6. Pelukan Cendekiawan

BAB 6 : Pelukan Cendekiawan

Orang beriman sentiasa berharap moga-moga Allah mengampuni segala dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga. Ianya adalah kejayaan besar yang hanya dicapai setelah dia dapat melintasi pintu syurga beberapa langkah. Tetapi, rasa tamak terhadap apa yang ada di sisi Al­Iah itu adalah satu keinginan yang manis dan lazat. Oleh itu kita hidup dari masa ke semasa dalam keadaan manis dan indah…..

Kita tidak merasa cukup hanya setakat melintasi pintu syurga sahaja, atau hanya tinggal di tingkat syurga yang rendah darjatnya. Bahkan kita bercita-cita untuk masuk ke syurga ‘illiyyin (yang tertinggi) dan syurga Firdaus yang yang tertinggi.

Di sini lojiklah kata-kata:

“Sesiapa yang inginkan darjat yang tertinggi di syurga, dia hendaklah berada di martabat yang tertinggi di dalam kehidupan dunia.

Satu dengan satu

Setiap barang ada harganya

Tidak ada martabat tertinggi di dunia ini kecuali martabat dakwah ke jalan Allah. Demikianlah kata-kata Syeikh Abdul Qadir al-­Kailani Rahimahullah di dalam bukunya  “Futuh ul-Ghaib”.

Beliau adalah seorang da’i dan reformis. Oleh itulah, kita dapati setiap bukunya tertumpu kepada mesej dakwah dan kewajipan dakwah. Menurut pandangan beliau, ‘orang yang berjaya’ ialah orang yang dipilih oleh Allah:

“…dan Allah jadikannya seorang cendekiawan (jahbaz), da’i kepada Allah, memberi peringatan dan ancaman kepada mereka, menjadi hujah (dia telah menyampaikan Islam), pembawa hidayah dan menyampaikannya.” Kemudian beliau berkata: “Itulah matlamat tertinggi di kalangan bani Adam. Tiada darjat lain mengatasai mereka kecuali darjat kenabian.”104

Mukmin Bisu akan Ketinggalan

Syeikh Abdul Qadir Kailani menganggap golongan bukan da’i sebagai “..orang mukmin yang ada hati tetapi tiada lidah, mukmin yang terlindung dari makhluk lain dan tertutup di sebalik tirai. Kekurangan mereka menutup mata dan hati mereka dari menerima hidayah.

Oleh kerana mukmin tersebut tidak mempunyai lidah, maka martabatnya jatuh dan dia ketinggalan. Dia kehilangan pangkat hebat dan agung. Mukmin dari golongan yang pertama (yang berdakwah) dikatakan sebagai ‘jahbaz’ iaitu cendekiawan, ‘da’i’ dan ‘hujjah’. Pangkat-pangkat ini ibarat pancaran yang terang-benderang. Mukmin yang kedua pula (yang tidak berdakwah) dikatakan mukmin yang ‘mastur’ atau tak famous. Perbezaan bunyi dan sebutan di antara dua panggilan tersebut amatlah jauh sekali umpama langit dan bumi.

Jurang keduanya amat jauh dan luas. Antara martabat dakwah dengan martabat iman yang tertutup dan menjauhkan diri dari orang ramai.

Jurang luas itu tidak lain melainkan disebabkan oleh faktor lidah yang menyatakan kebenaran. Tiada sebab lain. Sesiapa yang mempunyai lidah berani ini maka dia akan terkedepan dalam kumpulan yang berjalan menuju Allah. Memang semua berjalan menuju keredhaan Allah. Cuma soalnya, samakah antara yang berada di hadapan dengan yang ketinggalan di belakang?

Insya Allah, semua akan memasuki syurga. Tetapi samakah orang yang berada dalam rombongan pertama memasukinya dengan golongan yang dapat memasukinya hanya setelah bertahun-tahun menunggu di padang mahsyar?

Kerana itulah Syeikh Abdul Qadir Kailani Rahimahullah meletakkan kefahaman seorang da’i terhadap kemestian untuk mengubah perkara yang batil dan mememangkan hak merupakan satu kurniaan Allah kepada sesiapa yang Dia tahu ada kebaikan di dalam hatinya. Mesej ini diungkap dengan kata-kata yang simple, tetapi berharga. Iaitu:

“Apabila betulnya hati seorang hamba itu kepada Al­lah S.W.T. dan berjaya menghampirkan diri kepadaNya, Dia akan mengurniakan kepada hamba tersebut kerajaan dan kekuasaan di seluruh alam. Dia menyerahkan kepadanya kerja mengembangkan dakwah kepada makhlukNya, dikurniakan kepadanya kesabaran terhadap gangguan manusia, serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran.”105

Demikianlah indahnya bahasa bila lahir dari pelita kenabian, sama ada dari aspek nasab atau ilmu. Syeikh Abdul Qadir berada di kemuncak kemuliaan kerana nasabnya dari keturunan Ali r.a. Tambahan pula, beliau menguasai ilmu hadis dan memahami kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah:

Sesungguhnya kerja mengembangkan dakwah itu adalah taufiq dari Allah. DimudahkanNya bagi siapa yang ada kebaikan dalam hatinya. Tugas ini satu penghormatan dan bukannya bebanan.”

Renunglah dengan teliti terhadap kata-kata al-Kailani diatas: “… serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran…”

Kebatilan wajib diubah oleh da’i. Ubah ertinya hendaklah diperangi, dihapuskan dan dikuburkan.
Jika sekiranya kamu berharap kebatilan itu sendiri meninggalkan tempatnya, menyerahkannya tempatnya kita…
Atau jika kamu harap akan dapat berbincang dengannya mengunakan bahasa diplomasi…
Ianya tak mungkin berlaku sekali-kali. Cara ini tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Dalam undang-undang Dakwah, yang ada hanya perkataan ‘mengubah-taghyir’ sahaja.

Kita Hubungkan Generasi Lalu Dengan Generasi Seterusnya

Oleh itulah,  Islam hari ini sangat-sangat perlu kepada satu kumpulan da’i yang memiliki kefahaman ‘taghyiriyyah-mengubah’ ini, memahami betul-betul kewajiban membawa petunjuk kepada manusia dan tahu betul-betul dimana mereka dalam angkatan dakwah yang sedang berjalan ini. Mereka yang mengerti bahawa mereka adalah satu mata rantai yang menghubungkan angkatan dahulu dengan angkatan yang akan datang nanti. Mereka sama-sama mengumandangkan nasyid:

Kita ini adalah angkatan musafir di dalam hidup ini
Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita
Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi depan.106

Betul….mereka telah berusaha penat untuk menyampaikan akidah tauhid kepada kita, mentarbiyyah kita, mendidik kita dan menarik kita keluar dari bahaya kebinasaan. Oleh itu, sepatutnya kita setia dalam melaksanakan tugas dakwah yang telah diserahkan kepada kita seperti mana yang mereka lakukan.

Mereka telah menanam pohonnya, kita yang menikmati hasilnya. Seterusnya, kita pula perlu menanam supaya generasi yang datang dapat memakan buahnya.

Penanaman itu memerlukan kita bergaul dengan orang ramai, berbicara dengan mereka dan memperkatakan kebenaran secara terus terang.

Tetapi, bagi sesiapa yang memilih untuk mengasingkan diri dan enggan menghadapi pemikiran sesat dan kerosakan akhlak yang berlaku, maka orang itu samalah seperti yang dikatakan oleh Mustafa al-Rafi’ie:

“Dia menyangka bahawa telah lari dari kehinaan dan menuju kemuliaan, sedangkan pelariaannya dari memerangi kehinaan itulah kehinaan bagi dirinya. Apa ertinya suci, amanah, al-sidq, setia, kebaikan, ehsan dan lain-lain kehebatan pada seorang yang berada bersendirian di padang pasir atau di puncak gunung? Bolehkah dianggap al’-sidq itu satu kehebatan pada seorang manusia jika di kelilingnya hanyalah ketulan-ketulan batu? Demi Allah, siapa yang langsung tidak memerangi keburukan, maka dia sebenarnya langsung tidak mempunyai kelebihan.” 107

Apakah bezanya antara seorang yang mengasingkan diri di puncak gunung dengan orang yang berada di tengah-tengah orang ramai tapi membisu seribu bahasa?

Masalah umat Islam­ hari ini sebenarnya bukanlah terletak pada kurangnya bilangan mereka. Begitu juga masalah dakwah pada hari ini bukan disebabkan  kurangnya orang yang berpegang teguh dengan Islam di tengah-tengah kegawatan umat yang meninggalkan solat, mengamalkan bid’ah dan mendukung pemikiran kufur dan jahiliyyah. Di semua negara umat Islam sentiasa ada ramai angkatan muda Islam yang baik.

Masalah sebenarnya ialah mereka ini tidak kedepankan Islam mereka, tidak berdakwah atau mereka jika berdakwah pun, tanpa adanya tansiq di kalangan mereka.

Seorang mujahid dakwah dan ahli fiqh Islam, Al-Syahid Abdul Qadir Audah telah menyimpulkan hal ini:

“Di dunia Islam pada hari ini ada generasi terpelajar yang mempunyai ilmu Islam yang tinggi. Mereka bersungguh-sungguh ingin mengembalikan semula kedudukan Islam yang telah hilang. Mereka tidak takut kepada cercaan orang ramai. Cuma, kekurangan mereka ialah mereka terlalu terpengaruh dengan pendekatan generasi terdahulu yang menumpukan usaha pada soal ibadah dan nasihat-nasihat umum sahaja. Sekiranya mereka tumpukan sebahagian besar usaha mereka untuk mengingatkan orang Islam terhadap perlunya menghidupkan semula syariat mereka yang telah dipinggirkan dan menghapuskan undang-undang mereka yang bertentangan dengan Islam, maka itu adalah lebih baik bagi mereka dan bagi umat ini..” 108

Imam Ahmad sendiri melakukan Amal Tajmi’

Kerja da’i ialah dia mesti mengintai-ngintai manusia terbaik yang ada di dalam masyarakat, kemudian bergaul dan berkenalan dengan mereka, menziarahi  dan mengajar mereka jalan amal jama’i dan kerja tansiq.

Tindakan begini sebenarnya mengulangi balik apa dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, seorang da’i yang dihormati.

Diceritakan: “Apabila sampai berita kepada Imam Ahmad adanya seseorang lelaki yang soleh atau zuhud atau yang menegakkan kebenaran dan mengikuti perintah Allah, beliau akan terus bertanya tentang orang tersebut. Beliau amat gembira jika dapat berkenalan dan  mengetahui hal ehwalnya.”109

Lihatlah, Imam Ahmad tidak bersembunyi dan lari dari orang ramai.

Da’i hari ini sepatutnya sentiasa mencari orang ramai, bertanya khabar, jumpa dan bermusafir untuk menemui mereka serta menziarahi mereka di dalam tempat berkumpul mereka. Orang yang hanya duduk di masjid atau di rumah  menunggu orang ramai datang, dia hanya akan tertinggal keseorangan selamanya dan dia hanya akan memahirkan seni menguap dan mengantuk.

Sebagai contoh, lihatlah kesungguhan Imam Ahmad yang disebut sewaktu sebahagian ulama’ memperkenalkan Musa bin Hizam (guru kepada Imam al-Bukhari dan al-Tarmizi).

“Beliau (Musa bin Hizam) adalah seorang soleh dan thiqah. Walaupun begitu sebenarnya pada peringkat awal, Musa menganut fahaman Murji’ah. Kemudian Allah menolongnya melalui Ahmad bin Hanbal. Beliau berubah dan menjadi pengikut sunnah, membela sunnah dan menentang siapa yang menyalahi sunnah, terus berpegang pada agama dan sunnah hinggalah beliau wafat” 110

Dalam kata-kata itu terkandung makna dakwah yang sangat besar. Perubahan tidak akan berlaku hanya dengan angan-angan semata-mata.

Bayangkanlah bagaimana tekunnya Imam Ahmad mendampingi beliau, duduk lama bersama, berbincang dengan lemah lembut, tenang, penuh hikmat dan nasihat yang baik sehingga berjaya meng’saiko’ beliau dan akhirnya dia meninggalkan bid’ah golongan Murji’ah. Bid’ah itu telah membuatkannya beranggapan bahawa amalan bukanlah merupakan syarat kepada iman tetapi iman hanyalah percaya di dalam hati sahaja. Imam Ahmad kemudiannya duduk lagi bersamanya, mengajarnya pula tentang hadis. Kemudian duduk lagi bersamanya bagi membangkitkan semangat. Begitulah secara terus­-menerus sehingga akhirnya beliau menjadi pembela sunnah yang setia, menentang ahli bid’ah dan pengikut hawa nafsu hinggalah beliau meninggal dunia.

Begitulah jalan dakwah dan khidmat untuk Islam. Begitulah sikap para da’I salafussoleh terdahulu.

Mesti berhubung dengan manusia.
Mesti duduk bersama mereka untuk mengajar.

Anda mesti tinggalkan isteri, anak-anak, majlis-­majlis keduniaan dan kesibukan bisnes anda beberapa jam setiap hari. Berikan waktu itu untuk dakwah. Gunakan waktu itu untuk membantu or­ang sesat yang telah menjadi mangsa taghut hari ini. Bantu ia ke jalan yang lurus. Atau gunakan waktu itu untuk membantu seseorang yang frust, kecewa dan sedih melihat realiti kehidupan muslim tetapi dia sendiri dibelenggu dengan dunia. Moga anda dapat menggerakkan dan menggegarkan jiwanya sambil merangkulnya dengan bersungguh-sungguh.

Itulah rangkulan keazaman yang pernah dilakukan oleh Jibril a.s. semasa memeluk Nabi kita Muhammad S.A.W sebanyak tiga kali di gua Hira’ di awal kenabian baginda saw. Jibril a.s. memeluk baginda ke dadanya sungguh-sungguh. Kemudian barulah memerintahkan:

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan”

Begitu juga Rasulullah S.A.W. memeluk sepupunya Abdullah bin Abbas dan berdoa: “Ya Allah, ajarkan Al-Quran kepadanya.”

Da’i pernah memelukmu, maka kamu juga wajib memeluk orang lain yang meletakkan batas pemisah di antara zaman dan masa relaks dan selesa dengan zaman memikul amanah secara tekad, penuh keazaman dan kesetiaan.

Allah S.WT. menolong ribu-ribu orang seperti Musa bin Hazam melalui usaha-usaha Imam Ahmad itu. Mereka semua telah berjaya pula menolak kacau bilau golongan Jahmiyah dan Muktazilah dan mazhab al­-sunnah dapat dipertahankan.

Maka kamu pula… berapa ramaikah pula yang akan berhasil dari usahamu orang yang akan menangkis serangan timur dan barat?

Bagi para salafussoleh r.a, tiadalah saat yang paling gembira bagi mereka selain dari dapat melakukan kerja-kerja dakwah dan membimbing manusia hasil asuhan tangan mereka.

Abdul Qadir al-Kailani telah berkata:

“Maha Suci Allah yang telah menggerakkan hatiku untuk memberi nasihat kepada manusia dan telah menjadikan kerja itu sebesar-besar cita-citaku.”

Dia berkata lagi: “Apabila aku melihat wajah seorang murid sodiq yang  lahir di bawah bimbinganku, aku merasai kenyang, puas, bangga dan gembira. Bagaimana ia boleh lahir dari bimbinganku?” 111

Inilah kepuasan dan kegembiraan mereka. Kegembiraan mereka bukanlah hanya kerana dapat mengarang kitab-kitab yang hanya mengulang-ngulang perkara yang sama.

Seorang alim yang sebenarnya ialah seorang da’i. Bagi yang hanya ,menulis kitab semata-mata, kita katakan kepada mereka: “Demi Allah, kamu bukanlah ulama’ atau orang yang bijaksana, tetapi kamu hanyalah pedagang ilmu.” 112

Islam hari ini tidak memerlukan penambahan lagi terhadap kajian­-kajian di dalam cabang-cabang fiqh berbanding keperluannya kepada da’i yang bergabung tenaga, tolong­-menolong dan berganding bahu sesama mereka.

Fiqh Dakwah Seorang Menteri Yang Juga Seorang Da’i

Dengarkanlah kefahaman indah seorang faqih, ahli hadis, abid dan menteri kerajaan Abbasiyyah yang soleh, iaitu Ibnu Hubairah Al-Dauri Rahimahuliah. tatkala dia membaca firman Allah S.W.T. :

وَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ يَسْعَى

“Seorang lelaki dari hujung negeri datang dengan berlari-lari (bersegera) (Al-Qasas 28: 20)

dan firman Allah S.WT. :

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَاقَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ

“Seorang lelaki dari hujung negeri datang dengan berlari-lari (bersegera) katanya: “Hai kaumku, ikutlah rasul-rasul itu.” (Yasin 36:20)

Kata Ibnu Hubairah: “Aku perhatikan sebutan ‘dari hujung negeri’. Kedua-dua lelaki di dalam ayat tersebut datang dari jauh kerana ingin melaksanakan ‘amar makruf. Keduanya tidak menggunakan alasan jauhnya jarak  untuk duduk diam di rumah.”113

Deduksi yang baik itu–walaupun kelihatan simple- mendorong para da’i untuk berfikir. Terfikirkah da’i pada hari ini untuk merasa susah memikul tugas dakwah yang memerlukan pergerakan seharian yang jauh? Pernahkah dia terfikir bahawa kesusahan ini telah dilalui oleh salafussoleh dari kalangan da’i golongan awal-awal Islam? Sifat-sifat mereka diabadikan di dalam al-Quran yang memaparkan siri pengembaraan dan perjalanan mereka ke tempat-tempat yang jauh hanya semata-mata untuk mengembangkan dakwah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Firman Allah S.W.T.:

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَاقَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ

“Kemudian, datanglah seorang laki-laki berlari-laki dari ujung negeri, Katanya: Hai kaumku, ikutlah utusan­-utusan itu.”

Lelaki yang mendengar dakwah itu terus menerimanya setelah melihat segala bukti kebenaran dan logik apa yang disebut dalam ucapannya kepada kaumnya. Apabila hakikat iman itu telah bertapak di hati, bergeraklah hakikat itu di dalam hatinya dan dia tidak boleh mendiamkan diri lagi. Dia tidak boleh diam membisu di rumahnya dengan akidahnya sedangkan dia tahu kesesatan, kekufuran dan maksiat berleluasa di kekelilingnya. Bahkan dia bersegera mendokong kebenaran yang tertanam dan bergerak-gerak di jiwanya, bergegas dari tempat yang jauh berjumpa kaumnya yang mendustai,  menolak, menyangkal serta mengancam  Rasul-rasul. Dia datang dari tempat yang jauh, dari hujung kota untuk melaksanakan tugas dakwah dan menyeru kaumnya kepada kebenaran. Dia menghalang niat jahat kaumnya yang hampir-hampir mencerobohi Rasul-rasul  Allah a.s.

Yang jelas lelaki itu bukan orang berpangkat ataupun berkuasa. Dia juga tidak  mempunyai mempunyai keluarga ternama untuk mempertahankannya. Tetapi akidah yang hidup di jiwanya itu mendesak dan mendorongnya untuk datang dari kawasan yang paling jauh menemui kaumnya.114


Nota Kaki
  1. Syeikh Abdul Qadir, Futuh al-Ghaib, m.s. 49
  2. Syeikh Abdul Qadir, al-Fath al-Rabbani, m.s. 144
  3. Abdul Wahab Azam, Diwan al-Mathani, m.s. 149
  4. Wahyu al-Qalam, Jilid 2, m.s. 97
  5. Islam Baina Jahli Abnaihi wa Ajzi Ulamaihi, m.s. 65
  6. Ibnu al-Jauzi, Manaqib al-Imam Ahmad, m.s. 218
  7. Ibnu al-Jauzi, Tahzib alTahzib, Jilid 10, m.s. 341
  8. Al-Fathu Al-Rabbani, m.s. 27
  9. Abdul Wahab Azam, Diwan al-Mathani, m.s. 97
  10. Ibnu Rejab, Zail Tabaqat al-Hanabilah, Jilid 1, m.s. 269
  11. Fi Zilal al-Quran, Juzu’ 23, m.s. 16

Comments are closed.