk berkorban. Ada juga akan menyangka bahawa kita telah melupai prinsip pengorbanan dari pertimbangan kita.

Sebenarnya bukan begitu. Pengorbanan itu dituntut dan perlu, tetapi mesti kena pada waktunya. Ia tidak boleh dibuat-buat. Sebaik-baik da’I ialah da’i yang menanam benih tadhiyyah ‘pengorbanan’ di dalam jiwa saudaranya mulai dari sekarang.

Inilah satu-satunya jalan yang aseel ‘original’ tiada yang lain lagi iaitu jalan tarbiyyah yang beransur-ansur dan disimpulkan oleh Imam Hassan al-Hudhaibi Rahimahullah dalam kata-katanya: “Dirikanlah daulah Islam dijiwamu, nescaya ia akan tertegak di bumi kamu.”

Langkah-langkahnya ialah: anda sebarkan kesedaran Islam, mentajmi’, mentarbiyyah, berkembang secara seimbang, menyebar dengan berhati-hati,  menunggu sehingga cukup ikhtisas yang diperlukan, memerhatikan dan menunggu kelemahan mereka yang berkuasa secara palsu itu dan tadahkan tangan kamu kepada Allah agar mengasihani sekelian muslimin di seluruh dunia sehingga terlucut selempangmu dari bahumu. Ketika itu kamu terangkat ke darjat yang tinggi…

Perlunya Wa’yu Haraki Dalam usaha mempercepat…

Realiti harakah Islam menunjukkan boleh dipendekkan tempoh masa jalan ini dengan lebih cepat dan segera untuk mara membuka dakwah secara terang-terangan ‘infitah’. Ianya boleh berlaku dengan cara bersungguh-sungguh mengembangkan fiqh haraki, menyebarkan dan menyampaikannya kepada mereka yang ikhlas tetapi masih kekurangan fiqh ini.

Sebenarnya terdapat ramai da’i Islam di setiap tempat yang menyerahkan dirinya kepada dakwah dan da’i Is­lam. Tetapi fiqh haraki inilah yang kurang pada mereka. Sekiranya kita mengajar mereka untuk memenatkan dan mengorbankan diri, sabar berjaga malam dan bengkok belakang untuk mempelajari fiqh ini, nescaya ramai di kalangan mereka yang mempunyai kesediaan akan sedar dan dapat menutup ruang yang kosong dan menggantikan orang-orang yang lemah.

Sesungguhnya antara kelemahan yang paling nyata dari harakah Islam lalu ialah kurangnya aktiviti mentadwin perkara-perkara basic tentang kesedaran haraki dan fiqh dakwah. Mereka terlampau meleret-leret membentangkan sistem-sistem dan cabang-cabang Islam. Hingga apa yang kita dapat lihat pada hari ini begitu ramainya mereka yang menyertai dakwah tetapi kurang menghasilkan produk dan tidak banyak mengubah realiti, seperti yang kita sangkakan. Ini semua kerana mereka kehilangan seni amal dan usul amal jama’ie dari mereka.

Kerja memperbaiki balik sepatutnya bermula dari hakikat ini. Kerja mengumpulkan balik bahan-bahan yang berselerak yang telah ditulis. Juga usaha mencari karya-karya berkenaan fiqh dakwah yang dimiliki juga oleh gerakan Islam dari seluruh dunia Islam. Usaha ini kemudiannya hendaklah menyelaraskan kajian tentangnya dan membiasakan da’i Islam untuk menelaahnya secara serius, bukan sekadar membacanya sepintas lalu sahaja.


Nota Kaki
  1. Ibnu Taimiyah, Majmuk Fatawa, Jilid 11, m.s. 436
  2. Sahih al-Bukhari, Jilid 4, m.s. 171
  3. Diwan al-Mathani, m.s. 43
  4. Majalah al-Mabahith al-Misriyyah, Bil. 31 tahun 1951
  5. Wahyu al-Qalam, 1/21
  6. Ma’alim fi al-Tariq, m.s. 181
  7. Ibn al-Qayyim, Al-Ruh, m.s. 252
  8. Neraca aatau timbangan. (Pnt)
  9. Ibn Taimiyah, Majmuk Fatawa, Jilid 10, m.s. 13
  10. Ibid, Jilid 20, m.s. 393
  11. Majalah al-Dakwah al-Misriyyah, Bil. 67
  12. Ibid

Comments are closed.