13. Perjanjian

BAB 13: Perjanjian

Semua baris-baris tulisan akan musnah lenyap… kecuali al-Quran ini, kerana ia kekal selama-lamanya.

Semua idea pemikiran manusia sentiasa berubah-ubah, bertukar ganti dan tergugat kecuali buah fikiran yang dipetik dari al-Quran. Kerana ia dipetik dari suatu yang bersifat kekal, maka hasilnya juga akan mantap, tetap dan mampu bertahan.

Oleh itulah kita dapati berlaku wehdatul fahmi, kesatuan diagnosis dan kesatuan cara penyelesaian di kalangan mereka yang bercakap tentang Islam dan mengkritik masyarakat. Kesepaduan ini kita dapati bermula dari orang yang dapat melihat Rasulullah S.AW. dan berterusan hingga kepada orang yang beriman dengan baginda saw pada kurun ini,  walaupun mereka tidak sempat melihat baginda. Hinggakan kamu akan dapati dengan jelas kesatuan gaya bahasa dan keseragaman istilah di dalam kata-kata mereka.

Kelestarian dan tetap itu meskipun dipandang oleh orang yang tidak faham sebagai beku dan statik, tetapi pada hakikatnya inilah kreativiti yang sebenarnya.

Ketika ahli falsafah membuat teori atau penyelesain kepada sesuatu masalah sosiologi, dia dan murid-muridnya dengan penuh semangat merasai bahawa itulah penyelesaian terbaik. Penjelasan mereka yang memukai menjadikan teori itu seolah-olah tiada cacatnya. Tetapi semakin lama ia dilaksanakan, semakin terbukalah pekung kelemahan teorinya itu. Lalu datang lagi ahli falsafah yang lain dengan dianosis dan teori penyelesaian yang lain pula. Semua mereka menyangka apa yang berlaku itu kononnya bukti kreativiti dan tanda aktivisme mereka.

Berbeza dengan penyelesaian Islam. Memandangkan ia lahir dari hakikat fitrah kemanusiaan dan diturunkan dari Allah yang menciptakan fitrah, maka semakin lama ia dilaksanakan dan semakin berubahnya masyarakat, ia menjadi semakin teguh dan mantap. Pada setiap generasi akan lahir tanda keunggulan penyelesaian Islam membuktikan kebenaran. Inilah unsur kreatif sebenarnya. Teguhnya Islam dan bertukar-tukarnya teori manusia itu merupakan kreativiti dan mukjizat Is­lam.

Oleh itu, bila kita bentangkan pelbagai ucapan yang diungkapkan oleh fuqaha umat ini dulu dan sekarang, walaupun kelihatan sama dari segi ayat dan maknanya tetapi ia dalam masa yang menunjukkan wujudnya kesatuan manhaj, kefahaman dan perlaksanaan. Perbicaraan fiqh dakwah sepatutnya perlu beriya-iya untuk menonjolkan kesatuan ‘wehdah’ itu, kerana ini mengandungi petunjuk keaslian ulama terkemudian dan tanda ketulenan mazhab mereka.

Terus terang Islam dan Bukannya provokasi Suasana

Sebagai contohnya, perhatikanlah kata-kata salafussoleh yang terawal. Mereka telah berkata: “Huzaifah r.a. telah ditanya mengenai definisi mayat hidup. Beliau menjawab: “Mayat hidup ialah orang yang tidak menentang kemungkaran sama ada dengan tangan, lidah atau hatinya.” 198

Perhatikanlah juga beberapa ungkapan yang dibuat oleh Syed Qutb tentang sifat orang yang tidak menentang kemungkaran…

Setelah anda membuat penelitian, tergamakkah anda mengiyakan orang yang menuduh Huzaifah bin al-Yamani sebagai celupar dan kata-katanya ini lahir kerana tekanan situasi susah dan gawat yang sedang dialaminya?

Beliau menyifatkan orang yang lalai hatinya dan membisu sebagai orang yang mati.

Jika hatinya telah sedar tetapi dia masih membisu dan mendiamkan diri, maka dia disifatkan oleh Huzaifah sebagai orang yang sakit tenat dan lumpuh hampir mati.

Ada orang berpendapat bahawa perumpamaan Syed Qutb dan da’i Islam sezamannya sebagai perumpamaan yang keras, tetapi sebenarnya perumpamaan tersebut tidak melebihi perumpamaan yang dinyatakan oleh Huzaifah r.a.

Sesungguhnya ia bukanlah semangat melampau para da’i. Ia sebenarnya adalah kejelasan pemahamannya terhadap dakwah Islam yang memaksanya. Justeru itulah kita dapati pendukung sebenar dakwah segera membentuk diri yang berbeza dari bentuk jahiliyyah yang pernah dilaluinya sebelum itu. Ia merubah kefahamannya dan keluar dari pertapaan untuk memimpin manusia. Sama seperti tindakan Wahab bin Munabbih al-­Yamani, seorang tabie’ yang masyhur. Beliau dikenali di Yaman sebagai seorang ahli pertapaan Nasrani, sibuk dengan sajak para rahib serta pakar dalam ilmu-ilmu  ahli kitab yang telah terseleweng. Tatkala beliau memeluk Islam dan disoal berkenaan sifat seorang muslim, beliau r.a menjawab: “Seorang muslim itu ialah seorang yang mengikut orang terdahulu darinya dan menjadi imam bagi yang datang kemudian daripadanya.” 199

Beliau menyifatkan seorang muslim itu sebagai pemimpin dan mara ke depan, walhal sebelumnya dia sendiri mengasingkan diri. Fahaman baru ini bukanlah suatu yang direka-reka, tetapi setelah Islam, dia mendapati inilah tugas utama seorang muslim yang faham. Beliau kemudiannya mendapati al-Quran menyifatkan Nabi Ibrahim a.s. sebagai umat (Al-Nahl 16:120).  Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa Wahab menyifatkan umat di sini sebagai diikuti dan menjadi pemimpin. Kata Wahab: “Umat di sini bermakna seorang yang menjadi contoh yang diikuti.” Ibnu Mas’ud berkata: “Ummah” ialah guru yang mengajarkan kebaikan. Ia adalah ‘fu’lah’ dari perkataan ‘al-I’timam’ sama seperti ‘qudwah’ yang bermaksud diteladani dan diikuti.” 200

Bai’ah Lama yang Baru

Semua generasi mukmin terdahulu yang berada dikeliling para nabi-nabi  memahami bahawa iman bukan hanya sekadar pengakuan di dalam hati semata-mata. Mereka faham bahawa iman adalah memberi pertolongan tenaga dan harta, membantu dengan menggabungkan diri ke dalam jamaah mukminin bagi menghadapi golongan kafir.

Nabi Ibrahim a.s., Musa a.s., Isa a.s. dan seluruh para nabi a.s. telah mengambil bai’ah dari orang yang beriman dengan mereka supaya beriman dan membantu Muhammad S.A.W. menghadapi kufur jika sekiranya Nabi saw  Muhammad saw diutuskan dan mereka masih hidup.

Hal ini diceritakan Allah di dalam firmanNya:

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنْ الشَّاهِدِينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan menerima ikatan janjiku ini?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman: “saksikanlah, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.” (Aali Imran 3: 81)

Ibnu Abbas r.a berkata: “Setiap kali Allah mengutuskan seorang nabi, Dia mesti mengambil janji bahawa sekiranya Allah mengutus Muhammad S.A.W. dan nabi itu masih hidup (di zaman Muhammad diutus), nabi itu mesti beriman kepada nabi Muhammad S.A. W. dan menolong baginda. Allah juga menyuruh nabi itu meminta umatnya berjanji sekiranya Muhammad S.A. W. diutus di zaman mereka hidup, mereka juga mesti beriman kepada Muhammad S.A. W. dan mesti menolong baginda saw.”201

Oleh itu, kita sebagai pewaris Muhammad S.A.W. pada hari ini adalah lebih wajib, lebih patut  dan lebih utama memberikan bai’ah tersebut.

Bersandarkan perjanjian yang dulu itu Imam Ibnu Taimiyyah berkata: “Orang-orang yang benar di dalam pengakuan iman mereka ialah orang yang beriman dan tidak ragu-ragu dalam iman mereka, mereka berjihad di jalanNya dengan harta dan nyawa. Semuanya itu adalah janji yang telah diambil dari mereka yang telah lalu dan mereka yang akan datang.”202

Tidak boleh lari dari memberi Sokongan Kepada para Da’i

Sesiapa yang tidak mampu atau tidak diizinkan oleh keadaan, situasi dan kebatasan ilmunya untuk menyertai barisan mujahid, bukanlah bermakna dia dibenarkan dan boleh duduk diam. Dia mestilah memberi bantuan kepada mereka yang berdakwah dan berjihad. Dia mestilah menjadi orang Islam yang menyokong dan mengukuh.

Lantaran itu al-faqih Imam al-Syatibi telah berkata semasa menjelaskan kata-kata fuqaha’ berikut: “Apabila sesuatu fardhu kifayah itu dilakukan oleh sebahagian dari umat Islam, gugurlah tanggungjawab itu dari orang lain. Di sebutkan dengan terperinci antara yang termasuk dalam fardhu kifayah ialah amar makruf nahi mungkar, menuntut ilmu, memimpin, menjadi pemimpin dan pemerintah atau khalifah yang memimpin negara Islam dan melaksanakan pemerintahan umat Islam menurut syariat Islam. Beliau menjelaska­n bahawa sekalipun tugas ini gugur jika seseorang itu tidak mampu, tetapi dia wajib pula mencari siapakah yang mampu memikulnya. Dia wajib mendorong dan menolong orang tersebut untuk melaksanakan tugas ini. Bahkan dia wajib memaksa orang yang mampu untuk memikul tugas ini melaksanakannya.

Beliau menyebutkan urusan pemerintahan sebagai contoh bagi perkara-perkara lain seperti menuntut ilmu dan amar makruf nahi mungkar dan pelbagai lagi fardhu kifayah yang tidak dijelaskan oleh fuqaha’ Islam.

“Tetapi mungkin betul jika dikatakan bahawa -fardhu kifayah adalah wajib ke atas seluruh umat Islam- secara kiasan. Ini kerana melaksanakan fardhu kifayah itu adalah bermakna melaksanakan maslahah umum umat Islam. Jadi, seluruh umat Islam dituntut melaksanakannya. Ada dari mereka yang mampu melaksanakannya secara direct kerana dia memang layak. Orang lain yang tidak mampu dan tidak layak itu, mereka mampu menguatkan dan menyokong yang mampu dan menolong mereka untuk menjayakan tugas mereka. Oleh itu, siapa yang mampu dan layak menjadi pemerintah, dia dituntut untuk memikul tugas itu. Manakala sesiapa yang tidak layak, mereka patut menyuruh, memaksa dan membantu orang yang mampu untuk memikul tugas itu. Oleh itu, orang yang mampu dituntut memikul tugas itu dan orang yang tidak mampu pula menyokong siapa yang mampu. Kerana tidak akan tercapai penegakkan jika tak ada orang yang menegakkannya. Konsep ini menurut kaedah fiqh iaitu: “Sesuatu yang tidak sempurna perkara wajib kecuali dengan adanya ia, maka hukumnya adalah wajib.” 203

Kenyataan ini sungguh jelas. Tidak ada peluang langsung kepada mana-mana umat Islam untuk berdiam diri tanpa turut membantu dan menyokong dakwah, walau apa jua keadaan dan situasi keluarga, kesihatan, profesion dan tanggungjawab akademik mereka, walaupun uzur ini mungkin menghalang mereka dari duduk bersama betul-betul dalam saf.

Imam al-Syatibi memahami perkara ini berdasarkan kemantapan metode kajian dan pemahaman tepat beliau terhadap maqasid (kehendak) fuqaha terdahulu ketika menggubal kaedah-kaedah umum. Syeikh Abdul Qadir Audah yang juga mengikut method yang sama dan tidak diselewengkan oleh nafsu, maka hasilnya beliau juga adalah serupa. Beliau mewajibkan setiap umat Islam pada setiap zaman memberi pertolongan dan sokongan kepada Harakah Islam yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Beliau meletakkan tanggungjawab dan dosa penguasaan musuh-musuh Islam terhadap dunia Islam ini ke atas bahu umat seluruhnya. Beliau berkata:

“Majoriti umat Islam telah dibiasakan dengan dengan perkara-perkara maksiat, kufur dan fahaman atheis, hinggakan bila mereka melihat itu semua, ia di anggap tidak salah dengan Islam. Atau mungkin dirasakan Islam tidak ada kaitan dengan memerangi fasiq, kufur dan atheis itu. Mereka akhirnya langsung tidak menghiraukannya.

Padahal Islam telah mewajibkan umatnya untuk belajar Islam, memahaminya dan kemudiannya saling mengajar sesama mereka,

Firman Allah S.W.T.:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

“…hendaklah keluar sebahagian dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang  itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)..” (Al­-Taubah 9: 122)

Telah ada kumpulan Islam yang memberi peringatan dan memberi faham kepada umat Islam, tetapi kerajaan-kerajaan umat Islam pula menghalang kumpulan ini. Kerajaan ini cuba menghalang sesuatu yang Islam telah wajibkan hanya kerana mahu menyukakan pihak penjajah, patuh kepada thaghut dan menjadi pengikut musuh-musuh Islam. Majoriti umat Islam pula bersetuju dengan kerajaan  sebegini sedangkan sepatutnya ia tidak berlaku. Maka majoriti umat Islam –secara tidak langsung- telah sama-sama mencekik Islam dan memusnahkan kumpulan-kumpulan yang bekerja untuk Islam ini.” 204

Perkataan ini -disamping mendedahkan kepedihan hati Abdul Qadir Audah-  ia juga menunjukkan bahawa pimpinan dakwah sebenarnya tidak mengada-ngada cuba mendapatkan hak sokongan dari umat Is­lam. Mereka sebenarnya membuat tuntutan yang berasas, dengan keterangan dan sandaran yang kukuh,  sebagaimana penjelasan al-Syatibi yang berharga itu.

Puncak kesedaran dicapai oleh Imam Al-Banna

Dengan merenung kata-kata Imam al-Syatibi itu jugalah anda akan dapat faham rahsia kesungguhan Imam Hassan al-Banna untuk berpegang dengan jalan dan manhaj yang difahaminya, tatkala dia memberi kata dua kepada orang yang ragu-ragu dan goyah pendiriannya. Beliau berterus-terang:

“Sekiranya kamu tak mahu, masih ragu-ragu dan teragak-agak dengan pelbagai seruan-seruan yang bersimpang siur dan metode-metode yang gagal itu, pasukan Allah ini akan tetap juga berjalan tanpa hirau ramai atau sedikit. Tiada pertolongan dan kemenangan kecuali dari Allah.” 205

Beliau telah menerangkan ‘mufasolah’ (kau kau-aku aku)  uslub dan metode kerja kepada pekerja-pekerja Islam yang masih ragu-ragu. Ianya bukan pemisahan aqidah seperti mana terhadap orang-orang yang kufur dan bid’ah. Beliau  bercakap tentang metode yang gagal, yang dihiasi oleh rasa takut atau kerana ingin mudah dan simple. Bagi beliau, metode gagal ialah metode yang berlainan dengan metode beliau atau yang hanya mengambil part sahaja dari metode beliau dan bukannya keseluruhan. Sekiranya anda faham metode al-Banna, anda akan faham apa metode yang berbeza dengan metode beliau. Jika anda faham wasail dakwah beliau secara menyeluruh, anda akan merasai betapa kurangnya wasa’il orang lain.

Oleh itulah, beliau telah meringkaskan ciri keseriusan umum manhaj kerjanya dengan katanya: “Segala keladak peninggalan abad-abad yang lalu dan segala kesan peristiwa silam tidak mungkin dihapuskan dengan hanya angan-angan di hati atau hanya dengan kata-kata tertulis di akhbar atau ceramah-ceramah kepada orang ramai. Ia hanya tercapai dengan penat yang  berterusan, usaha gigih dan penuh kesabaran di samping amal tak henti-henti.” 206

Jadi ia bukanlah hanya kata-kata, ceramah atau lain-lain cara yang boleh dilakukan bersendirian. Tetapi, ianya mesti dengan cara yang ditetapkan oleh Islam iaitu mensasarkan pelaksanaan hukum-hukumnya. Inilah matlamat yang mesti ditumpukan oleh harakah Islam.

Lantaran itu beliau berkata: Tidak dapat tidak perlu “tertegak sebuah negara Islam yang merdeka di bumi ini, yang melaksanakan hukum-hukum dan sistem sosial Islam. Sebuah negara yang mengisytiharkan prinsip mantap Islam dan  menyebarkannya kepada semua manusia. Selagi negara ini tidak wujud, selagi itulah seluruh umat Islam berdosa. Mereka akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah kerana cuai dan tidak berusaha mewujudkannya. Adalah suatu pencabulan kepada hak-hak kemanusiaan terutama dalam keadaan yang tidak menentu ini tiba-tiba wujud negara-negara yang melaungkan dasar-dasar yang kejam dan menyebarkan fahaman yang sesat, tetapi tidak wujud sesiapapun yang berusaha menegakkan sebuah negara kebenaran, keadilan dan keharmonian” 207

Beliau mengulangi mesej ini dengan ayat yang lebih jelas berkata:

“Mungkin kita boleh faham jika para reformis Islam merasa selesa dengan hanya cukup menjadi penasihat dan pembimbing bilamana pemerintah patuh kepada perintah Allah dan melaksanakan segala hukum-Nya, menyampaikan segala ayat-ayat dan hadis-hadis Nabi s.a.w.. Namun hakikatnya yang kita lihat sekarang, undang-undang Islam lain dan undang-undang yang diguna pakai pula lain. Sikap para reformis Islam yang berpeluk tubuh tidak mahu menuntut supaya hukum Islam dilaksanakan itu merupakan suatu jenayah. Jenayah yang tidak akan dimaafkan kecuali dengan cara bangkit dan mengambil semula kuasa pelaksana dari genggaman pihak yang tidak yakin dengan undang-undang Islam.” 208

Usaha praktikal al-Banna dengan membentuk sebuah gerakan Islam yang luas dan tersusun itu adalah sebaik-baik penjelasan yang boleh difahami oleh mereka yang bekerja untuk Islam. Difahami bagaimanakah mazhab amal jama’I beliau ke arah merealisasikan penubuhan daulah ini.

Al-Maududi Menjelaskan Segala Marhalah

Al-Maududi juga turut sama melakarkan bentuk gerakan Islam yang diyakini layak dan sesuai untuk merealisasikan tugas istikhlaf (pemerintahan Islam) dan pembinaan daulah Islam di muka bumi ini.

Beliau memestikan jamaah Islam yang haraki supaya komited dengan tarbiyah “yang dibina di atas pandangan hidup dan fikrah Islam yang sejati. Tarbiyah tegak  di atas prinsip, nilai-­nilai akhlak dan proses yang sesuai dengan roh Islam serta sesuai dengan tabiatnya.” 209

Seterusnya, jamaah ini mestilah bersungguh­-sungguh mentarbiyyah setiap anggotanya di atas ini bagi melahirkan para da’i yang akan melaksanakan tugas mengembangkan fikrah Islam kepada manusia. “Da’i yang  mempunyai kadar  ilmu yang cukup dalam undang-undang, politik dan segala macam ilmu dan kemahiran. Mereka juga adalah orang yang telah mensebatikan fikrah Islam dengan darah dan daging mereka. Mereka mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi, luas sehingga mampu untuk menyusun sistem pemikiran, teori dan manhaj  hidup yang praktikal berdasarkan prinsip dan kaedah Islam.

Da’i ini dikurniakan Allah bakat dan kemampuan hingga mampu berdepan dan menarik pemimpin-pemimpin berfikrah kufur dengan Allah dan hari kiamat. Kehebatan pemikiran mereka itu mampu menawan pemikiran dan idea lawan dan akhirnya menarik mereka untuk menerima dan tunduk dan menyerah.” 210

Apabila harakah Islam ini telah menjalani marhalah tarbiyyah dan penyebaran ini, ia akan mara setapak pula memasuki era pertembungan fikrah; “..fasa pertarungan menentang sistem batil yang pincang dan menguasai masyarakat manusia.” 211

Ini adalah kerana “sistem pemerintahan dan kepimpinan tidak akan berubah hanya semata-mata wujudnya satu golongan seperti ini di muka bumi. Dengan erti kata lain apabila wujud satu gerakan Islam bertapak di bumi, maka akan turun malaikat dari langit, mengusir orang fasik dan jahat dari tampuk pimpinan kuasa dan seterusnya meletakkan orang yang soleh dan beriman di kerusi tersebut. Ia tidak mungkin terjadi. Tidak jalan lain, jamaah Islam hendaklah terus bertarung menghadapi kuasa-kuasa kufur dan fasik itu.” 212

Di tengah-tengah pertarungan itu; “..da’i dan pembawa panji-panji ini akan diuji dengan pelbagai musibah, kesukaran atau tribulasi yang sukar. Mereka menderita dan ditakutkan, dipukul, dibunuh atau diusir dari negeri sendiri. Mereka mengorbankan jiwa raga mereka dengan sabar, tabah, ikhlas dan keazaman yang kuat. Mereka diuji dengan kepayahan, kesusahan dan pelbagai ujian lain.” 213

Ketahanan dan kesabaran mereka menggelorakan lagi erti pertarungan haq dan batil pada diri individu masyarakat yang memerhatikan ketahanan mereka. Setiap hari, pertarungan itu tiba ke kemuncaknya dalam diri individu-individu ini dan mereka pun dengan berani  mengambil keputusan untuk bersama-­sama dalam jamaah dakwah Islam yang bertahan itu. Begitulah bilangan kumpulan dakwah itu terus bertambah.

Mereka yang rosak nalurinya dan para pengikut nafsu dan syahwat, lama kelamaan suara mereka semakin hilang, pengaruh dan kekuasaan mereka mula merosot sedikit demi sedikit berdepan arus harakah Islam yang mengalir deras ini.” 214

Teman Perjalanan

Sesungguhnya perjalanan ini panjang. Tetapi di sepanjang jalan ini ia dihiburkan oleh hiburan penghibur. Tugas dakwah ini amat sukar, namun kata-kata indah orang sodiq ini meringankan beban:

Bangunlah, kita kembalikan keadilan pembimbing rasyidin
Bangunlah, kita sambung semula kehebatan datuk nenek  para penakluk
Bangunlah, kita musnahkan segala belenggu, kerana masanya telah tiba.
Manusia merana di dunia tanpa agama
Mari kita kembalikan umat sebagai rahmat bagi seluruh alam
Janganlah kamu bertanya: Bagaimana? Kerana kita adalah muslimun
Wahai saudara Islam di semua tempat,
Naiklah ke atas bukit dan laungkanlah azan
Angkatlah al-Quran  perlembagaan zaman
Penuhilah setiap ufuq dengan laungan : ”Kami adalah muslimun”
Muslimun, muslimun, muslimun,
di mana kebenaran dan keadilan wujud, maka di situlah kami
Kami rela mati daripada terhina
Alangkah manisnya kematian di jalan Allah.215


Nota Kaki
  1. Ihya’ Ulum al-Din, Jilid 2, m.s. 311
  2. Imam Ahmad, Kitab al-Zuhd, m.s. 372
  3. Miftah al-Sa’adah, Jilid 1, m.s. 173
  4. Majmuk Fatawa oleh Ibnu Taimiyah, Jilid 10, m.s. 12
  5. Ibid
  6. Al-Syatibi, Al-Muwafaqat, Jilid 1, m.s. 114
  7. Al-Islam Baina Jahli Abnaihi wa ‘Ajzi ‘Ulamaihi, m.s. 68
  8. Imam al-Banna, Ila al-Syabab, m.s. 16
  9. Majalah al-Dakwah al-Misriyyah, Bil. 67
  10. Baina al-Amsi wa al-Yaum, al-Majmu’ah, m.s. 225
  11. Al-Muktamar al-Khamis, al-Majmu’ah, m.s. 272
  12. Manhaj al-Inqilab al-Islami, Majmu’ah Nazariyah al-Islam wa Hadiyah fi al-Siyasah wa al-Qanun, m.s. 82-83
  13. Ibid
  14. Ibid
  15. Al-Usus al-Akhlaqiyah li al-Harakah al-Islamiyah, m.s. 34
  16. Manhaj al-Inqilab al-Islami, m.s. 84
  17. Ibid
  18. Yusuf Qardhawi, Majalah al-Tarbiyah al-Islamiyyah, Baghdad, Jilid yang ke-6, m.s. 395

Comments are closed.